"Kesyukuran tidak bermakna bersyukur hanya kepada Tuhan tetapi juga berterima kasih kepada pihak yang menyampaikan nikmat. Malangnya hari ini kita diajar supaya hanya bersyukur kepada Tuhan dan tidak perlu berterima kasih kepada penyampai nikmat".

PM: Bahaya jika rakyat tak bersyukur

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bimbang tentang "implikasi yang serius" kepada negara jika rakyat tidak bersyukur dan diajar supaya jangan terhutang budi terhadap nikmat yang mereka terima.

Beliau berkata, ada pihak yang dengan sengaja dan kerana kepentingan tertentu sekarang mengajar rakyat supaya jangan bersyukur terhadap nikmat yang mereka terima atau terhutang budi kepada pihak yang menyampaikan nikmat kepada mereka.

Dalam perutusan Aidilfitri yang siarkan melalui RTM malam ini, Dr. Mahathir berkata rakyat diajar supaya jangan terhutang budi kepada pihak yang menyampaikan nikmat kerana kononnya nikmat itu memang hak mereka dan jika tidak pihak itu yang menyampaikannya, pihak lain akan berbuat demikian.

"Perubahan makna kesyukuran ini mempunyai implikasi yang serius kepada masyarakat kita. Jika kita tidak menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang menyampaikan sesuatu untuk kita maka sudah tentu tidak akan ada sesiapa yang ingin menyampaikannya kepada kita."

"Jika kita gigit tangan yang menghulurkan hadiah, atau bantuan atau yang menyelamatkan kita, apakah akan ada sesiapa yang akan berusaha, kadang-kadang bersusah-payah menyampaikan apa-apa kepada kita," katanya.

Sambil menyatakan bahawa hari ini umat Islam di Malaysia berpecah dan amat lemah, Perdana Menteri memberi amaran bahawa jika mereka tidak bersyukur, menghargai dan berterima kasih kepada pihak yang memberi nikmat, tidak akan ada tolong menolong dalam masyarakat mereka.

"Masing-masing akan menjaga tepi kain sendiri walaupun semasa kecemasan. Dengan ini tentulah masyarakat kita orang Islam akan hancur kerana masing-masing perlu menyelamatkan diri sendiri walaupun serangan dibuat terhadap seluruh masyarakat," katanya.

Dr. Mahathir berkata ajaran seumpama ini adalah bertentangan dengan Islam yang mahu umatnya bersyukur dengan tiap nikmat yang mereka terima.

"Kesyukuran tidak bermakna bersyukur hanya kepada Tuhan tetapi juga berterima kasih kepada pihak yang menyampaikan nikmat. Malangnya hari ini kita diajar supaya hanya bersyukur kepada Tuhan dan tidak perlu berterima kasih kepada penyampai nikmat".

Beliau berkata, pihak yang mengajar supaya jangan bersyukur terhadap nikmat yang diterima takut kesyukuran yang biasa dirasai akan membawa kerugian kepada mereka.

Dr. Mahathir berkata Hari Raya tahun ini jatuh pada bulan pertama alaf baru yang membawa banyak cabaran yang serius kepada rakyat Malaysia dan orang Islam terutamanya, termasuk serangan terhadap budaya mereka yang datang dari luar.

Dalam keghairaan mengejar kuasa, umat Islam sanggup bersubahat dengan musuh-musuh dari luar dan konco-konco mereka dari dalam.

Beliau berkata kalau di zaman dahulu apabila perebutan takhta diraja berlaku yang lemah akan meminta bantuan asing, di zaman ini juga sudah mula kelihatan bagaimana pihak yang ingin merebut kuasa berbaik-baik dengan musuh negara untuk mendapat sokongan.

"Orang asing ini yang memberi sokongan tetapi tentulah kerana mereka percaya orang yang meminta sokongan akan membalas budi dengan memihak kepada mereka dan membenarkan mereka menguasai negara kita."

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, umat Islam boleh merayakan Hari Raya kali ini dengan meriah dan gembira kerana negara telah dapat diselamatkan daripada serangan terhadap sistem kewangan dan ekonominya oleh penyangak-penyangak asing.

Dr. Mahathir berkata, hari ini kewangan dan ekonomi negara sudah dipulihkan dan rakyat tidak lagi berasa tertekan kerana mereka kini boleh membeli barangan import seperti dahulu, manakala pegawai kerajaan menikmati bonus dan kenaikan gaji.

Perniagaan kecil dan besar memberi keuntungan yang baik, pusat membeli-belah dibanjiri pelanggan, lebih ramai umat Islam dari Malaysia dapat mengerjakan umrah terutama di bulan Ramadan, manakala juadah, makanan dan pakaian untuk Hari Raya dapat dibeli oleh hampir semua.

"Kita menunggu dengan senang hati lawatan sanak saudara dan rumah kita terbuka untuk semua. Raya Aidilfitri tahun ini memang sepatutnya meriah dan kita bersyukur dengan ertikata sebenar. Dan kita berdoa supaya negara kita terus aman dan menjadi lebih makmur."

Perdana Menteri juga mengajak umat Islam di Malaysia berdoa supaya orang Islam di negara lain akan terlepas daripada diseksa, ditindas dan dibunuh, sambil berjanji setakat yang mampu, Malaysia akan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Dalam perutusan itu, Dr. Mahathir juga bercakap mengenai keburukan yang dibawa oleh kebebasan jika ia dipraktikkan tanpa batasan.

Walaupun rakyat yang beragama Islam tidak akan menerima kebebasan yang keterlauan, mereka begitu terdedah dengan serangan propaganda Barat melalui media elektronik dan cetak yang mempengaruhi mereka menerima norma-norma baru masyarakat Barat.

Dr. Mahathir berkata, Barat sudah begitu taksub dengan demokrasi itu sendiri sebagai sistem politik sehingga yang penting bukan lagi kebaikan bagi negara dan rakyat, tetapi yang penting ialah pengamalan demokrasi yang semakin liberal.

"Kita lihat bagaimana demokrasi telah menghalang penubuhan kerajaan yang berkesan kerana tidak ada parti yang memperoleh majoriti yang mencukupi. Yang penting ialah demokrasi, terutama demokrasi liberal mengikut tafsiran Barat dan bukan kebaikan untuk negara dan rakyat."

"Biarlah rakyat menderita, ekonomi negara merosot, kuasa asing menakluki negara asalkan demokrasi diamalkan," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, Barat sudah lupa bahawa sistem demokrasi dicipta kerana janjinya yang ia akan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Tetapi hari ini kebaikan untuk rakyat tidak penting, yang penting dan utama ialah demokrasi. Oleh itu amalkan sahaja demokrasi walaupun malapetaka menimpa kita," katanya. - Bernama

Kirim email ke