POLIGAMI .....IBADAH SUCI

Penulis : Kashfullah bin Amaluddin

Dengan Asma ALLAH, Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang

Assalamu’alaikumwarrahmatullahiwabarokatuh,

                  Kepada semua pembaca terutamanya kaum wanita yang amat dihormati,   penulis ingin secara ikhlas dan rendah diri menasihati anda semua agar terus membaca rencana ini, biarpun mungkin ada antara anda yang selama ini tidak yakin , marah atau mempersoalkan konsep poligami dari segi hukum mahupun “implementation in actual society”. Istiqamah anda semua untuk terus membaca rencana ini hingga selesai amatlah dihargai. Soal anda dapat menerima kandungan rencana ini ataupun tidak adalah tidak diutamakan.

                 Yang penting ialah anda membaca kesemuanya dan berfikir dengan ikhlas. Segala yang benar adalah dari ALLAH SWT dan segala yang salah dan tersilap adalah kerana kelemahan dan kedhoifan saya sebagai hambaNYA yang lemah dan kurang ilmu. Semoga rencana ini dapat mencanai kembali fikrah dan perancangan kita seterusnya , baik kepada muslimin apatah lagi muslimat. 
 

Muqqadimmah

Sabda Nabi SAW:
 

“ Apabila anak perempuan kamu telah baligh, maka nikahkanlah dia”
 

Jika kita mengkaji dan mengupas hadis yang tersebut diatas, tentulah  perlu kita tekankan tujuan ianya disampaikan oleh Baginda SAW. Mengapakah perlu disegerakan seseorang gadis yang telah mencapai akhil baligh untuk bernikah. Pasti ada jawaban terhadap tuntutan ini. Perkahwinan itu sendiri adalah amat dituntut oleh Islam. Di samping ianya dapat menyelesaikan keperluan dan tuntutan zahir dan batin insaniah, menyambungkan zuriat keturunan keluarga, ianya juga merupakan suatu formula rawatan kepada permasalahan sosial ummah.
 

Firman ALLAH SWT:

 “ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat ( yang membawa kerosakan ).”
 

                                                                          - Surah Al-Israa’ : 32

Jalan yang halal lagi barokah untuk memenuhi tuntutan zahir, batin dan kesinambungan zuriat keturunan adalah melalui jalan perkahwinan yang sah di sisi syarak.
 
 
 

Sabda Rasulullah SWT :

“ Orang-orang yang buruk diantara kamu ialah mereka yang masih hidup membujang dan diantara kamu yang matinya sia-sia ialah mereka yang hidup membujang”

                                             
         - Riwayat  Ahmad bin Hambal
 
 
 

Sabda Rasulullah SWT :

“ Dua rakaat yang dilakukan oleh yang berkeluarga lebih afdal daripada tujuh puluh rakaat yang dilakukan oleh orang yang hidup membujang”
 

                                                         - Hadis dikemukakan oleh ‘Adiy berasal dari Abu Hurairah        
          

Antara asbab  yang menjadikan perkahwinan itu salah satu faktor utama penyelesaian masalah ummah ialah kerana setiap masyarakat bermula daripada individu insaniah yang mana setiap insaniah pula terdiri daripada elemen  akal,  ruh, jasad, nafsu dan naluri. Tuntutan untuk memenuhi segala aspek elemen insaniah ini adalah asas kepada keseimbangan kesihatan dan kesempurnaan insaniah tersebut, lantas menjalinkan ikatan kekeluargaan  yang mantap seterusnya kepada suatu masyarakat yang beriman, bertaqwa dan harmonis.
 
 

Wanita

           Wanita  atau  kaum Hawa adalah amat dimuliakan oleh Islam. Islam yang dibawa oleh para Rasul-rasul dan Nabi-nabi turut sama membawa pembelaan terhadap kaum Hawa yang telah dizalimi oleh mereka yang tidak beriman. Di zaman Jahiliah, kaum wanita dianggap pembawa masalah, aib dan beban terhadap sesebuah keluarga. Malah kaum Hawa dilayani secara zalim, membatasi norma-norma kemanusian hanya sekadar untuk memuaskan nafsu serakah lelaki jahiliah. Umat Islam tidak wajar melemparkan tuduhan bahawa ada antara hukum ketentuan dari ALLAH SWT bersifat menzalimi mereka kerana ALLAH SWT telah mengharamkan sifat zalim itu dari diriNYA. 
 

Sabda Rasulullah SAW:

“ Barangsiapa menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan ALLAH. Orang yang menangis kerana takutkan ALLAH diharamkan ALLAH akan api neraka ke atas tubuhnya”
 
 Sabda Rasulullah SAW:
   

“ Syurga itu dibawah telapak kaki ibu”
                                                           
                                                                 - Riwayat An-Sa’i
                Namun begitu , disebalik Islam memuliakan kaum Hawa, Islam juga memberi suatu peringatan akan bahaya mereka kepada ummah. Kisah yang dinukilkan dari datuk kita Nabi Adam a.s dan nenda kita Siti Hawa rmh. berkenaan  penyingkiran mereka dari syurga cukup untuk mengajar kita hakikat sebenar. Bilamana sahaja seseorang wanita itu telah mencapai akhil baligh, ia secara tidak langsung boleh menjadi suatu fitnah kepada lelaki, sekiranya wanita tersebut tidak mentaati tuntutan Islam. Bentuk tubuh, rambut, suara dan gaya penampilan wanita dengan mudah membangkitkan syahwat dan mengaburi mata ramai lelaki, apatah lagi sekiranya lelaki tersebut tidak beriman malah jahil agama. Sebaliknya, sekiranya wanita tersebut memenuhi tuntutan syarak, Islam akan menungkat naik martabat dan maqam wanita tersebut ke tahap yang mulia.

Sabda Rasulullah SAW:

“ ......dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita-wanita yang solehah”
 

            Islam  sebagai Ad-Din menyediakan suatu platform yang jelas dalam menangani segala aspek  permasalahan Bani Adam, baik dari segi zahir dan batin insaniah hinggalah kepada soal perundangan negara malah hingga kepada soal akhirat. Oleh yang demikian, memandangkan hanya Islamlah satu-satunya silibus dan “ Way Of Life” yang benar dan efektif bagi Bani Adam, maka adalah menjadi suatu kewajiban bagi setiap insan yang mengakui dirinya sebagai Muslim / Muslimat untuk mempelajari dan memahami Islam itu sendiri agar dapat mempraktikkan Islam di dalam kehidupannya dan seluruh persekitarannya. Ibarat suatu ubat yang mujarab untuk merawat sesuatu penyakit, namun jika seorang pesakit itu tidak faham akan kegunaan ubat tersebut, dosnya dan cara pengambilannya, tentulah ubat mujarab itu tidak akan menyelesaikan dan menyembuhkan sakitnya dengan baik (biarpun begitu, hakikatnya ialah yang menyembuhkan ialah ALLAH. Ubat hanyalah suatu alat dan ikhtiar yang bertindak dengan izin ALLAH jua).

           
Penyakit ummah
 

      Suatu masalah dan kelemahan yang telah menjadi umpama suatu “killer-virus” kepada sebahgian besar umat Islam itu sendiri ialah kejahilan agama, lantas membuahkan penyakit iman dan tidak yakin terhadap ketentuan dan janji ALLAH SWT. Malah angkara dari penyakit ini jualah , Islam yang dibawa telah dicampur adukkan dengan logika akal, nafsu, cemburu buta, material , cinta dunia dan sebagainya. Asas kepada Islam iaitu Tauhid, jika difahami dan diimani pastinya akan membuka suatu ruang skop penerimaan secara syumul dan total kepada hukum-hakam dan ketentuan Islam, tanpa banyak soal, alasan dan rungutan. 

       Marilah kita   meninjau lebih mendalam akan tajuk rencana ini. Bagi setiap mereka yang beriman, pastilah segala isi Al-Quran dijunjung dan  dipegang dengan kukuh dan mantap. Mereka yakin Al-Quran itu hidup dan boleh diterima pakai sejak dulu hingga selamanya sebagai  “ hudallil muttaqin”, iaitu petunjuk kepada orang-orang yang mahu bertaqwa. Tiada yang difirmankan oleh ALLAH SWT di dalam Al-Quran yang boleh dianggap sudah  lapok. Malah Al-Quran “Can Withstand The Test Of  Time , Society, Culture and Science”.

        Cukup mudah untuk melafazkan perkara ini dibibir, namun ada beberapa konteks yang dijelaskan oleh Al-Quran itu masih sukar diterima atau pun dicari helah untuk tidak menerima secara total. Soal poligami yang diutarakan di dalam Al-Quran adalah salah satu perkara yang dimaksudkan. Seribu satu alasan, halangan , hentaman dan kritikan dilemparkan dan adakalanya tindakan dan buah fikiran logik mereka secara langsung atau tidak langsung menjejaskan aqidah Islamiah mereka  sendiri tanpa mereka menyedarinya.
 

Firman ALLAH SWT :

“ Dan di apabila dikatakan kepada mereka : “ Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”

“ Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”
 

                                                                             - Surah Al-Baqarah : 11-12
        

               Mereka yang mencabar ketetapan ALLAH tidak sedar bahawa merekalah yang telah terlibat untuk melakukan kerosakan kepada ummah.
 

Firman ALLAH SWT :

“ Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan manusia, supaya ALLAH merasakan azab kepada mereka sebahgian daripada ( akibat ) perbuatan mereka, agar mereka kembali ( ke jalan yang benar )”

             - Surah Ar- Rum : 41 
 
 

          Hukum dari Ilahi ini sering dipandang serong sebagai zalim dan menindas wanita. Musuh-musuh Islam iaitu , Yahudi, Nasrani , Orientalis, Freemason, Atheis dan lain-lain, nampaknya telah berjaya memasukkan benih dan jarum racun mereka ke dalam minda dan fikrah umat Islam lantas menimbulkan keraguan dan persepsi yang salah terhadap isi kandungan  Al -Quran dan hukum-hakam dari ALLAH SWT. Penilaian sesuatu perkara  yang hanya ditunjangi oleh logika akal, material dan nafsu  telah mula sebati dan berkarat dikalangan umat Islam itu sendiri. Malah telah menolak tepi dasar Tauhid, tawakkal dan redho ke atas tuntutan dan syariat dari ALLAH SWT. Sudah hampir pupus suara-suara laungan mereka yang beriman ;

“ Sami’na Wa Ato’na..... ( Kami dengar dan kami taat )”
 

          Penulis menasihati dirinya dan semua pembaca muslimin dan muslimat agar kembali kepada tuntutan Islam dan segala aspek kehidupan.
 
 

Firman ALLAH SWT :

“ Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian ) itu, mereka mencari lain dari ugama ALLAH? Padahal kepadaNYAlah tunduk ta’t sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan suka-rela ataupun terpaksa, dan kepadaNYAlah mereka dikembalikan”
 

                                                                               - Surah A-li  ‘Imran : 83

Seterusnya,

Firman ALLAH SWT :

“ Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab)  ALLAH ( Al - Quran )  dan ( Sunnah ) RasulNYA - jika kamu benar beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) , dan lebih elok pula kesudahannya”
 
 

                                                                          - Surah An-Nisaa’ : 59 
            

           
Nasihat kepada Suami

            Perlu juga ditekankan bahawa pihak lelaki juga perlulah berhati-hati dalam menilai diri agar segala hasrat dan tujuan hidup terutama dalam kes berpoligami ini adalah untuk dan demi mencari keredhoaan ALLAH. Keredhoaan ALLAH adalah kata putus untuk mendapat keberkatan dan pembelaan dariNYA. Si suami dituntut melakukan Solat Istikharah dan meningkatkan amalan dalam memohon petunjuk dari ALLAH SWT. Sekiranya dengan petunjuk dari ALLAH SWT berat kepada meneruskan hasrat ini , maka yakinlah. Janganlah juga bersifat mengambil kesempatan tanpa mengambil kira keredhoan ALLAH SWT  apatah lagi ketika sedang menyedari bahawa diri tidak ikhlas kerana ALLAH dalam hasrat ini. Mungkin permasalahan yang  timbul setelah berpoligami adalah kerana tidak mendapat restu ALLAH SWT. Kesan daripada ini pihak-pihak yang memang menentang poligami mengambil kesempatan unukk memburuk-burukkan serta menghalang poligami itu sendiri.
 

Firman ALLAH SWT :

“ Sesiapa yang memberikan syafa’at  ( pertolongan ) yang baik, nescaya ia akan memperolehi bahgian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafa’at (pertolongan) yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahgian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

                                                                            - Surah An - Nisaa’ : 85
 
 

Hikmah Poligami

           Salah satu tanda akhir zaman ialah ramainya wanita berbanding lelaki. Kini semua lapisan masyarakat baik lelaki, baik wanita, tidak mengira apa bangsa dan negara pasti akan bersetuju dengan fenomena ini yang telah pun disabdakan oleh Rasul tercinta Nabi Muhammad SAW. Jika suatu kajian  terperinci dilakukan ke atas fenomena ini,  laporannya  pasti akan mengejutkan ramai pihak. Untuk memfokuskan masalah ini, penulis hanya akan mengisytiharkan status bagi Negeri Selangor. Sehingga September 2000, nisbah wanita yang tidak pernah ada sebarang rekod perkahwinan berbanding lelaki yang tidak pernah ada sebarang rekod perkahwinan ialah 16. 2 nisbah  1 ( 16. 2  :   1 ). Ini bermakna jika setiap lelaki ini bernikah hanya satu wanita, masih ada lebih kurang 15 wanita yang tidak bersuami. Nisbah ini tidak lagi mengambil kira jumlah janda dan balu seluruh Malaysia , di mana di seluruh Malaysia hingga September 2000, terdapat sekitar 600,000 janda seluruh negara tidak termasuk balu. Bagaimana pula dengan janda atau balu yang terpaksa melacurkan diri ataupun menjadi tukang urut untuk menampung keperluan diri dan anak-anak ? Angka-angka ini pastinya memeranjatkan. Sudah tentu.....!!!!! 

           Apakah implikasi dari fenomena ini ? Kes perzinaan di kalangan gadis-pemuda Melayu Islam amatlah menakutkan. Kes gadis Melayu Islam yang bercinta dan kahwin lari dengan pekerja asing dari kalangan warga Indonesia, Bangladesh dan Pakistan meningkat dengan begitu drastik sekali. Antara faktor utama selain masalah keruntuhan akhlak ialah kerana kesukaran mendapatkan calon dari kalangan rakyat tempatan.

               Bagi wanita - wanita yang berstatus janda pula, mereka sukar sekali untuk memulakan rumahtangga yang baru kerana tidak ada pembelaan dan galakkan oleh orang Islam sendiri. Malu dengan status dirinya, bimbang dituduh perampas suami orang dan sebagainya. Malah dengan sistem kerajaan Barisan Nasional kini, mana-mana wanita berstatus balu kepada bekas kakitangan kerajaan tidak lagi layak menerima wang pencen hayat mendiang suaminya ( bagi saraan diri -anak serta pendidikan anak hingga berumur 21 tahun atau hingga Ijazah Sarjana Muda ) seandainya dia bernikah lain. Cubalah bayangkan sekiranya balu ini masih muda dan anak masih kecil, bukan hanya amat sukar untuk mencari suami baru  malah akan kehilangan wang saraan ini. Mereka amat menderita menahan tekanan jiwa dan batin. Saya yakin setiap mendiang yang meninggal dunia itu pastinya tidak mahu isterinya hidup keseorangan dan tidak lagi bernikah serta tidak mendapat pembelaan bagi diri dan anak-anaknya setelah dia meninggal dunia.

              Namun begitu, di dalam menifesto pilihanraya oleh Barisan Alternatif ( PAS, ADIL, DAP   dan PRM ), jelas dinyatakan rancangan untuk mengekalkan bayaran pencen hayat ini kepada semua balu kakitangan kerajaan meskipun mereka bernikah semula tanpa mengira bangsa , agama mahupun berapa kali mereka nikah-cerai-nikah semula......Oleh itu....UNDILAH BARISAN ALTERNATIF didalam pilihanraya akan datang !
 

               Jika seluruh wakil-wakil agama seluruh dunia dapat dikumpulkan dibawah satu bumbung dan satu perbincangan serius diadakan diantara mereka  (dengan masing-masing berpegang kepada satu “common aggreement” iaitu perzinaan adalah haram bagi setiap agama ),  bagi mencari penyelesaian masalah ini  iaitu berhubung jurang perbezaan yang besar antara jumlah lelaki dan wanita di dunia terutamanya dari konteks pembelaan janda, balu dan andartu , apakah yang keputusan yang bakal kita jangkakan ?

            Jawabannya hanyalah dapat dihasilkan dari perspektif agama Islam dimana ianya telah dirakamkan oleh ALLAH SWT lebih 1400 tahun yang lalu melalui lidah kekasihNYA, Nabi Muhammad SAW, di dalam Al - Quranul Karim.
 
 
 

Firman ALLAH SWT :

“......maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan ( lain ); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara isteri-isteri kamu ) maka ( berkahwinlah dengan ) seorang saja, atau ( pakailah ) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat ( untuk mencegah ) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
 

 - Surah An-Nisaa’ : 3                          
  

Islam mengharuskan seorang lelaki berkahwin sampai  4 orang. Namun dalam keadaan tertentu menjadi wajib bagi lelaki itu berpoligami. Tentu ada hikmah di sebalik Islam mengharuskan berkahwin sampai empat orang ini. Banyak hikmah di sebaliknya dan diantaranya :

1.      Sebagai pembelaan kepada kaum wanita yang lebih ramai jumlahnya dari kaum lelaki bagi mengurangi  bilangan andartu.
 

2.      Pembelaan kepada janda-janda  dan balu-balu yang memerlukan perlindungan suami.

3.      Diwaktu isteri keuzuran seperti haid, nifas atau sakit yang berpanjangan. Ada isteri yang lain yang dapat membantu menyelesaikan keperluan insaniah suami , lahir dan batin agar tidak membuka ruang tekanan pada suami hingga menyebabkan mereka menghampiri zina. Hal ini janganlah di salah ertikan seolah lelaki itu gila seks. Ini adalah kerana fitrah kejadian , naluri , nafsu dan keperluan diantara seorang lelaki dan wanita tidak lah sama. Lelaki memang telah dijelaskan oleh  hadis mempunyai satu nafsu yang menjurus pada syahwat, sedangkan wanita mempunyai lebih nafsu tetapi disebarkan kepada banyak aspek , malah sifat malu yang ada pada wanita itu sendiri amat memberi kesan terhadap kemampuannya mengawal diri dan maruah. Bukalah minda anda terhadap hakikat fitrah kejadian makhluk ALLAH SWT yang bergelar lelaki dan wanita. Ini bukan soal menzalimi isteri atau tidak lagi menyayangi isteri.

        Cubalah kita fikirkan, mengapakah dalam satu hadis , Nabi SWA. telah bersabda bahawa seorang isteri tidak boleh menolak tuntutan  suaminya untuk berjimak , biarpun ketika itu berada di atas bonggol unta, melainkan ada uzur syari’e. Islam amat mementingkan pencegahan dari maksiat. Malah segala pintu-pintu maksiat ditangani oleh Islam dengan segera sejak dari mula. Tuntutan dan keperluan seksual lelaki yang terhalang boleh menjejaskan kesihatannya dan menganggu tumpuannya dalam aktiviti harian apatah lagi ibadah. Yang amat dibimbangi ialah sekiranya lelaki itu pula mempunyai  iman yang lemah dan lelaki itu pula  hilang kawalan diri, maka  dikhuatiri berlaku maksiat. Penulis mendoakan agar ALLAH SWT pemberikan kefahaman ilmu kepada kaum wanita. Amin.
 
3.      Sebagai jalan keluar untuk melahirkan zuriat yang ramai jika isteri tidak boleh mengandung.

4.     Setiap wanita memiliki watak, minat dan bakat yang berbeza di antara satu sama lain. Bila beristeri ramai, watak, minat dan bakat isteri-isteri yang berbeza-beza itu akan mematangkan suami dalam memimpin isteri dan dalam soal berkaitan tuntutan perjuangan, dakwah dan jihad. Dan sesetengah watak, minat dan bakat isteri-isteri itu pula diperlukan dalam membantu tugas-tugas suami di luar rumah atau dalam profesyennya. Ada isteri yang diperlukan untuk pengurusan rumahtangga dan anak-anak. Bukan dipaksa-paksa tetapi memang watak, minat dan bakatnya terserlah dibidang pengurusan rumah dan anak-anak. Terhibur dengan tugasnya.
 

Dari Ibnu Mas’ud bersabda Rasulullah SAW :

“ Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka ALLAH memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya ( sepuluh ribu tahun ) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.”
 
 
 

Apakah itu Keadilan
 

          Antara isu yang sering dimomokkan oleh penentang poligami yang secara tidak langsung telah menzahirkan diri mereka sebagai mangsa suntikan jarum beracun Sekular, Orientalis dan musuh-musuh Islam ialah isu “keadilan”. Hampir kesemua mereka ini melemparkan hujah mereka yang tidak berlandaskan syarak dan Ihjtihad ulamak Feqah. Hujah-hujah dangkal mereka hingga kini hanyalah berkisar kepada contoh-contoh persekitaran dan material yang telah banyak diexploitasikan oleh media-media pena,cetak dan audio/visual yang jelas ditadbir oleh kerajaan Sekular yang tidak meletakkan Al-Quran, Sunnah, Ihjtihad dan Qias sebagai dasar hukum negara dan siasah. 

           Kolum-kolum akhbar mingguan seperti “Asam Garam Rumah Tangga”  yang sering menampilkan kehancuran rumahtangga berpoligami , sememangnya menjadi rujukkan umat Islam ( terutama dari kalangan wanita ) dan bukannya Al-Quran, Sirrah dan Sunnah Nabi SAW, Sirrah para sahabat Baginda , para Tabi’in dan ulamak. Ini semua telah membentuk satu acuan fikrah yang tidak sihat terhadap konsep dan pengamalan poligami. Penulis sendiri mempunyai ramai kenalan yang berpoligami dan mereka semua bahagia. Isu wujudnya keluarga berpoligami yang bahagia tidak ditampilkan kepada masyarakat kerana alasan kurang sensasi dan tunduk kepada bantahan isteri-isteri pemimpin negara dan orang kenamaan negara yang ada antara mereka dengan nada yang keras dan tidak malu berkata :“ Kami lebih rela suami kami main perempuan lain daripada dia nikah perempuan lain”. 
Astargfirullahala’zhim.!!!!!! Apa sudah jadi dengan iman kamu ?

Renungilah kata-kata seorang ‘Abid :

“ Menutup pintu poligami bererti membuka pintu zina”
 

          Terlalu celupar mulut-mulut yang menentang poligami sedangkan mulut-mulut itu tidak pernah membicarakan soal penyelesaian  dan penghapusan zina, soal exploitasi seks terhadap kaum wanita dan soal pembelaan kaum andartu, janda dan balu.
 

           Berbalik kita kepada soal keadilan. Ramai wanita yang jahil agama memandang  dan membuat definasi sendiri  bahawa keadilan itu  sebagai samarata dan samarasa. Ini bukanlah yang ditakrifkan oleh syarak. Syarak dengan jelas mendefinasikan keadilan sebagai meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Seperti kasut di kaki , kopiah letaknya di kepala dan sebagainya. Keadilan itu bukanlah membahagikan sesuatu itu sama rata atau sama banyak tetapi membahagikan sesuatu sama adil iaitu mengikut yang sepatutnya. Sebahgian orang yang berpoligami menganggap keadilan itu ertinya sama di sudut lahir dan batin. Kalau A dapat kain 2 meter, B pun mestilah dapat 2 meter juga. Tetapi bagaimana kalau B berbadan besar dan lebih tinggi, sudah tentu 2 meter tidak cukup. Apakah dengan menambah lebar dan panjang kain tadi untuk B agar dapat dibuat pakaiannya itu dianggap tidak adil?. Jawabannya ialah ini adalah adil yang dituntut. Bukan jumlah panjang kain yang penting tetapi suatu ukuran nisbah yang mencukupi kadar bagi keduanya sekadar yang diperlukan mereka.

            Begitulah halnya, jika wanita yang hendak dijadikan isteri kedua  itu seorang yang telah mencapai taraf andartu , namun begitu ianya telah mempunyai rumah, pekerjaan tetap , bergaji selesa dan berkenderaan. Dan jika wanita itu pula dengan penuh redho untuk bernikah dengan seorang suami orang yang berpendapatan sederhana dimana wanita itu tidak memerlukan sangat wang dari lelaki itu kerana telah sedia ada. Yang dia  perlukan ialah kasih sayang, bimbingan dan perlindungan dari seorang lelaki yang sah dan halal dari hukum syarak. Apakah perlu kita membebankan lelaki tersebut dengan seribu satu syarat kewangan yang bukan merupakan keperluan wanita tersebut. Kesunyian seorang wanita tidak akan dapat ditukar ganti dengan wang ringgit.  Janganlah ada wanita yang menuduh lelaki mengambil kesempatan keatas kestabilan ekonomi wanita yang andartu untuk mengahwininya. Nabi SAW turut sama bernikah dengan seorang  hartawanyang berstatus janda, bunda kita  Ummul Mukminin rmh., Siti Khadijah  yang turut memberikan sokongan kewangan , kasih sayang dan moral kepada Baginda SAW. Malah aspek harta adalah salah satu perkara yang dibenarkan Islam sebagai dasar mencari calon isteri.
 

Sabda Rasulullah SAW :

“ Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara : Kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerena kebaikan akhlaknya dan kerana agamanya. Kahwinlah dengan wanita yang baik penghayatan agamanya, engkau akan mendapat ketenteraman”
 

         Jika bakal  isteri kedua adalah seorang solehah yang kebetulan berharta atau sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan yang stabil , apakah salahnya ? Kenapakah sering wanita memandang serong dengan begitu mudah sekali. Tidakkah mereka cuba fahami jeritan batin andartu, janda dan balu yang juga sama kaum dan mempunyai  naluri yang sama dengan mereka ? 
 

        Penulis mahu membawa pembaca jauh ke negara Ghana dimana sahabat penulis yang mempunyai ayah yang berpoligami. Kedua-dua isteri tinggal dibawah satu bumbung dan turut sama berkerja sambilan untuk membantu suami yang hanya seorang penjual daging di sebuah pasar di bandar  Accra. Bagaimana pula dengan datuk - datuk kita yang ada juga antaranya  berpoligami dan menjalani kehidupan yang sama seperti di atas sedangkan ia hanya seorang petani ?. Apakah kita terlalu bimbang tidak cukup makan hingga kita hilang pertimbangan yang waras dalam membincangkan soal poligami secara wajar ? Cukuplah kesilapan ini. Dimanakah iman kita terhadap janji ALLAH ?

Firman ALLAH : 

“ .....dan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH  (dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar ( dari segala perkara yang menyusahkannya ).”
 

      -    Surah At - Talaaq : 2
 

              Masalahnya ialah ramai wanita yang  mengenakan syarat ketat untuk membolehkan si  suami berpoligami, seperti mestilah mampu boleh menyediakan tempat tinggal berasingan, kereta baru  dan sebagainya kepada isteri kedua tanpa mengurangi segala yang sedia diterima oleh isteri pertama. Jika inilah kayu ukuran wanita, alangkah malunya!!! Kenapakah begitu fikrah anda?. Bagaimanakah pula dengan contoh di Ghana dan datuk-datuk kita ? Kenapa mereka boleh. Janganlah menjadikan kelemahan dan kekurangan diri anda untuk menjadi seorang isteri yang faham tuntutan Islam , redho dan zuhud , untuk menghalang pembelaan kepada kaum anda sendiri. Moga pihak wanita tidak lagi menyempitkan skop poligami yang telah dijumudkan oleh musuh-mush Islam. Islam amat menganjurkan agar perkahwinan itu dipermudahkan dan janganlah dibebankan dengan perkara-perkara yang tidak wajar.
 
 
 

Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a berkata :

“ Tidak ada yang mencegah  perkahwinan selain mati pucuk dan perzinaan”
 

         Penulis masih teringat serangan hujah kaum wanita kepada mereka yang berada yakni kaya serta berpoligami. Kata wanita ini : “ Mentang -mentang kaya kahwin lagi satu !!”  Tetapi kini, bila lelaki yang berpendapatan sederhana dan kecil bercadang untuk berpoligami , ada pula suara -suara sumbang dari kaum wanita juga : “ Kau mana boleh kahwin lagi satu, nak bagi makan apa kat mereka !!!!”. Kesimpulannya kedua-dua status kewangan lelaki, baik kaya atau sederhana/kecil ditentang. Ini apa cerita ini?. Sebagai muslim kita wajiblah bertindak selari dengan tuntutan syarak. Jika cemuhan dan bidalan masyarakat terutama kaum wanita yang kurang faham agama menjadi faktor keputusan kita...alangkah malangnya dan nasib wanita itu sendiri tidak terbela. Nilaikanlah kedudukan kita berlandaskan syarak dan jika ada calon yang memenuhi keseimbangan kewangan kita dan boleh bertolak ansur maka seharusnya kita dapat membuat keputusan yang sebaiknya. Dalam soal menuduh kaum lelaki tidak adil, cubalah pihak wanita merenungi ayat berikut.
 

Firman ALLAH SWT :

“ .....dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”.

-  Surah Al- Maidah : 8
 

Wahai kaum Hawa yang amat dihormati, jika terhadap kaum yang kita ada menaruh kebencian pun , kita diperintahkan oleh ALLAH agar berlaku adil , apatah lagi jika kaum yang hendak dibela itu iaitu andartu, janda dan balu adalah sama kaum dengan anda  yang pastinya anda sayangkan mereka ? Marilah bersikap adil.

Firman ALLAH SWT :

“ Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya ), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, 
( ALLAH menyuruh )  kamu menghukum dengan adil.”

                                        
                                                                            -  Surah An- Nisaa’ : 58 
 
 

         Tambahan lagi soal keadilan oleh suami yang berpoligami ini telah dibahaskan secara ilmiah oleh ulamak Syafi’ah dan mereka sepakat bahawa soal keadilan yang dituntut sangat ialah soal “keadilan zahiriah” , itu pun perlu berlandas kepada definasi Islam iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya seperti yang telah dihuraikan di atas. Soal batiniah tidaklah ditekankan oleh Islam kerana ianya sendiri teramat  bersifat subjektif.
 
 

Firman ALLAH SWT :

“ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh ( hendak melakukannnya ); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau ( berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi )  sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung ( di awang-awang ); dan jika kamu memperbaiki  (keadaan yang pincang itu ) , dan memelihara diri ( daripada perbuatan yang zalim),  maka sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
 

                                                                           - Surah An- Nisaa’ : 129
 

Jumhur ulamak telah bersepakat bahawa, soal  adil yang di bicarakan oleh ayat di atas adalah berkenaan soal batiniah. Nafkah yang diberikan oleh suami kepada isteri-isterinya hendaklah diberikan pada ukuran yang ma’aruf. Yakni ukuran yang menjadi kebiasaan sehari-hari. Misalnya, jika isterinya A sejak sebelum kahwin, sudah biasa makan daging dan buah-buahan setiap hari, maka nafkah yang diberikan oleh suami harus mencukupi keperluan tersebut. Jika isterinya B, hanya makan daging dan buah-buahan seminggu sekali, maka memadailah dengan kebiasaannya. Sudah tentunya ukuran ini tidak sama diantara satu sama lain. Namun inilah definasi syarak keatas konsep keadilan itu sendiri. Sekiranya si isteri pula redha untuk hidup berlebih kurang dengan kemampuan suami, tidaklah nafkah itu terbeban pada suami baik di dunia mahupun akhirat. Dan terlepaslah si suami dari soal jawab dengan ALLAH SWT dari segi keadilan dalam berpoligami.
 

Tidak mahu dimadu

           Memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai wanita atau isteri pada hari ini, tidak mahu dimadukan. Ada antaranya yang tidak menyetujui hukum itu. Ada pula yang dapat menerima hukum ALLAH tetapi takut jika suami tidak dapat berlaku adil berdasarkan kepada penilaian akalnya yang terbatas dan tidak dipandu oleh syarak. Jika dikaji secara ikhlas, sebenarnya kebanyakan isteri tidak dapat menerima poligami kerana nafsunya sudah cinta dunia. Suami itu merupakan dunia. Segala helah untuk menghalang dan menentang poligami  seperti mempertikaikan status kewangan suami, keadilan suami, mengambil kesempatan keatas wanita kerana dorongan seksual semata-mata dan rumahtangga akan porak poranda,  hanyalah alasan yang diciptakan untuk menipu dirinya sendiri dan ALLAH SWT. Ia sebenarnya takut kehilangan kasih sayang suami. Tidak rela suaminya jatuh dalam pelukan wanita lain. Ia mahu kalau boleh suaminya hanya miliknya saja. Malah ia akan menuduh wanita yang hendak bernikah dengan suami orang sebagai perampas suami orang. Ia tidak lagi nampak Akhirat yang lebih besar ganjarannya. Ia tidak nampak hikmah ketentuan hukum ALLAH ini. Ia lupa bahawa suaminya akan mati jua akhirnya. Yang tinggal hanyalah tulang belulang yang tidak berguna lagi

Firman ALLAH SWT :

“ Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).

                                                                         - Surah Al - ‘Ankabut  : 57
 
 

            Isteri serta wanita seperti ini lupa bahawa segala yang ALLAH SWT kurniakan kepada semua makhlukNYA adalah atas dasar pinjaman. ALLAH berhak mengambil kembali pada bila-bila masa. Ia lupa yang ia bukanlah yang menciptakan suaminya dari tiada kepada ada , malah tidak boleh menghidupkan suaminya jika telah mati....namun ia masih tidak sedar diri dan tidak  malu untuk menuduh wanita lain yang amat memerlukan suami secara ikhlas sebagai perampas suami orang , sedangkan suaminya itu pun pada hakikat yang sebenarnya , bukanlah miliknya sejati. Sudahlah suami itu barang pinjaman, namun tak malu mengaku suaminya itu hanyalah miliknya sorang sahaja dan tak mahu berkongsi walaupun demi membela kaumnya sendiri, meskipun ALLAH SWT telah menghalalkan perkara ini. 

                  Ya ! Memang secara lafaz umum , bila sudah menjadi isteri kepada seorang lelaki, lelaki itu adalah miliknya tetapi bukan sepenuhnya. Ini bukan bererti si isteri boleh buat apa saja kepada suaminya kerana dah jadi miliknya melalui ikatan ijab-kabul dan begitu pula sebaliknya si suami terhadap isteri. Suami isteri adalah pinjaman dan ujian dari ALLAH SWT , malah kasih sayang dalam hubungan ini adalah sebenarnya sebahgian dari rahmat ALLAH SWT kepada hambaNYA. Biarpun dah jadi miliknya , ada masa suami tak boleh “bersama” isteri dan lain-lain.
     
                  Umpamanya seorang yang pergi untuk menyewa sebuah kereta sewa. Memang selepas diberikan kunci kereta , dia bebas memandu kesana dan kesini, tetapi dia tetap terikat dengan undang-undang traffik. Pasti ada syaratnya. Pertamanya mestilah membayar yuran sewa mengikut jumlah hari yang diperlukan. Kedua berjanji untuk memenuhkan tangki minyak ketika menyerahkan kembali kereta. Bila dah dapat pandu kereta , dia juga masih terikat dengan perjanjian iaitu tidak boleh mengunakan kereta untuk tujuan perniagaan dan mestilah berusaha menjaga keselamatan kereta tersebut. Inilah hakikat pinjaman.  

                    Begitu jualah dengan segala yang ALLAH SWT telah pinjamkan kepada kita. Ada syaratnya, ada batasnya , ada kelonggarannya dan lain-lain. Jika poligami telah dibenarkan oleh ALLAH, mengapakah kita menempik untuk menghalang poligami dan sebagainya?. Renungilah wahai wanita. Pengorbananmu  tidak akan di sia-sia kan ALLAH, jika kamu yakin dengan janjiNYA. Sebenarnya sekiranya kita semua berpegang teguh kepada agama yang diberikan ALLAH SWT iaitu Islam, poligami atau monogami sama sahaja, boleh bahagia. Renungilah ayat berikut.

Firman ALLAH SWT :
 

“ ......dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah Yang mengetahui ( semuanya ) , sedang kamu tidak mengetahui.”

                                                                      - Surah Al - Baqarah : 216    
 
 

Isteri halang suami kahwin lain

           Ramai isteri menentang atau melarang suaminya berkahwin lagi. Sehinggakan ada yang menuntut cerai. Tetapi kalaulah kita dengar keluhan, rintahan dan jeritan batin wanita-wanita yang sudah makin lanjut usia tetapi masih belum bersuami , janda dan balu, tentu kita kasihan kepada mereka. Sedih dan pilu....hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu. Poligami adalah penyelesaian untuk membantu mereka. Isteri yang meminta cerai dari suaminya kerana sesuatu alasan yang tidak sepatutnya seperti suaminya kahwin lagi sekiranya suami itu layak untuk berpoligami, adalah termasuk di dalam golongan isteri yang  berlaku nusyuz  (derhaka).
 
 
 

Sabda Rasulullah SAW :

“ Siapa pun wanita yang meminta cerai dari suaminya tanpa alasan apa pun, maka ia tidak akan mencium bau syurga”
 

                                                      - Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban
 
 
 
 

Sabda Rasulullah SAW :

“ Wanita-wanita yang gemar minta cerai ( tanpa alasan ) adalah wanita-wanita munafiq.”

                                                       - Riwayat An-Nasa’        
 

            Andaikata suaminya itu kahwin lagi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak- anaknya yang terdahulu, maka isteri memang mempunyai hak untuk menuntut cerai atau tebus talak. Itupun setelah suaminya itu dinasihati dan diingatkan akan tanggungjawabnya dengan baik. Isteri hendaklah juga bersabar dan berdoa kepada ALLAH supaya suaminya itu berubah. Jika sekiranya suaminya tetap tidak berubah, maka minta cerai adalah jalan yang terakhir yang boleh dilakukan.

            Walaubagaimanapun, bagi pihak si isteri mestilah mengoreksi diri, adakah selama ini ia telah berlaku baik terhadap suaminya. Adakah selama ini memang ia telah berusaha untuk menjadi isteri yang solehah. Jika ya, anggaplah ia sebagai ujian yang ALLAH turunkan untuknya bagi menghapuskan dosa atau meninggikan darjatnya. Jika isteri tadi belum menunaikan tanggungjawabnya dengan baik kepada suami, memang layaklah ia menerima ujian yang berat ini dari ALLAH SWT. Oleh itu dalam hal ini, tidaklah boleh kita mempersalahkan kaum lelaki sahaja atau pihak suami sahaja. Kedua-dua belah pihak harus disalahkan dan mesti memperbaiki akan kelemahan diri masing-masing.

            Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila yang wanita dewasa ini sudah mulai dengan megah  mendabik dada dan mengakui sendiri bahawa mereka sedang memperjuangkan dan membela hak wanita, tetapi apabila Islam menggalakkan poligami sebagai pembelaan kepada wanita lain, ramai wanita yang menolak kerana ia bertentangan dengan nafsu mereka. Oleh itu jangan lah dengan mudah menuduh lelaki berpoligami kerana nafsu semata-mata. Muhasabahlah anda sendiri, apakah anda juga menghalang poligami kerana nafsu cinta dunia dan cemburu anda. Jika poligami dihalang, maka siapakah dan bila lagi para wanita lanjut umur ini, janda dan balu dapat menerima pembelaan ?

Menjawab persoalan : Salah guna poligami
 

               Setelah panjang lebar  perbincangan kita hingga kini, eloklah juga kita menyentuh tentang permasalahan yang timbul atau sengaja ditimbulkan  dalam konteks isu ini. Secara ikhlas, penulis mengakui bahawa ada rumahtangga yang kucar-kacir kerana poligami. Namun begitu banyak juga yang bahagia. Jika kita menilai  dengan baik , adalah amat wajar bagi kita untuk menilai asbab berlakunya kucar-kacir dalam rumah tangga tersebut. Apakah benar semuanya atas kelemahan suami semata-mata. Mungkin juga sifat isteri yang terlalu cemburu dan menaruh dendam ke atas tindakan suami berpoligami menyebabkan ia sentiasa tidak pernah redho dengan segala ikhtiar suami yang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk berlaku adil. Apakah juga ada pihak luar seperti mertua dan sebagainya yang menjadi dalang  yang mencocok dan meniupkan sentimen untuk berlaku keretakan dan salah faham antara isteri-isteri dan si suami. Jika benarpun ada masalah yang timbul , tidak wajar menentang tanpa alasan yang spesifik. 

                 Marilah kita ambil suatu perumpamaan wang mudah difahami semua. Bayangkan seandainya sejenis ubat dihasilkan untuk mengubati sejenis penyakit. Contohnya “Pill Ecstacy” yang sedang hangat dan kelam-kabut ditangani oleh MCA kerana telah merosakkan ramai remaja berbangsa Cina. Pil ini pada asalnya adalah suatu ramuan ubat yang amat berkesan bagi rawatan sejenis penyakit mental dan memang digunakan di hospital-hospital seluruh dunia. Memandangkan tidak ramai yang mengalami penyakit mental ini , maka pil in tidaklah diperluan sangat bagi tujuan yang sewajarnya. Namun, pil ini telah digunakan atau telah diubahsuai sedikit dengan campuran bahan lain , lantas diedar secara haram sebagai bahan untuk tujuan yang buruk di kalangan remaja. Maka semua media dan dan pihak mengecam pill ini dan memandang serong akan pil ini lantas mendesak agar ianya diharamkan terus dimana saja. Namun , bayangkan jika suatu masa nanti jika ditakdirkan ramai manusia yang mengalami penyakit mental dan seandainya pil ini sahaja yang dapat menyembuhkan penyakit ini , apakah kita masih akan menentang dan menghalang meskipun penyakit ini sudah mulai kritikal. Tentu tidak wajar. 

             Contoh lain ialah , seandainya seorang warga negara Colombia berhajat untuk memasuki negara kita, sedang kita sedia maklum bahawa  negara Colombia ini  terkenal sebagai negara pengeluar dadah ganja terbesar dunia. Apakah wajar kita menghalang semua warga Colombia memasuki negara kita. Apakah semua warga Colombia itu  pengedar dan penagih dadah. Tentu lah tidak.  Jika warga negara Colombia ini mempunyai dengan  lengkap segala dokumen perjalanan yang sah , dan setelah diperiksa diri dan barangan yang dibawa masuk itu tidak mengandungi dadah atau apa sahaja  barangan yang ditegah oleh kerajaan Malaysia, maka seharusnya ia dibenarkan masuk ke dalam negara kita. 

              Begitulah seandainya segala tuntutan syarak dipenuhi oleh seorang suami, maka seharusnya tidak perlu kita membantah dan menghalangnya apatah lagi jika tindakan berpoligami itu memang membela nasib wanita lain. Malah setiap hasrat untuk berpoligami itu hendaklah diselidiki dan dinilai kes demi kes , suasana demi suasana dan asbab demi asbab agar kita tidak menahan sesuatu yang amat wajar dan perlu untuk di teruskan.

               Penulis akan memberikan beberapa contoh kejayaan dan keperluan berpoligami yang telah dilalui oleh beberapa kenalan penulis. Oleh kerana sudah terlalu banyak cerita buruk di dada akbar dan media masa berkaitan poligami, penulis merasakan adalah amat wajar dikemukakan contoh yang positif. Bukankah dalam pengajian Islam itu sendiri kita diminta agar berdoa dengan penuh harapan dan yakin doa kita dimakbulkan ALLAH. Bukan kah juga kita sebagai Muslim dituntut agar sentiasa bersangka baik terhadap ALLAH dan sesama mahklukNYA. Islam sejak dari zaman Nabi Adam a.s menuntut kita supaya “think positif” malangnya  pakar-pakar jiwa dari barat juga telah mencelup idea dari Islam ini dan dengan muka tidak malu mengakui bahawa merekalah yang menemui konsep dan falsafah “positive thinking”.
 

Contoh 1
               
               Seorang wanita solehah yang ketika bernikah dengan suami pertamanya menetap di Selangor bersama 2 orang anaknya, telah dibiarkan sendirian tanpa nafkah zahir dan batin dari suaminya yang telah pergi mengikuti satu gerakan ajaran Tariqat sesat. Mujurlah wanita ini berkerja sebagai kerani sebuah bank. Namun pendapatannya terlalu kecil untuk menganggung kos sewa rumah, api air, kos dan upah penjagaan anak serta makan minum sekeluarga. Setelah 8 tahun  bertahan , beliau telah mengemukakan tuntutan tebus talak kepada suaminya. Namun suaminya ketika itu enggan melepaskannya.

                 Oleh kerana proses tebus talak adalah lebih sukar daripada talak yang dijatuhkan oleh si suami kepada isteri, ditambah pula dengan kelembapan proses makhamah syariah negara kita , proses menuntut cerai dan penbahgian harta serta hak penjagaan anak telah berlanjutan sehingga hampir 8 tahun. Keadaan bertambah buruk apabila suami pertamanya enggan memberi kerjasama untuk menghadirikan diri ke makhamah setelah dipanggil oleh kadhi daerah ketika itu. Alangkah menderitanya wanita ini kerana seolah dicerai gantung tidak bertali.

                   Selepas selesai berjaya kes ini, beliau telah menetap di utara sedang anak-anaknya telah diambil oleh bekas suaminya. Hiduplah wanita ini sebagai kerani bank di utara Malaysia , sendirian, menangung seksa jiwa dan batin. Ditakdirkan ALLAH SWT ada seorang polis yang simpati dengan nasib wanita ini. Dengan ikhlas dia melamar wanita ini, meskipun beliau telahpun berumahtangga dan mempunyai 2 orang anak. Pendapatannya yang kecil sebagai polis tidak menghalangnya untuk melamar wanita ini kerana dia yakin dengan pemberian rezeki dari ALLAH SWT. 

                 Lamarannya diterima secara terbuka oleh wanita ini. Suami barunya kemudian menamatkan perkhidmatannya sebagai polis dan berniaga warong Tom Yam hingga kini. Wanita ini pula berhenti dari kerja bank dan membuat dan menjual kek di sekitar pekan dengan kerjasama suami barunya. Wanita ini yang telah pun mempunyai 2 orang anak dengan suami barunya tidak mengalami masalah dengan isteri pertama suaminya yang amat bertimbang rasa. Segala kesabarannya akhirnya dibalas jua oleh ALLAH SWT. Mungkin jika dinilai dari segi material hidupnya kini tidak seberapa, namun dia tetap bahagia.

Contoh 2

               Seorang lelaki  yang juga pengarah sebuah firma arkitek yang kukuh , telah menikahi kerani firmanya. Lelaki ini sebelumnya sudahpun  berumahtangga dan mempunyai 2 orang anak.  Oleh kerana  terlalu banyak tugas di pejabat , beliau sering bersama keraninya kerja lebih masa dan adakalnya hingga malam. Sebagai seorang yang ada didikan agama , lelaki ini sedar fitnah yang mungkin timbul. Kebetulan keraninya juga telah berumur pertengahan 30an tetapi masih bujang. Maka beliau telah melamar keraninya itu. Isteri pertama beliau jauh lebih cantik dan berkulit putih jika dibandingkan dengan keraninya. Namun dengan penuh ikhlas menikahi keraninya. Memang pada mulanya ada sedikit ketegangan dengan isteri pertama, namun setelah dibuktikan keadilannya, isteri pertama dengan penuh redho menerima hakikat ini dan kedua isteri beliau tidak lagi berburuk sangka antara satu sama lain.
 

Contoh 3

              Seorang wanita yang sudah masuk ke kategori andartu tinggal bersama ibunya di rumah ibunya. Beliau tidak berkerja , malah ibu dan dirinya sendiri hanya hidup dengan wang pencen arwah ayahnya yang agak selesa nilainya kerana ayahnya dulu berjawatan besar dalam kerajaan negeri. Oleh kerana ibunya seorang yang agak cerewet , maka banyak lamaran lelaki yang berhajat untuk memperisterikan anaknya itu telah ditolaknya hingga anaknya semakin lanjut umurnya. Yang membimbangkan , jika ibunya mati nanti, wang pencen tersebut akan terhenti kerana anaknya sudah berumur lebih 21 tahun. Seorang kenalan lama wanita ini  telah meminang wanita ini. Lelaki  juga telahpun berumahtangga di mana isteri dan anaknya tingal di Singapura. Pinangannya telah diterima  akhirnya  oleh ibu wanita tersebut yang turut bimbang dengan nasib anaknya setelah kematiannya. Alhamdulillah mereka bahagia hingga kini.

Contoh 4

               Seorang tokoh agama dan gerakkan Islam di negara kita yang telah pun berumahtangga dan mempunyai ramai anak , telah didatangi oleh seorang wanita berprofesyen kedoktoran. Wanita ini dengan secara terbuka memberitahu bahawa beliau telah mendapat alamat setelah melakukan Solat Istikharah iaitu tokoh agama inilah calon terbaik sebagai suaminya. Secara ikhlas beliau melamar tokoh agama ini.  Agak terkejut tokoh agama ini dan isterinya ketika itu. Namun setelahtokoh ini bermunajat dan menohon petunjuk dari ALLAH SWT beliau menerima lamaran wanita ini. Mereka kesemuanya bahagia hingga kini. Alhamdulillah.
 

Contoh 5

             Seorang ustaz  yang sering mengajar agama di Kelantan telah menerima satu panggilan talipon dari seorang lelaki di Kelantan yang meminta beliau datang untuk mengajar di sebuah tempat di Kelantan. Segala belanja perjalanan dan makan minum dijamin dan ditanggung oleh lelaki tersebut. Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Kubang Kerian, ustaz ini telah disambut oleh lelaki tersebut yang membawa bersamanya seorang wanita. Lelaki itu akhirnya memberitahu bahawa beliau sebenarnya menjadi orang tengah untuk melamar ustaz ini bagi pihak wanita itu.  

            Ustaz ini memberitahu bahawa beliau sendiri tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk menanggung keperluan isteri anak-anaknya yang sedia ada , apatah lagi untuk bernikah lagi satu. Wanita ini memberitahu bahawa dia amat meminati ketokohan dan ilmu yang dianugerahi ALLAH SWT kepada ustaz ini. Wanaita ini juga memberitahu bahawa beliau mempunyai pendapatan dan harta yang sangat stabil dan memberikan jaminan bahawa beliau tidak akan memberikan tekanan kewangan kepada ustaz ini setelah menjadi isterinya. Wanita ini amat memerlukan bimbingan dan kasih sayang dari ustaz ini. Mereka akhirnya bernikah secara sah dan bahagia bersama isteri pertama dan kedua.
 

              Persitiwa yang berlaku dari contoh 4 and 5 , sebenarnya adalah hampir sama dengan peristiwa lamaran Ummul Mukminin Siti Khadijah rmh. yang  telah melamar Rasulullah SWA.  Umat Islam bangsa Melayu di Malaysia  ramai yang telah keliru antara tuntutan adat dan tuntutan agama. Ramai wanita yang tidak peka dengan tuntutan Islam yang wajib seperti menutup aurat sedang pada masa yang sama mereka ini amat bimbang dan tunduk kepada sindiran adat dan masyarakat untuk melamar lelaki, baik lelaki itu bujang atau telah beristeri , sebagai “perigi cari timba” ataupun “perampas suami orang”. 

               Sedangkan melamar lelaki itu baik lelaki yang bujang ataupun yang telah berumahtangga adalah sesuatu yang mulia disisi Islam , selagi terjaga batas-batasnya mengikut tuntutan syarak. Jika sikap jumud, jahil dan malu tak bertempat ini masih berakar di dalam urat saraf otak dan minda kaum wanita, terutama mereka yang belum  atau sudah tidak lagi bersuami , maka mangsanya adalah anda sendiri.

               Penulis memohon dan berdoa kepada ALLAH SWT agar kaum wanita dapat membuka minda dan keluar dari kepompong adat yang sempit kepada “flexibility” dan kemudahan yang dibenarkan dan disokong oleh Islam, jika anda benar mencari dan dahagakan  keredhoan  ALLAH SWT. Adat yang tidak selari dengan acuan Islam hendaklah dibuang jauh-jauh. Adat yang selari dengan acuan Islam, maka silalah terima pakai dengan bijak dan waras. Malu tidak bertempat akhirnya membawa mudharat !!!!
      
              

             Salah satu permasalahan yang timbul ialah sekiranya si suami itu memilih wanita yang muda ataupun ada rupa. Masyarakat sering  menyerang dan menuduh si suami itu sebagai lupa diri, tak mengenang jasa isteri pertama , sudah boring dengan rupa isteri pertama , gilakan perempuan cantik dan sebagainya. Memang ada juga suami yang bernikah lagi memilih wanita muda-cantik kerana nafsu. Benar. Penulis sendiri mengakuinya, terutama jika si suami itu seorang yang berharta dan berkedudukan. Namun , bukan semua begitu keadaannya. Maka kematangan dan kewarasan akal yang dipimpin oleh petunjuk ALLAH SWT mestilah dijadikan asas terhadap keputusan kita. 

                     Seorang isteri yang solehah pasti dapat sedikit sebanyak memberikan galakkan dan dorongan (dan bukannya pemberi masalah ) kepada  suami dalam berpoligami serta meningkatkan amalannya  dan menjadi srikandi kepada suami dalam menyempurnakan amanah  dari ALLAH SWT sebagai khalifah di muka bumi ini , baik dalam urusan dunia apatah lagi soal akhirat seperti menuntut ilmu, berdakwah, melibatkan diri dalam gerakkan jemaah Islam  dan berjihad.
 
 

Kesimpulan
 

              Masalah andartu, janda dan balu menjadi penyakit masyarakat bila Malaysia tidak menyelesaikan masalah perkahwinan dan poligami menurut cara Islam. Perkahwinan dalam Islam menuntut kesederhanaan. Bila umat Islam Malaysia sendiri menyusah-nyusahkan perkahwinan dengan berbagai-bagai syarat materialistik , ramai pemuda apatah lagi lelaki yang telah berumahtangga sukar dan tidak mampu untuk meminang seorang perempuan untuk dijadikan isteri. Akibatnya ramai wanita menjadi andartu  dan janda serta balu kekal begitu.
 

            Teruna dan dara , janda dan balu muda yang lemah iman, akan menggunakan jalan singkat yang tercela untuk memenuhi tuntutan naluri dan batin ataupun tuntutan kewangan dan pembelaan. Perkahwinan yang dihalalkan susah dan banyak syaratnya apatah lagi untuk berpoligami. Lantas ada yang lebih suka cara hidup bebas dari terikat dengan perkahwinan. Islam memberi banyak kemudahan supaya manusia berkahwin dan berkembang biak. Islam hanya mengutamakan walau sebentuk cincin besi atau ayat Al-Quran jika tidak mempunyai wang. Kenduri walimah yang dibuat hanyalah sekadar untuk memberitahu orang ramai bahawa pasangan itu telah berkahwin. Islam tidak menuntut perbelanjaan yang besar sehingga menanggung hutang hingga ke anak cucu dan membebankan keluarga ataupun isteri pertama dan anak-anaknya.

              Dalam konteks poligami pula, wanita haruslah sedar akan besarnya ganjaran keatas mereka untuk membenarkan suaminya bernikah demi untuk kebaikan ummah. Jika dinilai hanya dengan kacamata dunia dan nafsu pastilah nampak seolah lelaki itu dapat keseronokkan untuk beristeri dua. Namun jika dinilai dengan kacamata akhirat dan iman , tanggungjawab keatas suami itu akan berganda , malah akan menyukarkannya untuk ke syurga seandainya tidak dapat menyempurnakan amanah seperti yang dituntut oleh Islam sedangkan isteri yang redho itu tetap mendapat ganjaraannya. Bukankah ini suatu pelaburan akhirat yang dijamin keuntungannya?
 
 

Firman ALLAH SWT :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya ada diantara isteri-isteri dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu mema’afkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka ALLAH akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

                                                                         - Surah At - Taghaabun : 14
 
 

Firman ALLAH SWT :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya : manusia dan batu......”
 

                                                                        - Surah At - Tahrim : 6
 
 
 

Maka  jika diambil kira soal kampung akhirat , wanita yang redho keatas suaminya untuk berpoligami medapat lebih keseronokkan , malah keseronokkan yang abadi di syurga nanti, InsyALLAH. 

Firman ALLAH SWT :

“ Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya hegeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)”

                                                                           - Surah Al - ‘Ankabut : 64
 

Dan insyALLAH di syurga nanti seandainya si suami juga berjaya dalam menunaikan amanah ini  balasan keatas pasangan-pasangan ini dijamin oleh ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT :

“ Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka meni’mati kesenangan;”
“Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh; sambil duduk berteleku di atas pelamin;”
“Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka perolehi apa saja yang mereka kehendaki;”
“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan yang Maha Mengasihani”
 
 

                                                                             - Surah Yaasin : 55-58
 
 

Wallahu’alambissawwab.
Sekian. Wassalamu’alaikumwarrohmatullahiwabarokatuh.

Kirim email ke