*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jangan bertindak liar sambut alaf baru
PUTRAJAYA 30 Dis. - Kerajaan tidak boleh menghalang rakyat untuk mengadakan
pesta menyambut ketibaan alaf baru kerana mereka berhak berbuat demikian
selagi tidak bertindak liar atau melakukan perkara-perkara yang tidak
diingini. 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan
juga tidak boleh mengharamkan atau membatalkan serta-merta pesta yang
dijadualkan akan diadakan pada sebelah malam Jumaat itu kerana bimbang akan
timbul masalah lain pula. 
''Kita nak halang macam mana. Nak batalkannya? 
''Ada orang yang dah bayar duit awal-awal lagi. Kalau kita halang mungkin
jadi lebih buruk lagi dan mereka tentu tidak endah,'' katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai
Barang-Barang Perlu di sini hari ini. 
Beliau diminta mengulas desakan beberapa ahli Dewan Negara semalam yang mahu
kerajaan mengambil tindakan segera membendung penganjuran pesta secara
besaran-besaran sempena menyambut ketibaan alaf baru. 
Pesta anjuran pihak-pihak tertentu itu dikatakan bertentangan dengan
sensitiviti umat Islam yang sedang berada dalam bulan Ramadan selain boleh
menyebabkan kerajaan dituduh sebagai tidak Islamik. 
Senator Zainuddin Maidin misalnya, ketika berucap membahaskan Rang
Undang-Undang Perbekalan Tambahan 1999 telah menarik perhatian Dewan Negara
kepada gambar muka satu New Straits Times keluaran 27 Disember lalu yang
menunjukkan anak-anak muda berbaris sejak pukul 4 pagi di hadapan Hard Rock
Cafe Kuala Lumpur untuk mendapatkan tiket percuma ke Salem Cool Planet
Millennium Party di Terminal Satu, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah,
Subang. 
Beliau mempertikaikan cara promosi sambutan itu diadakan yang didakwanya
langsung tidak menggambarkan cara Malaysia, sebaliknya seolah-olah hendak
menyertai budaya sambutan seperti di negara barat. 
Zainuddin memberitahu, syarikat Salem jelas mempunyai agenda tersendiri
terutama dalam menjalankan subversif menerusi iklan. 
Menurut beliau, jika perkara tersebut dibiarkan akibat buruk akan terpaksa
ditanggung oleh kerajaan. 
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan tidak terbabit dalam
menganjurkan pesta yang diadakan itu, sebaliknya ia diatur oleh pihak-pihak
tertentu sebagai menyambut ketibaan alaf baru. 
Kerana itu, katanya, sudah tentu pihak terbabit telah mengeluarkan banyak
perbelanjaan untuk menyediakan segala-galanya bagi menjayakannya. 
''Tentu sekali perayaan yang akan diadakan itu orang yang ingin mengambil
bahagian telah pun mengeluarkan wang untuk membuat persedian, barang-barang
makanan telah dibeli. 
''Kalau kita haramkan pada hari ini ia akan timbulkan lagi banyak masalah,''
katanya. 
Abdullah memberitahu, penganjur pesta berkenaan perlu memastikan majlis yang
mereka adakan tidak dibuat secara kelam-kabut dan mengelakkan peserta mereka
daripada terlibat mengganggu keadaan lalu lintas. 
Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan meminta polis
mengawal sebarang pesta yang diadakan supaya tidak berlaku tindakan liar
kerana keghairahan peserta meraikannya. 
''Maklumlah kerana keghairahan berlebihan ini macam-macam boleh terjadi.
Pecah barang itu pecah barang ini, buat kacau di jalan,'' katanya. 
Tegas beliau, anggota polis akan mengawal tempat pesta diadakan supaya
ketenteraman awam dan lalu lintas tidak terganggu dengan perayaan yang
diadakan. 
''Kita yang akan pastikan tidak ada sesuatu berlaku yang membawa kepada
keadaan atau situasi yang tidak baik,'' ujar Abdullah. 
Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES 

© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala
Lumpur.
E-mail: [EMAIL PROTECTED]



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haslim, Hassan" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke