Cuepecs desak Pas ambil semula pekerja

KUALA LUMPUR, Isnin - Kerajaan Pas Terengganu didesak supaya mengambil semula Pengarah serta 420 kakitangan Unit Perpaduan Ummah (UPU) yang dipecat Sabtu lalu.

Presiden Cuepacs, N Siva Subramaniam, berkata pengurusan tertinggi Cuepacs akan menemui kerajaan Pas Terengganu bagi mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

"Tindakan seumpama ini tidak kena pada masanya, lebih-lebih lagi ketika hanya tinggal seminggu sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, sedangkan pekerja terbabit boleh diserapkan ke agensi kerajaan lain.

"Kakitangan UPU yang terbabit sewajarnya diberi peluang mengemukakan rayuan dan dipertimbangkan terlebih dulu atas dasar simpati kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan tidak mempunyai sara hidup lain.

"Cuepacs berharap kerajaan Terengganu dapat merenung semula tindakannya yang keterlaluan sehingga memalapkan suasana sambutan Aidilfitri keluarga 420 kakitangan terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Berita Harian melaporkan bahawa kerajaan Pas Terengganu membubarkan UPU dan diganti dengan Unit Bina Insan (UBI) dengan kakitangan baru, dipercayai penyokong Pas, bagi mengukuhkan kedudukan parti itu di Terengganu.

Difahamkan, rayuan dan surat permohonan rasmi bekas Pengarah UPU, Baharuddin Mohammad, kepada Exco kanan kerajaan Pas, Mustafa Ali, supaya kakitangan yang dipecat diserapkan ke agensi lain, langsung tidak dilayan.

Baharuddin menyifatkan tindakan kerajaan Pas itu sebagai membalas dendam kerana sanggup bertindak menzalimi orang lain semata-mata kerana fahaman politik yang berbeza walaupun kakitangan terbabit tidak aktif berpolitik.

Menurut Siva, kerajaan Terengganu harus mengambil iktibar daripada pendekatan kerajaan negeri Pahang ketika menangani isu pemberhentian 23 kakitangan Pasdec Corporation Sdn Bhd (Pasdec), 1 Mei dua tahun lalu.

Katanya, kesediaan kerajaan Pahang menempatkan pekerja yang diberhentikan di syarikat lain milik kerajaan negeri sementara menunggu keputusan rayuan yang dibuat menerusi Cuepacs, wajar diteladani kerajaan Pas Terengganu.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Datuk Zainal Rampak, berkata perlindungan terhadap kakitangan awam perlu ditingkatkan bagi mengelak penindasan berleluasa.

"Kakitangan awam tidak boleh lagi bergantung kepada Perintah Am semata-mata, sebaliknya harus diberi perlindungan setaraf dengan hak kakitangan swasta, seperti yang termaktub dalam Akta Perhubungan Perusahaan.

"Mereka (kakitangan awam) harus diberi peluang membela diri di Mahkamah Industri dan diberi surat tunjuk sebab terlebih dulu manakala majikan pula diwajibkan menyiasat sebelum memecat seseorang pekerja.

"Kerajaan, terutama Jabatan Perkhidmatan Awam, wajar bertindak segera menggubal akta bagi melindungi hak kakitangan awam untuk mengelak pemecatan tanpa bersebab," katanya.

Zainal turut kesal kerana kerajaan Terengganu lebih cenderung memecat kakitangannya walaupun boleh mengambil tindakan tata tertib lain seperti yang terkandung dalam Perintah Am.

Katanya, nasib 420 pekerja itu, yang kini hanya boleh membuat rayuan dan terpaksa bergantung harapan pada belas ihsan kerajaan negeri, tidak wajar dialami kakitangan awam lain.

Di MARAN, Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak menyifatkan tindakan Kerajaan Pas Terengganu menyingkir semua kakitangan UPU sebagai penganiayaan.

"Jika kerajaan Umno berbuat demikian sudah tentu mereka mengatakan zalim, tetapi kalau kerajaan Pas ia dianggap sebagai takdir Allah bahawa kakitangan itu hilang pekerjaan.

"Apa yang berlaku itu adalah malang bagi kakitangan terbabit. Setidak-tidaknya, sebelum membuat pemecatan, kerajaan negeri itu memberi peluang kepada mereka mencari pekerjaan lain atau menyediakan kerja untuk kakitangan terbabit," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu sudah tentu mengejutkan mereka kerana hilang mata pencarian sekelip mata.

Katanya, soal untuk mewujudkan Unit Perpaduan Ummah atau menutupnya serta mewujudkan Unit Bina Insan adalah terpulang kepada kerajaan masing-masing, tetapi janganlah sampai menutup mata pencarian orang lain.

Kirim email ke