*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Gambar yang terpampang di muka depan Harakah (Jumaat 7/1/2000) dengan sepasang lelaki - perempuan memegang tin minuman keras sambil bercumbuan di khalayak ramai amat menjolok mata. Apa yang lebih menyakitkan mata dan hati saya ialah gambar-gambar yang dirakamkan oleh Nasir Sudin dan 'Special Report' yang dilaporkan oleh Abdar-Rahman Koya. Perasaan saya terusik apabila mendapat tahu bahawa hampir 95% daripada muda-mudi yang berpesta di sekitar Lembah Klang itu berketurunan Cina. Saya terpegun dan air mata saya berlinang. Fikiran saya melayang jauh kerana merenungkan nasib masyarakat Cina kita. Kelemahan institusi-institusi agama Budha dan Kristian tempatan dalam membentuk ketahanan akhlak dan kekuatan jiwa anak-anak muda Cina amat mengecewakan saya. Ajaran-ajaran murni Tipitaka (Kitab agama Budha) dan kitab Injil (Bible) hanya terhad untuk bacaan dan pengajian dalam kuil dan gereja sahaja. Agama Tao pula hanya meninggalkan adat istiadat untuk menguruskan orang mati sahaja. Tidak ramai yang mengetahui tentang ilmu kerohanian yang terpahat dalam Daode Jingnya. Manakala ajaran Konfucius yang termaktub dalam Lunyu hanya setakat diterokai oleh beberapa orang ahli akademik dan intelektual sahaja. Jadi apa lagi yang tinggal dalam masyarakat Cina? Saya terpaksa akur kepada hujah orang Islam bahawa masyarakat Cina sekarang seumpama masyarakat Arab zaman jahiliah di Mekah lebih seribu empat ratus yang lalu. Inilah sebabnya selama ini saya mengambil sikap mengalu-alukan kedatangan para pendakwah Islam bagai petani menanti hujan rahmat yang dapat mengairi padang tandus yang kehausan. Setidak-tidaknya kemunculan Islam akan dapat menghidupkan semangat keagamaan yang selama ini diabaikan oleh masyarakat Cina. Malangnya, gerakan dakwah Islamiah dalam masyarakat Cina amat lesu sekali. Ia bukan sahaja gagal menyuntikkan roh kesedaran Islam, malah sebaliknya dakwah Islamiah itu sendiri dicengkam oleh rasa takut dan kesangsian masyarakat Cina terhadap agama berkenaan. Masalah-masalah tersebut telah saya kesani ketika saya bekerja sebagai seorang sukarelawan dalam sebuah persatuan Buddha yang berperanan menyebarkan ajaran agama tersebut. Saya menemui dua kecenderungan yang mendesak dalam masyarakat Cina Malaysia. Pertama, mereka asyik mencari kejayaan kebendaan dan keseronokan. Kedua, mereka hanya mengamalkan adat istiadat dan menunaikan ibadat agama tanpa memahami ajarannya yang sebenar. Setelah berhenti sebagai sukarelawan, saya bergerak pula di sekolah ibunda saya sebagai penceramah agama kepada ahli-ahli Persatuan Agama Buddha sekolah. Saya dapati pelajar-pelajar Cina banyak menghadapi kesukaran untuk menghayati ajaran Buddha lantaran tidak mempunyai asas agama yang kukuh dalam keluarga mereka. Lebih mendukacita saya ialah pelajar yang kebanyakan berbangsa Cina itu adalah 'free thinkers' yang bersifat hedonis. Mereka semua sebenarnya secara 'cincai' mengisikan ruangan agama dalam dokumen rasmi sekolah dengan perkataan 'agama Buddha'. Memang tidak dapat dinafikan prestasi kelulusan akademik di kalangan pelajar Cina ini adalah cemerlang, bahkan sesetengah daripada mereka telah dimasukkan ke dalam aliran sains dan memperolehi pencapaian akedemik yang baik. Malang sekali nilai-nilai murni yang diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Moral dan mata pelajaran lain hanya tertinggal di dalam kelas dan di atas kertas sahaja. Ia tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka. Matlamat mereka belajar bersungguh-sungguh hanyalah semata-mata untuk mencapai kelulusan akademik yang cemerlang agar nanti status ekonomi mereka terjamin. Pelajaran bukanlah untuk membina sahsiah yang seimbang dalam semua segi, apatah untuk matlamat yang lebih jauh seperti soal perjuangan bangsa, negara dan agama. Begitulah sedikit sebanyak latar belakang yang mendasari kehidupan kebanyakan pemuda-pemudi Cina Malaysia yang hanya mahu memperjuangkan kepentingan diri sendiri, atau dalam perkataan lain mereka hanya tahu bersikap individualistik. Sekiranya masalah sosial di kalangan pemuda-pemudi Cina berleluasa, bukankah anak-anak muda berketurunan India yang berfahaman `free thinkers' juga mengalami masalah yang sama? Dan bukankah pendidikan Islam di sekolah-sekolah tajaan kerajaan Persekutuan juga gagal membendung keruntuhan akhlak remaja Melayu kini? Selain kelemahan institusi-institusi agama, masalah moral yang dihadapi oleh masyarakat kita ini banyak dipengaruhi sistem pendidikan berbentuk dualisme yang diamalkan yang telah memisahkan pelajar-pelajar daripada ajaran agama. Akibatnya mereka hanya berfikir berdasarkan ilmu dan perspektif sekular semata-mata. Bagi mereka, tempat agama ialah di masjid, kuil, gereja dan tempat-tempat sembahyang sahaja. Secara beransur-ansur, masyarakat kita telah melahirkan begitu ramai 'secular extremists' yang sedang menodai jiwa rohaniah dan akhlak anak-anak bangsa kita. Setelah berfikir secara mendalam, saya tidak lagi dapat menolak kenyataan bahawa selagi dasar politik yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno yang mengasingkan ajaran agama daripada pentadbiran dan penggubalan dasar-dasar negara masih berkuasa dan berleluasa maka selagi itulah masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita akan berterusan. Bagaimanapun, pada ketika itu kita tidak mempunyai pilihan lain. Umno dan BN memang kuat dan utuh, bukan mudah dilemahkan. Manakala PAS pula pada masa itu berkecenderungan menonjolkan diri sebagai parti politik yang memperjuangkan nasib orang Melayu. Saya terpinga-pinga memikirkan di manakah keislaman PAS yang kononnya memperjuangkan Islam. Perjuangannya langsung tidak menggambarkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah Islam yang amat mengasihani rakyat, hatta yang bukan beragama Islam. Kemunculan pemimpin Islam seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mengubah pandangan saya terhadap PAS. Keterbukaan sikap Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang agak di luar jangkaan saya pula, telah menyuluhi jalan untuk saya mendampingi PAS. Pada hemat saya, ajaran-ajaran murni yang termaktub dalam kitab-kitab suci agama, sama ada Al-Quran (serta Sunah), Tipitaka, Injil, Veda (Kitan agama Hindu), Sri Guru (Kitab agama Sikh), Daode Jing, Lunyu dan sebagainya mestilah disebarluaskan. Demi menjana pembangunan kebendaan, jasmani dan rohaniah yang seimbang, agama tidak boleh disisihkan daripada politik, parlimen, pentadbbiran dan kehakiman negara. Selain itu, bagi melahirkan sebuah negara yang disandarkan kepada semangat 'Malaysian Malaysia' yang luhur, adil dan berakhlak, maka ajaran agamalah pemangkinnya. Saya yakin perjuangan Islam yang sebenar dan menyeluruh akan dapat memimpin rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menuju ke arah tersebut. Tetapi sebelum itu PAS mempunyai kewajipan untuk memimpin dan menyatukan ahli-ahli agama bukan-Islam supaya dapat duduk bersama-sama dan berbincang tentang faktor-faktor persamaan antara mereka. Bak kata pujangga dahulu, 'duduk seorang bersempit-sempit, duduk beramai berlapang-lapang.' Mudah-mudahan atas semangat kata-kata ini dan setelah pelbagai dialog dan perbincangan yang bakal diadakan itu berhasil, maka pendirian tegas Majlis Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia yang kini menentang penubuhan sebuah Negara Islam dapat dialihkan ke haluan yang betul, iaitu ajaran agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan semua lapisan aanggota masyarakatnya, termasuklah ahli-ahli politik. Alangkah indah jika satu hari nanti Majlis Perundingan tersebut pula yang akan memainkan peranan menjinakkan 'secular extremists' yang masih bermaharajalela di negara kita yang tercinta ini. ______________________________________________________ Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "mawar berduri" <[EMAIL PROTECTED]>