From: "Parti Rakyat" <[EMAIL PROTECTED]>


Cili Api 38

PEDAS-PEDAS CILI API
(5hb Mac 2000)


BUKIT JALIL PROJEK MEMBAZIR

Baru-baru ini Pertandingan  Pingpong Sedunia telah diadakan di Stadium Putra 
di Bukit Jalil. Satu hari, semasa perlawanan sedang rancak berjalan, hujan 
ribut lebat melanda  Kuala Lumpur dan mengakibatkan banjir kilat. Alangkah 
terperanjatnya para pemain dan pengurus pingpong waktu itu, apabila air 
mencurah-curah turun ke dalam stadium. Semacam banjir juga berlaku di situ, 
sehingga pertandingan tergendala. Sungguh memalukan negara dan rakyat.

Kompleks Sukan Bukit Jalil merupakan satu kebanggaan pucuk pimpinan yang 
hendakkan monumen besar-besar, indah-indah dan mahal-mahal belaka. Ia 
disiapkan untuk Sukan Komanwel tahun lalu dengan belanja lebih kurang RM1.2 
bilion, dan  mempunyai tujuh stadium atau pusat permainan. Kerja kontraknya 
dikelolakan oleh  UEM yang mempunyai hubungan rapat dengan sebuah syarikat 
kroni terkenal, iaitu Renong milik Tan Sri Halim Saad.  Ia dicadangkan untuk 
mengganti kompleks Stadium Merdeka yang bersejarah itu, yang akan 
dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah pusat perumahan, 
perdagangan serta persidangan.

Syarikat ini telah dipuji kerana menyelesaikan kerja dengan cepat. Tapi apa 
akibatnya? Berbagai-bagai kerosakan dan kekurangan mutu kerja didapati 
sekarang ini.  Cili Api membaca sebuah laporan bahawa kerajaan kini terpaksa 
membelanjakan RM1.7 juta sebulan ataupun RM20.4 juta setahun untuk kerja 
baik-pulih. Ini wang rakyat, bukan wang kerajaan. Begitu juga dengan belanja 
RM1.2 bilion untuk membina kompleks sukan tersebut. Ertinya wang rakyat 
dibelanjakan begitu besar untuk memberi keuntungan kepada syarikat dan 
korporat terpilih saja. Tetapi hasil kerjanya tidak memuaskan. Ini namanya 
projek membazir.

Cili Api baca  lagi bahawa mengikut Dr Kay Faezah Mohamed, Naib Presiden 
Daya Communication Sdn Bhd, yang diberikan kontrak membuat kerja baik-pulih, 
“Keadaan di sana kelamkabut. Macam-macam yang perlu dibaiki. Bumbung bocor, 
tiang berkarat, papan skor rosak, paip bocor dan sistem pembentongan 
tersumbat.” Hai teruk benar bunyinya.  Tidakkah ada apa-apa tindakan akan 
diambil pihak berkuasa ke atas syarikat atau korporat yang bertanggungjawab 
ke atas semua ini? Atau, seperti biasa,  mereka perlu dilindungi kerana 
kedudukan sebagai kroni?

Pada masa ini tidak banyak persatuan sukan yang hendak menyewa 
stadium-stadium di Bukit Jalil. Bukan saja kerana keadaannya yang teruk. 
Lebih-lebih lagi ialah kerana sewanya terlalu tinggi. Ada kalanya, selain 
sewaan itu, mereka terpaksa pula membayar bermacam-macam bayaran sampingan 
yang tidak diberitahu terlebih dulu, kadang-kadang lebih besar jumlahnya 
daripada sewaan sebenar. Apabila stadium tidak disewa, tiadalah pendapatan 
untuk membaik-pulih, dan bila tidak dibaik-pulih, maka tidak sesuailah untuk 
disewakan. Nampaknya, Kompleks Sukan Bukit Jalil ini akan menjadi gajah 
putih sajalah!

Ini cerita Bukit Jalil. Cili Api tak tahulah apa yang berlaku kepada gajah 
putih yang lain, seperti KLIA itu. Buat sementara ini Cili Api rasa patut 
ada satu Suruhanjaya Bebas dibentuk untuk mengkaji segala aspek daripada 
pembinaan, perbelanjaan membina dan pemberian kontrak bagi membina Kompleks 
Sukan Bukit Jalil itu. Jikalau tindakan tegas tidak diambil, kronisme dan 
korupsi akan terus berpanjangan.



DR M TAKUT MSC TERJEJAS

Pemerintah telah mengambil keputusan membataskan penerbitan HARAKAH kepada 
dua kali sebulan. Tidak selang berapa hari selepas keputusan itu diambil, 
seorang Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, 
mengumumkan bahawa sekiranya edisi HARAKAH  dalam internet melanggar syarat 
yang dikenakan  ini, maka permitnya akan ditarik balik.

Kenyataan ini mendapat tentangan hebat, terutama sekali daripada bekas Ketua 
Pembangkang, Lim Kit Siang. Kit Siang mengatakan ini melanggar janji yang 
telah dibuat oleh PM bahawa bahan-bahan yang keluar melalui internet tidak 
akan disekat atau ditapis. Sekiranya sekatan atau tapisan  berlaku, tentu 
sekali ia akan menjejaskan projek MSC yang sangat-sangat dibanggakan oleh 
Cek Det itu.

Segera PM Cek Det membuat kenyataan ringkas menegaskan maklumat melalui 
internet tidak akan disekat atau ditapis. Timbalan Menteri Chor pun membuat 
kenyataan beliau kononnya disalahfaham oleh pihak media. Kini Menteri Dalam 
Negeri sendiri memberikan jaminan panjang lebar bahawa tidak ada sekatan 
bagi maklumat yang disalurkan melalui internet. Syarat yang dikenakan ke 
atas HARAKAH itu hanya pada edisi bercetaknya saja.

Cili Api mengalu-alukan jaminan yang diberikan ini. Akan tetapi, ini tidak 
mengubah pendirian Cili Api bahawa tindakan pemerintah menyekat pengeluaran 
HARAKAH itu daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan adalah tidak 
adil dan zalim.   Ia membuktikan bahawa pucuk pimpinan pemerintah sekarang 
ini sedang merasa takut dan terancam. Cili Api berani kerana benar.


Cili Api





PRM HOMEPAGE http://www.geocities.com/CapitolHill/Senate/1773/index.html

______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com


------------------------------------------------------------------------
GET A NEXTCARD VISA, in 30 seconds!  Get rates as low as 2.9%
Intro or 9.9% Fixed APR and no hidden fees.  Apply NOW!
http://click.egroups.com/1/936/4/_/493966/_/952268696/
------------------------------------------------------------------------

Alternatif-Net : A Discussion Forum Focusing on Issues Related to Justice
            Forum Perbincangan Maya Yang Fokus Kepada Isu Keadilan

Disclaimer: Messages sent do not represent the stand of the Barisan Alternatif (BA) 
unless otherwise stated

Complaint : Send to [EMAIL PROTECTED]

To Sub    : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]
To Unsub  : Send blank e-mail to [EMAIL PROTECTED]




Kirim email ke