Rakyat sokong boikot media utama

MAJLIS perasmian kempen boikot media yang dilancarkan pada 1 Februari kelmarin di Pejabat KeADILan Gombak telah mendapat sambutan luar biasa.

Khadiran orang ramai di majlis perasmian kempen itu, jelas menunjukkan bahawa rakyat menyokong tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Bertindak Monitor Media untuk memboikot media tertentu.

Oleh kerana media yang akan diboikot itu, ada mempunyai hubungan dengan Umno dan Dr Mahathir, maka ucapan para pemimpin PAS, KeADILan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Monitor Media, saudara Rustam Sani pada hari itu, bukan sahaja menyerang pihak yang berkuasa di akhbar-akhbar tertentu, malah membelasah Umno dan Dr Mahathir.

Laungan takbir dan reformasi serta di ikuti dengan slogan undur Mahathir undur telah kedengaran di sepanjang majlis kempen boikot media yang dihadiri oleh pemimpin PAS, KeADILan dan PRM.

Apa yang lebih menarik , siaran-siaran dan risalah-risalah yang mengutuk Umno dan media telah diedarkan kepada umum di sepanjang majlis kempen boikot media itu.

Saudara Ahmad Lutfi Othman sebagai Ketua Editor DETIK dan pengarang Wasilah telah mengeluarkan risalah dan memo yang berjodol "Apa Salah Detik sehingga di gantung Tidak Bertali?"

Mukadimah risalah dan memo yang ditulis oleh Saudara Lutfi Othman itu, mempersoalkan kebijaksanaan KDN menggantung permit majalah DETIK yang dianggap paling popular kini.

"Tepat sekali jangkaan parti-parti Alternatif sebelum pilihan raya umum lalu bahawa BN kembali "mengganas" jika terus diberi kemenangan dua pertiga di peringkat Parlimen.

"Tidak mustahil beberapa projek yang diisytiharkan telah dibatalkan akan diteruskan, mungkin dengan sedikit ubah suai, dengan andaian "majoriti rakyat menyokong kami, dan kami berhak melakukan apa sahaja."

"Mangsa pertama ialah beberapa pemimpin Parti Alternatif yang didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dan Akta Rahsia UMUM. (OSA) Mangsa berikutnya ialah media yang selama ini tidak berasa was was untuk menegur dan mengkritik penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Target utama, Harakah akhbar rasmi PAS. Permitnya tidak digantung tetapi pengarangnya, Zulkifli Sulong bersama pencetak, diheret ke Mahkamah. Edarannya hanya terbatas kepada ahli-ahlinya sahaja, ini sebenarnya tidaklah terlalu menekan, namun syarat penjualan yang dihadkan hanya boleh dijalankan di markas sudah dianggap keterlaluan," jelas Lutfi dalam memonya yang diedarkan kepada umum itu.

Oleh kerana para penceramah di majlis pemboikotan media itu, menyentuh soal masa depan Harakah dan menyelar sikap editor-editor akhbar tertentu, maka pengedaran risalah seperti itu telah mendapat perhatian orang ramai.

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya umum lalu, ialah kerana peranan yang dimainkan oleh media dan akhbar-akhbar tertentu.

Masih ramai para pengundi yang terpengaruh dengan berita yang disiarkan oleh media yang menjadi alat kepada Umno dan BN.

Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana sebuah akhbar harian menggunakan isu Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan memakai Tengkolok Kristian bersama- sama dengan pemimpin PBS di Sabah. Akhbar berkenaan berjaya memberi gambaran kepada umum bahawa Presiden S46 itu, ialah seorang pemimpin Melayu yang boleh bertolak ansur dengan golongan Kristian yang menguasai Sabah, demi untuk kepentingan politiknya.

Walaupun Dr Mahathir sendiri telah memakai tengkolok yang sama di waktu PBS berada dalam Barisan Nasional, tetapi para pengundi Melayu dan Islam tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberi oleh pucuk pimpinan S46 mengenai perkara itu.

Dalam erti kata lain, para pengundi Melayu tetap percaya bahawa apa yang disiarkan oleh akhbar tersebut, adalah benar dan tepat.

Ada pendapat di kalangan pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang mengatakan bahawa kalau tidak kerana isu tengkolok Kristian dan salib itu yang digunakan oleh akhbar harian tersebut, maka tidak mustahil keputusan pilihan raya umum 1990 juga tidak akan memihak kepada BN.

Bagaimanapun, rakyat Kelantan tidak terpengaruh dengan berita tersebut, para pengundinya tetap menolak Umno dan BN secara total dalam pilihan raya umum 1990 yang lalu. Dalam pilihan raya umum yang ke 10 juga, pihak media telah menggunakan berbagai isu untuk menimbulkan suasana takut di kalangan rakyat, kalau Barisan Alternatif mendapat mandat dari rakyat nanti.

Media tertentu telah memberi gambaran kepada umum (khususnya bukan Melayu) bahawa Islam sebagai agama yang zalim dan undang-undangnya digambarkan sebagai bersifat primitif dan liar.

Oleh kerana adanya DAP dalam Barisan Alternatif yang didukung oleh PAS, KeADILan dan PRM, maka pihak media cuba menakut-nakutkan pengundi-pengundi Cina supaya jangan menyokong DAP yang dikatakan "merestui" pembentukan negara Islam yang dipelopori oleh PAS.

Tetapi taktik yang paling kotor sekali yang digunakan oleh akhbar-akhbar harian dalam musim pilihan raya, ialah dengan menakut-nakutkan para pengundi (khususnya Cina) tentang kemungkinan akan berlaku rusuhan dan sengketa kaum, kalau pembangkang menang.

Berita-berita dan rencana-rencana yang disiarkan oleh semua akhbar harian sebelum menjelang 29 November lalu, membayangkan tentang kemungkinan peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang, kalau BN tidak mendapat majoriti dua pertiga.

Pada hemat saya, cara akhbar-akhbar tempatan memberi gambaran buruk mengenai ajaran Islam dan membuat ramalan akan berlakunya rusuhan dan sengketa kaum kalau parti-parti pembangkang berkuasa, telah memberi kesan yang negatif kepada Barisan Alternatif.

Sebab itulah, pengundi-pengundi Cina menolak DAP dan memihak kepada BN.

Berdasarkan kepada hakikat itu, maka wajarlah rakyat memboikot akhbar Utusan Malaysia, The News Straits Times dan TV3 mulai hari ini.

Apa yang lebih menarik, ucapan Ezam M.Noor yang mengaku telah menjadi mangsa kepada akhbar Utusan Malaysia sebelum ini.

Menurut ketua Pemuda KeADILan itu, beliau pernah dituduh sebagai penderhaka oleh akhbar tersebut sekembalinya dari luar negara, selepas Penangkapan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Saudara Ezam menuduh akhbar Utusan Malaysia juga memutar belitkan kenyataannya mengenai isu dokumen rahsia yang ada dalam simpanannya.

Sementara Azmin M.Ali pula, mengadu bagaimana TV3 menghinanya dengan menggunakan seorang perempuan sebelum menjelang fajar 29 November lalu.

Beliau memberi jaminan akan terus berjuang untuk menentang segala bentuk kezaliman.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berikrar akan memberi kerjasama untuk memboikot dan memulaukan akhbar-akhbar yang diperalatkan oleh BN untuk menghancurkan parti-parti pembangkang.

Beliau mengingatkan akhbar-akhbar lain, selain dari Utusan Malaysia, The News Straits Times dan TV3, tindakan yang sama akan diambil, kalau pihak akhbar-akhbar lain tidak mengubahkan sikapnya dalam menghadapi perkembangan politik tanah air.

Akhir sekali, Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Hajah Marina Yusuf menyeru semua lapisan rakyat supaya menyokong tindakan memboikot akhbar-akhbar dan media yang telah diperalatkan oleh Umno dan BN.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke