*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
DUNIAKU DUNIAMU  

Iktibar kisah Yeltsin, Gorbachev, Khomeini

KETIKA hampir seluruh dunia berpesta menyambut alaf
baru, Presiden Rusia, Boris Yeltsin mencuri perhatian
apabila mengumumkan peletakan jawatannya. Tindakan
pemimpin Kremlin ini mengejutkan sekali pun sebelum
ini kemungkinan peletakan jawatan itu wujud disebabkan
kesihatan Presiden Rusia itu dilaporkan semakin buruk.


Sekalipun pelbagai alasan dan analisis diberikan oleh
penulis Barat mengenai peletakan jawatan Yeltsin, kita
di dunia Islam melihat kejatuhan Yeltsin berpunca
daripada tindakan 'kebinatangannya' ke atas umat Islam
negara itu. 

Yang terbaru orang Islam Chechnya disembelih,
semata-mata untuk memuaskan nafsu pemimpin Kremlin
bagi mengaut sepenuhnya hasil bumi rantau Caucasus
yang kaya dengan sumber minyak itu. 

Penulis Barat melihat kejatuhan Yeltsin disebabkan
oleh kegagalan Rusia meniti laluan pasaran bebas dan
demokrasi yang menggantikan fahaman komunis selepas
runtuhnya Soviet Union pada 1991 dulu. 

Jika dulu, Yeltsin disanjung sebagai wira yang membuka
Rusia kepada pasaran bebas dan kapitalis dunia Barat,
hari ini tokoh yang sama dituduh sebagai punca membawa
kesengsaraan 150 juta rakyatnya. 

Sepuluh tahun lalu, Rusia membuka seluas-luasnya ruang
kepada pengaruh Barat. Ini termasuklah cara hidup
Barat yang sebelum itu begitu asing kepada rakyat yang
dikongkong dalam blok dan sistem komunis yang
diciptakan oleh pemimpin Soviet sejak zaman Lenin. 

Pada tahun 1992 dulu saya sempat berkunjung ke Moscow
dan melihat sendiri bagaimana ghairahnya penduduk
menggayakan cara hidup Barat yang sebelumnya disekat
daripada pengetahuan mereka. 

Masih saya ingat lagi muda-mudi Moscow terkinja-kinja
menari di sebuah pusat hiburan, mengikuti rentak lagu
popular kumpulan Eagles pada tahun 1970-an, - 'Welcome
To The Hotel California'. Saya tidak terasa berada di
Moscow sebaliknya, macam di Amerika. 

Hari ini terbukti bahawa kebahagiaan yang diburu Rusia
melalui cara Barat tidak kesampaian. Rusia dibelenggu
masalah ekonomi yang terlalu buruk dan sebahagian
kesalahannya diletakkan di bahu Yeltsin yang
berpura-pura boleh berdiri sama tinggi atau duduk sama
rendah dengan Bill Clinton (Presiden Amerika
Syarikat). 

Bagi menghadapi kebangkitan Islam di Rusia, Yeltsin
ternyata tidak mempunyai jawapannya. Misalnya dalam
kempen ketenteraannya di Chechnya pada 1994-1996 dulu,
Yeltsin menerima kekalahan memalukan dan terpaksa
menerima tuntutan kemerdekaan (dalam bentuk autonomi)
wilayah itu. 

Bagaimanapun pengalaman itu tidak mengajar Yeltsin
sebaliknya menjadikannya semakin angkuh. Beliau
menuduh pejuang Islam Chechnya bertanggungjawab
melakukan beberapa siri letupan bom di Moscow dan
apabila berlaku beberapa serangan di Dagestan (jiran
Chechnya), Rusia bertekad menawan seluruh Chechnya dan
menjadikan Grozny (ibu kota Chechnya) sebagai sasaran.


Kempen ketenteraan Rusia di Chechnya sedang menuju
kehancuran. Tetapi seperti yang ditulis penganalisis
politik Barat, bedilan ke atas Chechnya bagi
kebanyakan orang Rusia, adalah bagai melepaskan geram
dan rasa kecewa berikutan kemerosotan Moscow bukan
saja dari segi ekonomi tetapi pengaruhnya di persada
antarabangsa. 

Rusia nampaknya sedang meniti nasib yang dialami oleh
Soviet Union. Jika pada 1991 lalu, 15 republik Soviet
Union (termasuk Rusia) mengisytiharkan kemerdekaan
masing-masing, kemungkinan besar Rusia juga akan
berpecah. Jika ini berlaku, beberapa buah negara Islam
baru akan wujud. Ia termasuklah Chechnya, Dagestan dan
Tatarstan. 

Jika pada 1980-an dulu, pemimpin Iran, Ayatollah
Ruhollah Khomeini pernah mengutus surat kepada
pemimpin Soviet Union, Mikhail Gorbachev, memberitahu
beliau bahawa empayarnya akan musnah suatu hari nanti
jika Kremlin meneruskan cengkaman dengan sistem
komunisnya, siapa agaknya pemimpin dunia Islam pada
alaf baru ini yang berani mengutus surat seumpama itu
kepada pemimpin kuasa besar yang berani memperlekeh
bukan saja umat Islam tetapi hukum-hakam Islam itu
sendiri? 

Khomeini memberitahu Gorbachev, hanya satu jalan
menyelamatkan Soviet iaitu beliau dan rakyatnya
menerima Islam sebagai cara hidup. 

Malangnya, hari ini bukan saja pemimpin bukan Islam
yang berani mempersenda Islam tetapi juga di kalangan
pemimpin dunia Islam sendiri. Mungkin itulah sebabnya
umat Islam, walaupun jumlahnya ramai (lebih satu
bilion) tetapi hidup berpecah-belah dan sentiasa
tertindas. 
 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: non stop <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke