*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Assalaamu'alaikum.
Kita tidak dilarang berbalah pendapat tetapi jagalah batas batas antara Iman
dan Kufur.

Malay Section 
  
Dr Shaikh Taha Jabir Al-Awani, Pengerusi, Majlis Fiqh Amerika-Kanada dan
ahli Majlis Fiqh Antarabangsa, Jeddah baru-baru ini telah memberikan
pandangan menurut Syariah berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh hakim
Arifin Jaka terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Berikut
adalah terjemahan penuh teks perutusan beliau.
(24 Ogos 2000)

***************************************************

Pandangan (Fatwa) Syariah Terhadap Hukuman Bersalah Dato' Seri Anwar Ibrahim


Pandangan ini adalah berhubung dengan perbicaraan dan hukuman yang
dijatuhkan oleh Hakim Arifin Jaka. Hakim tersebut telah mendapati tertuduh
Dato' Seri Anwar Ibrahim bersalah seperti didakwa dan telah menjatuhkan
hukuman sembilan tahun penjara. Pandangan ini berdasarkan kepada
laporan-laporan media dunia yang mengikuti prosiding tersebut setiap hari
perbicaraan berjalan. 

Bagaimanakah Syariah melihat kesahihan dan keadilan perbicaraan serta
hukuman yang dijatuhkan? 

1. Syariah memperakui bahawa tertuduh dalam keadaan lemah memandangkan
beliau dihadapkan ke muka pengadilan dan berada di pihak yang didakwa.

Beliau berhadapan dengan penganiayaan dan hak asasi beliau dicerobohi. 

Prinsip utama Syariah ialah menegakkan Keadilan. Atas alasan ini maka kita
dapati Rasulullah s.a.w. dan para Khulafaa al-Rashiduun menggariskan panduan
kepada para hakim yang dilantik, dengan mengingatkan mereka supaya peka dan
prihatin terhadap hak-hak asasi tertuduh. 

Setelah meneliti keseluruhan perbicaraan daripada kacamata Syariah,
seseorang boleh mencatatkan berjilid-jilid perlanggaran hak-hak asasi
"tertuduh". Kami akan menghadkannya pada beberapa persoalan sahaja. 

2. Tuduhan yang didakwa iaitu salahlaku liwat adalah satu jenayah maruah dan
akhlaq, seperti zina, yang memerlukan empat (4) orang saksi yang boleh
dipercayai yang telah melihat salahlaku tersebut secara sah, tanpa sebarang
halangan atau gangguan.

Sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam keterangan yang diberi, maka
keseluruhan kes hendaklah dibuang dan para saksi atau pendakwa adalah
bersalah kerana memburuk-burukkan dan memfitnah. 

3. Syariah juga mengambilkira kes di mana seorang awam biasa menuduh seorang
yang mempunyai kedudukan. 

Syariah memperakui bahawa kemungkinan terdapat kelemahan manusia seperti
perasaan tamak, cemburu hasad dengki dan mempunyai motif tidak jujur. 

Islam menuntut bukti yang melampaui batas keperibadian daripada pihak yang
didakwa sebagai "mangsa". Jika terdapat sebarang keraguan dalam keterangan
yang diberi, kes tersebut hendaklah dibuang dan pihak "penuduh" hendaklah
dihukum. 

Ini merupakan satu bentuk perlindungan yang berkesan dan adil terhadap
masyarakat.

4. Menafikan hak tertuduh untuk memanggil saksi utama kes dalam kedudukan
saksi sebagai Perdana Menteri. Saksi ini mempunyai bukti kukuh kerana:


Pertama, Beliau, pada awalnya, telah mengisytiharkan bahawa tertuduh tidak
bersalah. 

Kedua, Kemudian, beliau beriya-iya dan berulangkali mengumumkan kepada umum
bahawa beliau yakin tertuduh bersalah.

Ketiga, Beliau, selaku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada waktu
tersebut berkuasa untuk mendapatkan laporan-laporan polis dan perisikan,
memandangkan beliau bertindak sebagai pemimpin tertinggi mereka.

Keempat, Beliau telah bertemu secara peribadi dengan pihak yang didakwa
sebagai mangsa dan saksi utama pendakwa, Azizan bersama saksi utama dalam
perbicaraan awal iaitu Ummi Hafilda.

Kelima, Beliau merupakan ketua langsung kepada tertuduh dan pemimpinnya
selama 17 tahun. Beliau merupakan "saksi perwatakan" memandangkan kes
tersebut melibatkan watak dan akhlaq peribadi. 
Keenam, Al-Quran menegaskan bahawa saksi tidak boleh menyembunyikan
persaksiannya apabila diminta. 
Penafian persaksian merupakan halangan kepada proses keadilan dan merupakan
dosa besar dalam Islam.

5. Tertuduh dinafikan permohonan, dari segi perundangan, untuk membolehkan
"mangsa" dan saksi utama pendakwa diperiksa dari segi perubatan terhadap
tanda-tanda diliwat. 

Bukti perubatan boleh dijadikan bukti kukuh dalam kes-kes seumpama ini.
Bukti ini menjadi lebih penting apabila tertuduh lain, Sukma, tidak
mengalami tanda-tanda diliwat. 

Bukti ini menyokong dakwaannya bahawa perakuan awalnya dibuat secara
paksaan. Ini menunjukkan bagaimana pihak pendakwa meminda pendakwaan mereka
dan menjadikan Sukma sebagai tertuduh kedua yang meliwat Azizan dan tidak
diliwat oleh tertuduh, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

6. Tidak khusus dalam penetapan tarikh pertuduhan berlakunya jenayah. Saksi
utama pendakwa yang juga "mangsa" menyebut satu tarikh yang tidak dapat
dibuktikan dalam alibi. 

Beliau sering menukarkan tarikh berdasarkan tahun dan bulan. Dalam mana-mana
mahkamah Syariah dan sivil yang adil, ini sudah cukup untuk menutup kes dan
mengenakan hukuman terhadap saksi dan "mangsa" kerana kesalahan memfitnah
("Qathf"). 

Adalah dikesali kerana mahkamah telah menerima satu tempuh selama beberapa
bulan dan menafikan hak tertuduh bagi menentukan tarikh yang tepat. 

7. Mempengaruhi saksi: Adalah jelas dalam perbicaraan bahawa Azizan telah
mengaku beliau diajar oleh polis dan pendakwa dalam meminda tarikh-tarikh
tersebut. 

Tidak ada mana-mana mahkamah Syariah atau sivil yang memperakui saksi ini
sebagai "boleh dipercayai". 

8. Ugutan terhadap Peguambela: Semasa perbicaraan, hakim kerap mengancam
pihak peguambela dengan ancaman "menghina mahkamah" sehingga dalam satu
masa, beliau telah menjatuhkan hukuman kononnya telah menghina mahkamah
kepada salah seorang peguambela. 

Pemerhati antarabangsa bersetuju bahawa peguambela tersebut telah
menjalankan tugasnya mengikut profesionnya.

Syariah berpendapat sebarang ugutan terhadap seseorang peguambela adalah
merupakan ugutan terhadap pihak tertuduh itu sendiri. 

9. "Penuduh" dan saksi utama (Azizan) menurut hukum Syariah tidak layak
menjadi saksi selama-lamanya. Beliau pernah didapati bersalah kerana
"berzina". 

Al-Quran telah menyatakan secara khusus dan jelas dalam hal ini. Berdasarkan
kepada perkiraan-perkiraan Syariah di atas, perbicaraan dan keputusan
perbicaraan tersebut merupakan keputusan yang memalukan Sistem Malaysia dan
keadilan. Ia telah memusnahkan nama baik Malaysia.

Hakim sepatutnya menegakkan nilai-nilai keadilan dan Syariah serta etika
profesionnya dengan membuang kes tersebut. 

Hakim seperti beliau menjadi sasaran peringatan oleh Rasulullah s.a.w. dalam
hadith baginda iaitu; dua daripada tiga hakim yang masuk Neraka.

Sebagai rumusan, menurut pandangan Islam, hukuman yang dikenakan terhadap
Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau melakukan salahlaku liwat
adalah tidak sah

Bukti kukuh Syariah ialah dalam pendakwaan dan pertuduhan dan mereka gagal
membuktikan salahlaku tersebut tanpa keraguan yang munasabah.

Pengadilan sebagaimana yang telah ditunjukkan adalah satu perlanggaran
terhadap keadilan dan hukum Syariah dalam bentuk dan perlaksanaannya. Ia
adalah pencerobohan yang jelas terhadap hak-hak asasi manusia pihak
tertuduh.

Dato' Seri Anwar Ibrahim patut diisytiharkan tidak bersalah. Beliau patut
dibebaskan serta-merta dan para penuduh beliau dibicarakan kerana memfitnah.
Wabillahit-taufiq wal-hidayah. 

Dr Shaikh Taha Jabir Al-Awani Pengerusi,
Majlis Fiqh Amerika dan Kanada Ahli, 
Majlis Fiqh Antarabangsa, 
Jeddah Ahli,
Majlis Fiqh Eropah Anggota Pengasas, 
Liga Islam Sedunia, Makkah Presiden, 
Graduate School of Islamic and Social Sciences Professor,
Kerusi Imam Al-Shafii,
GSISS 

Comments ? E-mail Us
 

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Abdul Hamid <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke