*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum yang dikasihi.......

Izinkan saya menjawab kepada persoalan di bawah ini :



          PERKATAAN "SAYYIDINA" PADA SELAWAT



Perkataan Sayyid dalam bahasa Arab bererti "penghulu". Perkataan sayyidina 
bererti "penghulu kami". Perkataan sayyid biasanya disebut untuk merujuk 
kepada orang yang dihormati, disanjung dan kepada seorang pemimpin. Apabila 
perkataan sayyidina itu dirujuk kepada Nabi Muhammad SAW maka ini bererti 
bahawa seseorang itu memuliakan baginda dan mengangkat martabatnya kepada 
satu darjat yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai Nabi dan Rasul.

Allah SWT menyuruh orang yang berIman kepada Nabi agar memuliakannya, 
menolongnya dan menurut al-Qur'an yang telah diturunkan bersamanya. Mereka 
itulah orang yang beruntung [al-A'raf :157].

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Bahawasanya Allah SWT dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang 
yang berIman, hendaklah kamu berselawat ke atas Nabi dan memberi salam 
kepadanya sebaik-baik salam."

[Al-Ahzab : 56]


Rasulullah SAW adalah manusia yang paling mulia berbanding dengan 
makhluk-makhluk lain kerana rahmat juga penghormatan yang diberi oleh Allah 
SWT. Allah SWT memberi penghormatan kepada Rasulullah SAW kerana 
keistimewaan yang diberi oleh-Nya seperti yang tersebut dalam sebuah Hadis 
daripada Abu Hurairah r.a., ia berkata, bahawa baginda telah bersabda yang 
bermaksud :

"Aku adalah penghulu anak Adam pada hari kiamat kelak. Orang yang paling 
awal sekali muncul daripada kubur dan orang yang pertama memberi syafaat dan 
dibenarkan memberi syafaat."


Rasulullah SAW memberitahu tentang hakikat dirinya yang sebenar, iaitu 
"penghulu anak Adam" agar sekalian umat tahu mengenainya. Dengan pemahaman 
demikian, manusia akan menghormatinya. Khabar ini bukan lahir kerana riak, 
tetapi untuk menjalankan perintah Allah, iaitu menyuruhnya agar 
mengkhabarkan nikmat Allah yang diterimanya itu.

Dalam sebuah Hadis lain, baginda bersabda yang bermaksud :

"Pada hari kiamat kelak, saya adalah Imam Nabi-nabi, jurubicara mereka dan 
pemberi syafaat mereka. Ini dikhabarkan bukan untuk membangga diri."

[HR Turmizi]


Hadis ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW itu pada hari kiamat kelak 
bukan sahaja penghulu anak Adam, tetapi juga Imam dan jurubicara Nabi-nabi 
sebelumnya. Iaitu orang yang memberi permohonan syafaat kepada Allah SWT 
untuk menolong seluruh manusia, termasuk Nabi-nabi.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah Rasul pilihan. Penyudah Nabi-nabi. Tidak 
ada Nabi selepas daripadanya sehinggalah hari kiamat. Syariat yang dibawa 
olehnya adalah syariat terakhir, tidak berubah sehingga hari kiamat.

Allah Ta'ala berfirman, maksudnya :

"Muhammad itu bukan bapa salah seorang dari lelaki kamu, tetapi dia adalah 
Rasulullah dan Nabi penutup."

[Al-Ahzab : 40]


Ketetapan ini adalah merupakan satu kemuliaan kepada baginda Rasulullah SAW. 
Nabi-nabi yang terdahulu diutus hanya untuk kelompok manusia pada zamannya 
dan untuk waktu yang terbatas, tetapi Nabi Muhammad adalah utusan untuk 
seluruh manusia yang kekal sehingga akhir zaman.

Firman Allah Ta'ala yang berikut [al-Fath : 10] memperkukuh lagi kenyataan 
di atas, di samping memperlihatkan kemuliaan dan penghormatan kepada baginda 
  iaitu yang bermaksud :

"Sesungguhnya mereka yang membai'ah akan dikau (wahai Muhammad) adalah 
mereka yang membai'ah Allah."


Al-bai'ah yang dimaksudkan di sini ialah mengikat janji atau ikrar setia. 
Orang yang berbuat demikian kepada Nabi Muhammad adalah seperti sudah 
mengikat janji setia kepada Allah SWT. Satu penjelasan tentang penghormatan 
Allah SWT kepadanya, iaitu insan yang dijadikan khalifah di muka bumi.

Pada satu ketika, sekumpulan orang Yahudi telah datang menemui Rasulullah 
SAW menyatakan bahawa mereka menyintai Allah dan Allah juga menyintai 
mereka. Kerana itu mereka tidak perlu berIman kepada Nabi Muhammad. Allah 
SWT tidak menerima pengakuan mereka.

Allah SWT menyatakan bahawa syarat untuk menyintai diri-Nya ialah dengan 
mengikut Nabi Muhammad SAW. Hal demikian tersebut jelas di dalam firman-Nya, 
yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu (benar-benar) kasihkan Allah, ikutlah 
daku, nescaya Allah, mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu."

Kenyataan-kenyataan di atas membuktikan bahawa Rasulullah SAW itu adalah 
makhluk yang paling mulia berbanding dengan makhluk-makhluk yang dimuliakan 
oleh Allah SWT termasuk Malaikat.

Kerana kemuliaannya itulah maka kita diperintahkan agar menghormati dan 
memuliakannya. Malah kalau kita teliti, ternyata bahawa Allah SWT sendiri, 
iaitu Zat yang paling tinggi lagi agung pun memuliakan baginda.

Di antara cara yang terbaik untuk memuliakannya ialah dengan menyebut dengan 
sebaik-baik sebutan, seperti menyebut perkataan sayyidina sebelum perkataan 
"Muhammad" ketika berselawat atau sembahyang.

Menurut Imam-imam fikah yang muktamad dalam mazhab asy-Syafie, sebutan 
sayyidina sebelum sebutan nama "Muhammad" dalam selawat itu adalah lebih 
afdhal atau lebih utama, kerana ia merupakan satu penghormatan dan kemuliaan 
kepadanya, yang sesuai dengan martabat dirinya yang begitu tinggi.

Tersebut dalam kitab Ianatut Talibin (kitab yang mensyarahkan kitab Fathul 
Muin), bahawa sebutan as-siadah (sayyidina) itu adalah lebih utama, kerana 
bersopan terhadap Nabi itu adalah lebih baik.

Bermaksud bahawa mengucap selawat ke atas Nabi tanpa menyebut perkataan 
sayyidina sebelum perkataan "Muhammad" itu juga dibolehkan, tetapi kurang 
sopan.

Menurut Syeikh Syahabuddin al-Qalyubi, bahawa tidak rosak menambah perkataan 
sayyidina sebelum nama Muhammad (pada tasyahud dan selawat). Malah itu 
adalah yang paling afdhal kerana sebutan tersebut adalah perbuatan memulia 
dan menghormati Nabi dan menjalankan perintah Nabi.

Menurut al-Qalyubi, menyebut perkataan sayyidina itu adalah cara berselawat 
seperti yang diperintahkan di samping menghormati dan memuliakan Nabi 
Muhammad SAW.

As-Syeikh Shamsuddin ar-Ramli menyebutkan bahawa sebutan perkataan sayyidina 
pada selawat itu adalah paling afdhal. Dengan berbuat demikian kita telah 
melakukan sesuatu yang disuruh oleh Rasulullah SAW dan telah mengucapkan 
sesuatu yang benar, iaitu berbicara atau menyebut nama baginda dengan sopan 
dan beradab.

Begitu juga pendapat asy-Syeikh Muhammad pengarang kitab Dalailul Khairat. 
Selain menggunakan perkataan sayyidina perkataan Maulana dan lain-lain 
perkataan yang menunjukkan kemuliaan, penghormatan dan membesar-besarkan 
(bukan mendewa-dewakannya) Nabi ketika berselawat adalah lebih afdhal 
digunakan.

Penggunaan kalimah sayyidina ini adalah merupakan satu fatwa yang telah lama 
dan masyhur di kalangan Ulama' Islam.

Firman Allah Ta'ala di dalam al-Qur'an, bermaksud :

"Jangan kamu memanggil Rasul seperti panggilan di antara kamu."

[An-Nur : 31]


Dalam sebuah Hadis daripada Abdullah bin Masid r.a., ia berkata, Rasulullah 
SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Apabila kamu berselawat kepada aku, maka berselawatlah dengan 
sebaik-baiknya, maka sesungguhnya kamu tidak tahu bahawa kemungkinan selawat 
itu dihadapkan kepada aku. Sebutlah : Ya Allah, turunkanlah rahmat dan 
berkat Engkau untuk penghulu sekalian Rasul, Imam sekalian orang yang 
bertaqwa, Nabi yang paling akhir, hamba-Mu dan Rasul-Mu, Imam segala macam 
kebajikan, pembimbing segala macam kebaikan, Rasul yang membawa rahmat."


Hadis ini mengajar kita agar menggunakan perkataan seperti (dalam bahasa 
Arabnya) Sayyidul Mursalin, Imamal Muttaqin, Khatamun Nabiyyin, Rasuluka, 
Imamal Khair dan Rasulurrahmah.

Wallahu ta'ala a'lam…….

Wassalamu…….

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri



>From: "Zainol Zainuddin" <[EMAIL PROTECTED]>
>To: [EMAIL PROTECTED], [EMAIL PROTECTED]
>Subject: Re: H-Net* Re: [islah-net] Re: Tariqat Sufiah - Pengakuan Ulama' 
>Syariah Tersohor
>Date: Tue, 08 Aug 2000 00:56:08 GMT

>Wa'alaikumsalam dan salam kembali,
>Amat bersetuju dengan pendapat saudara Osman, tentang ilmu hadith. Saya 
>cuma
>memberikan antara 2 cth sahaja. Apa yang saya yang ingin saya tekankan
>adalah sifat bersangka buruk antara satu sama lain. Jika berlainan
>pandangan, berdiskusile secara sopan dan ilmiah. Jikalau sesuatu amalan tu
>dibuat atau tak dibuat, setiap org mempunyai persepsinya sendiri. Itulah
>perlunya berguru dan research. Ambil le yang baik , atau yang lebih baik.
>Wassalam.
>
>p.s.  Kalau saudara Osman ada terjumpa akan hadith-hadith sahih tentang
>keafdholan menyebut "saidina" semasa bertahiyat akhir, pls E-mail to me.
>Terima Kasih.
>

________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke