*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Melangkah ke Jalan Menuju Allah - 10/11


Pedoman Akhir

Saudara-saudaraku di perjalanan, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah 
kerana ianya sumber segala amalan. Utamakanlah bacaan Al-Quran dan zikrullah 
kerana dengan itu namamu akan disebut-sebut di langit dan menyebabkan nur di 
bumi. Perbicarakanlah yang baik-baik atau diam niscaya syaitan akan terhindar 
darimu dan kamu akan ditolong di dalam urusan-urusan agamamu. Jangan 
sekali-kali banyak ketawa kerana dengan itu hatimu akan mati dan cahaya akan 
terlenyap dari wajahmu.

Hendaklah anda mengasihani orang-orang miskin dan menggauli mereka. 
Perhatikanlah keadaan mereka yang lebih rendah daripadamu. Janganlah 
sekali-kali memerhatikan keadaan orang-orang yang lebih tinggi daripadamu 
kerana ia dapat menghalang anda dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah. 
Hendaklah anda mengukuhkan silaturrahim dengan kaum kerabatmu walaupun mereka 
memutuskan hubungan denganmu.

Hendaklah berbicara yang benar walaupun dirasai pahit. Jangan sekali-kali 
dihiraukan pencela mengenai urusan-urusan agama Allah. Carilah keaiban 
sendiri, jangan sekali-kali menghebohkan keaiban orang lain. Tidak ada 
kebijaksanaan yang lebih bernilai dari tindakan yang sewajarnya. Sebaik-baik 
taqwa ialah menjauhi segala larangan dan tidak ada kemuliaan yang setimpal 
dengan akhlak yang sempurna.

Cubalah saudara-saudara perhatikan pada sepanjang umur yang telah berlalu dan 
rintangan-rintangannya, supaya anda berpisah dari dunia nanti dengan 
kesejahteraan iman dan terlepas dari kesusahan dicabut nyawa oleh malaikat 
maut dan dapat pula menjawab soalan Mungkar dan Nakir. Perhatikan juga 
kesusahan hari kiamat, tempat perhimpunan (Padang Mahsyar) dan perhitungan 
amal, penimbang amalan, melalui titian sirat, neraka dan kesiksaannya.

Kita semua adalah hamba Allah, oleh itu hiduplah sebagai seorang hamba. 
Keadaan hamba itu hanya ada empat keadaan: nikmat, bala, taat dan maksiat. 
Jika beroleh nikmat kewajipannya ialah bersyukur. Jika terkena bala ia harus 
bersabar. Jika dapat melakukan amal taat, harus merasa ianya dari taufik dan 
hidayah Allah swt. Bila tergelincir ke dalam maksiat, harus beristighfar dan 
bertaubat.

Cinta kepada Allah yang membawa seseorang kepada meleburkan dirinya kerana 
Allah adalah suatu cinta yang mulia. Cinta inilah yang menjadikan seseorang 
insan hidup senang, rasa senang dengan kesabaran dan taqwa serta tidak dapat 
diumbang ambing oleh pukulan pedaya dan gelombang hidup kebendaan yang hanya 
merupakan kenikmatan yang sementara. 

Menuju haluan kepada Allah merupakan suatu kebahagiaan yang tidak boleh 
dikira kebahagiaan, dan suatu kelazatan yang tidak boleh dikira kelazatan. 
Jika orang biasanya merasakan nikmat pakaian yang tidak lama kelak akan 
binasa ataupun makanan yang rasa sedapnya hanya sebentar sahaja. Para auliya' 
Allah merasakan kenikmatan yang tersendiri iaitu kebersihan dari segala 
kekotoran jiwa.

Sesungguhnya apa yang sedang kita cari dan idami ini adalah sesuatu yang 
bermutu tinggi dan mulia. Sememangnya sudah menjadi sifat sesuatu yang 
sedemikian amatlah susah mencapainya, panjang jalannya dan banyak akibatnya. 
Hisablah apa yang telah dilakukan di masa lalu dan rancanglah apa yang ingin 
dilaksanakan di masa yang akan datang.

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke