Ke arah Terengganu adil
‘Ein Azmi

Jan 29: Jam menunjukkan pukul 9 malam, setiap kerusi ruang utama Dewan Perhimpunan Cina telah dipenuhi. Rata-rata hadirin majlis forum "Kerajaan Terengganu PAS - ke arah Malaysia yang Adil" anjuran DAP itu berbangsa Cina – mereka yang ingin mendapat gambaran sebenar pemerintahan Islam di Terengganu.

Tepukan gemuruh kendegaran apabila Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang tampil untuk menyampaikan ucapannya. Dengan nada yang tenang, Hadi memulakan ucapannya dengan kalimah memuji Allah, sesuai dengan imejnya sebagai seorang ulama yang disegani. Beliau mengimbas kejayaan dan kerjasama yang terjalin antara PAS dan DAP serta pakatan parti pembangkang umumnya.

"Siapa sangka PAS yang ditonjolkan sebagai parti pelampau agama dan DAP pula sebagai parti perkauman Cina -- satu gabungan yang bertentangan -- akhirnya menjalinkan satu pakatan demi kemanusiaan dan keadilan," katanya disambut gema tepukan hadirin.

Menurutnya, rakyat khususnya penduduk kampung mulai sedar walaupun kerajaan menggunakan segala jentera yang ada, khususnya media massa untuk memutarbelitkan fakta.

"Bayangkan kejadian seorang ibu tua yang menunggu di sebuah bangsal durian [di Kelantan] dilaporkan mendiami pondok buruk itu," katanya. Media massa, katanya lagi, cuba mengambarkan rakyat di Kelantan, selama 10 tahun di bawah pentadbiran PAS, miskin belaka padahal ibu tua itu mempunyai sebuah rumah yang cukup selesa.

Hadi juga menggambarkan "kemarahan rakyat makin meluap-luap" apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen DAP Lim Guan Eng menjadi mangsa politik golongan yang tamak kekuasaan.

"PAS dan Barisan Alternatif tidak menduga akan menang besar di Terengganu dan sudah tentu Mahathir juga tidak menjangkakan Barisan Nasional akan kalah teruk di Terengganu," jelasnya, mengulas kejayaan PAS negeri itu merampas 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihanraya November lalu.

Hadi sempat menjawab beberapa soalan daripada hadirin. Bagi satu soalan mengenai hudud, Menteri Besar itu berkata, hudud adalah satu bahagian yang kecil daripada hukuman dalam Islam. "Kalau nak dikirakan bahagiannya ialah 0.00001 peratus sahaja," jelasnya. Tetapi menurutnya lagi, Islam mengutamakan kesan psikologi pelaksanaan sesuatu hukuman.

Beliau berhujah menafikan undang-undang Islam, misalnya hukuman memotong tangan pencuri, sebagai zalim. "Ibarat seorang doktor yang terpaksa memotong kaki seorang pesakit kencing manis. Adakah perbuatan doktor itu kejam?"

Apabila menjawab persoalan kontroversi cukai kharaj yang diperkenalkan kepada bukan Islam di negeri itu, tokoh PAS itu menerangkan bahawa kharaj tidak membebankan orang bukan Islam sebab mereka tidak dihalang menjalankan perniagaan berasaskan faedah (riba) sedangkan orang Islam sama sekali tidak dibenarkan. Oleh itu, katanya, peluang peningkatan taraf ekonomi kaum bukan Islam adalah lebih baik berbanding orang Islam. Tujuan zakat – kharaj sebahagian daripadanya – ialah membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Kharaj akan dilaksanakan setelah cukai lain (yang dikenakan oleh kerajaan negeri) telah dimansuhkan. Bagaimanapun polisi ini hanya dijalankan setelah mendapat persetujuan daripada masyarakat bukan Islam di negeri itu, tambah Hadi.

Dalam forum itu juga, kerajaan Terengganu memaklumkan negeri itu memulakan langkah awal membatalkan beberapa projek mewah. Antaranya, pembinaan masjid yang dianggarkan RM140 juta dan kompleks sukan yang bernilai RM300 juta.

Timbalan Presiden PAS itu turut mempertikaikan laporan sebuah akhbar harian yang menggambarkan perjuangan menegakkan negara Islam, misalnya di Acheh, sebagai menuju ke arah kemunduran dan kemusnahan. Laporan yang mengelirukan ini mempengaruhi pembaca bukan Islam, katanya.

"Ramai orang bukan Islam mengambil model ‘negara Islam’ yang tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar, daripada prinsip Al-Quran dan hadis."

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan masyarakat bukan Islam kerana kerajaan pusat tidak cuba menjelaskan untuk menghapuskan kekeliruan itu. Beliau berharap masyarakat bukan Islam mengambil contoh dari pembentukan negara Islam yang sebenarnya, misalnya yang pernah dibangunkan dalam zaman pentadbiran Umar Abdul Aziz, beberapa dekad selepas kematian Nabi Muhammad.

Apabila ditanya bagaimana Terengganu akan ditadbir, Hadi bagaimanapun menjawab, "saya tidak mahu bercakap apa yang saya akan buat di Terengganu."

"Tunggu dan lihat. Saya berharap jika saudara semua hendak mendapatkan gambaran sebenar pentadbiran negeri, tanyalah kaum Tionghua yang menetap di sana, bukannya melalui masyarakat bukan Islam di sini (Kuala Lumpur)," cadangnya lagi.

Forum itu turut dihadiri empat lagi anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, Mustafa Ali, Harun Taib, Wan Abdul Mutalib Embong dan Tun Salleh Abbas.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke