*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
  Undilah PAS : MENENTANG KEZALIMAN & MENEGAKKAN KEADILAN
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
DUN SELANGOR GAMAT PERTIKAI SIAPA GUNA MASJID UNTUK BERPOLITIK 
   
SHAH ALAM, 22 Dis (Bernama) -- Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini gamat 
apabila pembangkang dan penyokong kerajaan hebat mempertikaikan siapa sebenarnya yang 
menggunakan masjid untuk tujuan berpolitik. 

Ia bermula apabila Sallehen Mukhyi (PAS-Sungai Besar) ketika membahaskan belanjawan 
negeri membangkitkan isu tindakan terhadap pegawai masjid yang didakwanya tidak 
menyokong  kerajaan. 

Beliau mendakwa kerajaan tidak berlaku adil apabila pegawai masjid terbabit ditukar 
manakala penceramah yang didapati tidak menyokong kerajaan pula "digam" daripada 
menghadiri sebarang  majlis kerajaan. 

Datuk Sharif Jajang (BN-Dengkil) yang bangun membantah sebaliknya berkata perkara yang 
sama dilakukan oleh kerajaan yang diperintah pembangkang apabila mereka berkuasa. 

Pertikaman lidah menjadi semakin hangat apabila beberapa pembangkang lain seperti 
Datuk Dr Hasan Ali (PAS-Sungai Burung) dan Datuk Ismail Kamus (PAS-Gombak Setia) 
saling tuduh menuduh dengan penyokong kerajaan seperti Datuk Mufti Shuib  (BN-Ampang) 
dan Shariff tentang siapa sebenarnya yang mula menjadikan masjid sebagai tempat 
berpolitik. 

Dewan kemudiannya berjaya ditenteramkan apabila Speaker Datuk Onn Ismail tidak lagi 
memberikan kebenaran supaya perkara itu dipanjangkan dan meminta supaya Sallehen 
meneruskan hujahnya.

Sallehen kemudiannya meminta supaya elaun untuk imam dinaikkan kerana menurutnya 
jumlah yang diperuntukkan kepada setiap masjid terlalu kecil berbanding dengan jumlah 
imam yang dilantik  yang agak ramai dalam satu-satu masjid. 

Pada sesi petang, dewan menyaksikan pertikaman lidah antara Teng Chang Khim 
(DAP-Bandar Klang) dan Datuk Zakariah Md Deros (BN-Selat Klang) membabitkan perkara 
yang sama sekali luar  daripada tajuk perbahasan. 

Ia bermula ketika Mesrah Selamat (BN-Jeram) sedang membahaskan belanjawan negeri 
apabila laluan diberikan kepada beberapa anggota dewan untuk mencelah dan menyuarakan 
pendapat mereka. 

Perkara ini tidak disenangi Teng yang berhujah bahawa laluan yang diberikan tidak 
mengikut peraturan dan sebaliknya hujah Teng itu  menimbulkan kemarahan Zakariah 
sehingga menyebabkan kedua-duanya bertekak dan berlaku cabar mencabar mengenai siapa 
"samseng". 

Bagaimanapun ia berakhir apabila kedua-duanya diarah duduk oleh Speaker dan mereka 
akur dengan arahan itu walaupun masih dalam keadaan marah. 

Persidangan disambung esok. -- BERNAMA 




Angelfire for your free web-based e-mail. http://www.angelfire.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Imam B" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke