*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,

Berikut adalah keratan artikel Ustaz Ali Muda yang dihantar ke Utusan Malaysia
bagi menjawab Tulisan Liar Astora Jabat terhadap Hudud Islam. Malangnya, tulisan
beliau ini tidak disiarkan oleh Astora/Utusan Malaysia. Ini sekali gus 
membuktikan bahawa Astora dan Utusan cuba menyembunyikan sesuatu dalam 
membincangkan isu Pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia ini; ringkasnya 
tulisan-tulisan beliau selama ini telah diolah sedemikian rupa hanya untuk 
memuaskan hati demi dan kepentingan tuan pemerintah di negara Malaysia yang 
ditumpangnya ini.

Sama-samalah kita tatapi hujjah balas oleh Ustaz Ali Muda ini untuk manafaat 
bersama!

-temingat dari belantara-

==============================================================================


SALAH TANGGAPAN TERHADAP HUDUD ISLAM 

Saudara Pengarang, 

Tulisan saudara Astora Jabat (AJ) dalam ruangan 'Debat' (Utusan Malaysia 13 
Oktober 2000) yang bertajuk  'Rogol dalam bas dari sudut hudud' menarik 
perhatian saya untuk membuat sedikit ulasan dan pembetulan. 

Secara mudahnya AJ menyimpulkan bahawa hukuman hudud dalam Islam tidak boleh 
dilaksanakan jika tiada  empat orang saksi ke atas perbuatan jenayah tertuduh, 
kerana menurutnya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud 
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali. 

Jika ada empat saksi pun, menurut AJ lagi, penjenayah masih boleh melepaskan 
diri dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. atau melarikan diri (iaitu 
pengingkaran terhadap pengakuan terdahulu) semasa hukuman dijatuhkan. 

Beberapa kesimpulan mudah oleh AJ ini perlu dinilai secara ilmiah supaya para 
pembaca Utusan tidak tersalah faham terhadap hukum hudud yang mulia itu. AJ 
hanya bersandarkan kepada sebuah hadis untuk membuat  kesimpulan terhadap enam 
atau tujuh kategori hudud. 

Sebuah hadis yang dimaksudkan itu ialah tentang peristiwa seorang lelaki bernama 
Ma`iz al-Aslami yang telah  mengaku berzina sebanyak empat kali (pengakuan) 
dalam empat majlis di depan Nabi s.a.w. Setelah Nabi s.a.w.  memastikan Ma`iz 
memahami pengertian zina yang sebenar dan mengutuskan beberapa Sahabat lain 
untuk  memastikan beliau  tidak cacat akal atau terlalu bodoh, barulah Nabi 
s.a.w. jatuhkan hukuman rejam ke atas  beliau. Tetapi sebaik sahaja terkena 
rejaman, Ma`iz terasa kesakitannya lalu melarikan diri. Para perejam  mengejar 
Ma`iz sehingga beliau dapat ditangkap di tengah sebuah padang pasir lalu direjam 
semula sehingga mati.

Para perejam kembali memberitahu Nabi s.a.w. akan hal itu, tetapi Nabi s.a.w. 
berkata, "Bukankah baik kamu  biarkan sahaja Ma`iz melarikan diri, mudah-mudahan 
dia bertaubat dan Allah s.w.t. terima taubatnya?"  Ini kerana tindakan melarikan 
diri itu telah dikira sebagai penarikan balik pengakuan dan ia telah menjadi 
suatu  syubhah (keraguan) yang menggugurkan hukuman hudud. 

Makna hadis di atas adalah berdasarkan koleksi beberapa riwayat yang dikeluarkan 
secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 17), Abu Dawud (2422, 2423 dan 
2424), Ahmad bin Hanbal (1: 238 dan  325), al-Bayhaqi (8: 226), al-Tabarani (2: 
261 dan 11: 338), al-Daruqutni (3: 121) dan al-Hakim (4: 361) -lihat Mawsu`ah 
Atraf al-Hadith al-Nabawi al-Syarif oleh Syeikh Muhammad al-Sa`id Zaghlul. 

Namun begitu, pergantungan kepada sebuah hadis ini untuk membuat kesimpulan 
tentang konsep keseluruhan  hudud dalam Islam adalah satu pergantungan kepada 
dahan yang amat rapuh. Ini kerana sesuatu hukum dalam  Islam bukanlah terhasil 
daripada satu atau dua nas sahaja, sebaliknya orang yang ingin membuat 
kesimpulan  tentang sesuatu hukum Islam wajib mengumpulkan seluruh nas yang 
berkaitan sama ada daripada al-Quran atau  hadis sahih. Selepas itu barulah 
dibuat rumusan atau kesimpulan yang mengambil kira semua kehendak nas-nas  yang 
terkumpul itu. Contohnya kita tidak dapat membuat rumusan dan fahaman yang tepat 
tentang pengertian sembahyang jika kita tidak kumpulkan semua nas tentang 
sembahyang dalam al-Quran dan hadis secara serentak.

Oleh kerana AJ tidak menyempurnakan proses pengumpulan nas-nas yang berkaitan 
hudud terlebih dahulu, maka kesimpulan yang dibuat oleh beliau berdasarkan satu 
nas amatlah dangkal, tidak tepat dengan ruh (semangat)  hudud Islam dan boleh 
mengelirukan pembaca. 

Kenyataan AJ bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud 
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali adalah kenyataan yang 
silap. Ini kerana terdapat banyak hadis lain yang  menunjukkan Rasulullah s.a.w. 
menghukum penjenayah hudud hanya dengan sekali pengakuan sahaja ataupun kurang 
daripada empat kali pengakuan. 

Imam al-Bukhari (3: 134, 241, 250 dan  8: 208), Imam Muslim (al-Hudud: 255), 
al-Nasai (Adab al-Qudhah: 1), al-Bayhaqi (8: 213, 219, 222 dan 225) dan beberapa 
ulama hadis yang lain meriwayatkan daripada Abu Hurayrah dan Zayd bin Khalid 
bahawa seorang pekerja lelaki (al-`Asif) telah berzina dengan isteri majikannya. 
Setelah mengetahui keterlanjuran itu, bapa al-`Asif cuba mencari penyelesaian di 
luar mahkamah dengan  majikannya. Oleh kerana ada kekeliruan tentang hukuman 
yang sebenar yang sepatut diterima oleh penzina,  bapanya dan majikan itu (suami 
perempuan yang berzina dengan al-`Asif) telah pergi bertemu Nabi s.a.w. supaya  
kedua-dua pesalah zina dihukum menurut Kitab Allah s.a.w. Maka Nabi s.a.w. 
menjatuhkan hukuman sebat seratus kali dan buang begeri setahun ke atas al-`Asif 
(kerana beliau bujang ketika itu) dan baginda  memerintahkan seorang Sahabat 
bernama Unays supaya pergi bertanya isteri kepada majikan al-`Asif itu sama  ada 
benar dia telah berzina. Sekiranya dia mengaku, kata Nabi s.a.w.,  rejamlah dia. 
Isteri majikan al-`Asif mengaku, lalu Nabi s.a.w. merejamnya (hukuman zina bagi 
yang telah berkahwin). 

Berdasarkan hadis ini nyatalah Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud ke atas 
pesalah dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Jadi bagaimanakah seorang ilmuan 
Islam dapat menyelaraskan kedua-dua hadis sahih yang nampak secara zahirnya 
bertentangan ini? 

Sebenarnya, Nabi s.a.w. menunggu sehingga Ma`iz mengaku sebanyak empat kali, 
memastikan beliau memahami pengertian zina dan mengutuskan beberapa Sahabat 
menyelidik kewarasannya, adalah disebabkan keadaan Ma`iz yang tiba-tiba mengaku 
berzina itu dianggap oleh Nabi s.a.w. sebagai tindakan orang yang tidak waras 
atau terencat akalnya. Setelah hilang tanggapan itu dengan pasti, Nabi s.a.w. 
pun menjatuhkan hukuman wahyu itu. Ini berdasarkan pembacaan menyeluruh terhadap 
beberapa versi riwayat sahih yang dihimpunkan. 

Dalam peristiwa al-`Asif pula, kedudukan beliau dan isteri majikannya adalah 
diketahui oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat sebagai orang yang benar-benar 
mukallaf (berakal waras, sedar dan baligh), maka dengan sekali  pengakuan sahaja 
Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud. Dengan ini, jelaslah kesimpulan AJ adalah 
tersasar daripada konsep hudud yang sebenar dan boleh mengelirukan pembaca. 

Demikianlah juga dengan hadis tentang seorang perempuan al-Ghamidiyyah yang 
datang mengaku perzinaannya sehingga hamil di depan Nabi s.a.w. Baginda telah 
menerima pengakuannya walaupun belum sampai empat kali,  apatah lagi bukti 
perzinaan jelas iaitu hamil tanpa suami. Jika tidak kerana perempuan itu hamil, 
sudah tentu Nabi  s.a.w. merejamnya ketika itu juga. Tetapi kerana hamil, Nabi 
s.a.w. menyuruhnya melahirkan anak itu dahulu dan  menyusukannya sehingga anak 
itu pandai makan sendiri. Setelah itu baharulah Nabi s.a.w. merejamnya sehingga  
mati. Hadis ini diriwayatkan secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 22, 23 
dan 24), Ahmad (4: 430, 435  dan 440), Abu Dawud (al-Hudud: 25), al-Tirmizi 
(1435), al-Nasai (al-Janaiz: 63), al-Tabarani (18: 197 dan 198) dan para ulama 
hadis yang lain. 

Sebenarnya ada banyak hadis yang lain menunjukkan hukuman hudud dijatuhkan 
dengan sekali pengakuan dan  tanpa keterangan empat saksi, tetapi kebanyakannya 
dalam kategori hukum hudud yang lain seperti hudud minum  arak, qazaf (menuduh 
orang lain berzina tanpa saksi), mencuri, murtad, membunuh dan lain-lain. Oleh 
kerana  perbincangan hudud di sini lebih tertumpu persoalan zina, maka tidak 
perlulah dibawa contoh hadis dalam kategori hudud yang lain. Jadi bagaimana AJ 
boleh mendakwa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud 
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali?  

Perlu dijelaskan bahawa syarat empat saksi hanya diperlukan dalam keterangan 
terhadap tuduhan zina atau seertinya dengannya (qazaf) ke atas orang yang 
dikenali sebagai baik. Jika si penuduh gagal membawa empat saksi yang adil 
(tidak fasik), maka hukuman sebat lapan pulah kali akan dikenakan ke atasnya 
kerana telah melakukan jenayah hudud qazaf (Surah al-Nur: 4). 

Dalam keterangan tuduhan jenayah selain zina atau perbicaraan bukan jenayah, 
syarat empat saksi ini tidak diperlukan, bahkan cukup dengan dua saksi adil 
sahaja (Surah al-Talaq: 2). Jadi amatlah mengelirukan bila AJ  merumuskan semua 
jenayah hudud hanya boleh disabitkan bila ada empat saksi atau empat kali 
pengakuan tertuduh sahaja. 

Berdasarkan kekeliruan ini maka AJ menyimpulkan bahawa pemandu bas yang merogol, 
meliwat dan mambunuh Noor Suzaily Mukhtar pada 7 Oktober yang lalu, tidak boleh 
diadili melalui hukum hudud, kerana pada anggapan AJ, penjenayah itu boleh 
terlepas dengan mudah kerana tiada empat saksi, tiada kemungkinan penjenayah itu 
akan mengaku sebanyak empat kali di depan hakim dan kalau mengaku pun, 
penjenayah itu boleh terlepas  dengan mengingkari pengakuan terdahulunya dengan 
segala cara yang difahami sebagai menarik balik pengakuan.
     
Bila pengakuan ditarik balik, hudud tidak dapat dilaksanakan kerana wujud 
syubhah (keraguan). Maka, dakwa AJ, hanya hukum ta`zir yang boleh mengadili 
jenayah tersebut. 

Sekiranya AJ mengetahui himpunan lengkap nas-nas berkenaan hudud dalam Islam, 
kekeliruan ini tidak mungkin  terjadi. Si pemandu bas yang merogol, meliwat dan 
mambunuh itu boleh diadili secara hudud. Yang pasti di sana  telah ada dua saksi 
pra-jenayah yang melihat Noor Suzaily meminta tolong dari dalam bas, terdapat 
qarinah (isyarat kuat) seperti kesan mani di lantai bas, kesan cap jari atau 
pergelutan dan tertuduh sendiri telah  menunjukkan kepada polis tempat beliau 
membuang dompet mangsa (menurut laporan akhbar). Dengan dua saksi dan 
qarinah-qarinah yang wujud, hakim boleh bertanya sama ada tertuduh mengaku atau 
tidak terhadap tuduhan jenayah hudud yang dikenakan. Sekiranya tertuduh mengaku, 
hukum rejam sampai mati boleh dilaksanakan (menurut Islam) kerana tertuduh telah 
berkahwin (dilaporkan, sebanyak empat kali dengan isteri berlainan). Ini 
berdasarkan hadis dalam kes isteri majikan al-`Asif yang mengaku berzina 
dengannya. 

Sekiranya tertuduh tidak mengaku, beliau tidak akan terlepas begitu sahaja 
seperti salah tanggapan AJ. Sebaliknya, berdasarkan kewujudan dua saksi 
pra-jenayah itu dan qarinah-qarinah kuat yang ada, hakim boleh  menjatuhkan 
hukuman ta`zir sehingga ke tahap bunuh. Apatah lagi tertuduh mempunyai 
rekod-rekod jenayah  sebelum ini. Tetapi hukum ta`zir ini terletak pada budi 
bicara hakim yang memutuskan hukuman. (Saya harap ulasan ini tidak menjadi satu 
prejudice terhadap tertuduh dan subjudice terhadap perbicaraan yang bakal  
diadakan kerana saya hanya menyingkap gambaran sebenar pelaksanaan hukum hudud 
dalam Islam terhadap kes ini).  

Malangnya negara kita sekarang masih tidak membenarkan hakim menjatuhkan hukuman 
ke atas penjenayah seperti yang dikehendaki Islam kerana undang-undang hudud ini 
belum diperkanunkan dalam Kanun Kesiksaan. Diandaikan si tertuduh yang merogol, 
meliwat dan membunuh itu mengaku melakukan jenayah tersebut, hakim tidak boleh 
menurut hukum Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun hakim 
memahaminya. 

Hal ini pernah terjadi di Mahkamah Rayuan pada 9 Oktober 2000 yang lalu apabila 
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus dan hakim-hakimnya sebulat suara 
menolak rayuan dua orang bapa yang mengaku bersalah  merogol anak mereka dan 
mengatakan mereka sepatutnya dihukum rejam (Berita Harian, 10 Oktober 2000). Ini 
menunjukkan para hakim mengetahui hukum Islam yang sebenar tetapi tidak berupaya 
melaksanakannya kerana tiada peruntukan dalam Kanun Kesiksaan atau akta yang 
lain. 

Setelah jelas kedudukan sebenar konsep hukum hudud dalam Islam berdasarkan 
himpunan nas-nas al-Quran dan hadis, maka ternyatalah rumusan AJ hanyalah 
merupakan kekeliruannya dalam memahami hukuman yang kompleks ini. 

Jika kita menyedari perbuatan pemandu bas itu amat dahsyat, kenapa kita tidak 
mengorak langkah untuk membendung jenayah seperti itu dengan mengaktakan 
hukuman-hukuman yang paling adil seperti yang termaktub dalam al-Quran dan 
hadis. 

Kesimpulannya, Islam menggariskan dua bentuk pencegahan daripada jenayah seperti 
itu. Pertama, pencegahan sebelum berlaku jenayah iaitu lelaki diperintahkan 
menjaga pandangan dan kemaluan, dalam masa yang sama  wanita juga diperintahkan 
menjaga pandangan, kemaluan dan aurat yang tidak boleh didedahkan (kecuali muka 
dan pergelangan tangan) -(Surah al-Nur: 30 dan 31). 

Yang kedua, pencegahan selepas berlaku jenayah itu iaitu mengenakan hukuman 
rejam bagi penjenayah yang  telah menikmati seks halal (perkahwinan) atau sebat 
seratus kali bagi penjenayah yang belum menikmatinya. Hukuman tegas ini 
bertujuan menginsafkan pesalah berkenaan dan menggerunkan orang lain yang 
berniat untuk  melakukan kesalahan serupa. Ini amat berkesan kerana hukuman 
hudud ini dijalankan di depan khalayak ramai (Surah al-Nur: 2). Maka benarlah 
kata-kata: Mencegah lebih baik daripada merawat. 

Ali Muda, Negeri Sembilan. 

         

============================================================================

[EMAIL PROTECTED] wrote:

Demikianlah tulisan yang dihantar kepada Utusan. Walaupun fahaman Astora 
terhadap konsep hudud ternyata  salah, tetapi Utusan tidak mengambil 
tanggungjawab untuk memperbetulkannya dengan sebuah rencana lain yang  
dikirimkan. 

Mungkin Astora merupakan satu aset yang amat besar bagi Utusan, semakin rosak 
imej Astora (yang sedia rosak) bererti semakin rosak imej Utusan yang 
sememangnya telah merudum jualannya. Astora adalah seorang penulis yang mampu 
meningkatkan jualan Utusan. Malangnya Astora atau Utusan mungkin tidak menyedari 
 bahawa tidak semua benda yang dikerumuni itu benar. Sesuatu perkara itu menjadi 
glamour dengan dua sebab. 

Pertama, mungkin kerana kebaikannya dan kedua, kerana keburukan atau 
kejahatannya. Nabi Muhammad s.a.w., para nabi yang lain dan para mujahidin 
terkenal sepanjang zaman kerana risalah Islam yang dibawa,  sebaliknya Fir`aun, 
para penzalim dan diktator terkenal kerana kezaliman dan keingkaran terhadap 
Allah s.w.t. 

Orang membaca tulisan Astora untuk mengetahui apa repekannya pada hari Ahad dan 
Jumaat. Astora jangan syok sendiri kononnya ramai peminat.  Dengan melihat 
komen-komen daripada pembaca yang disiarkannya di ruangan 'E-mel daripada 
pembaca' itu, kita dapat mentelah bahawa semakin ramai pembaca yang muak dengan  
sikap fanatik butanya terhadap Umno dengan menegakkan benang basah melalui 
slogan 'Bicara Agama'. 

Para pembaca semakin menyedari metodologi Lubsu al-haq bi al-Batil (mencampur 
aduk antara kebenaran dan  kebatilan) yang dimainkan Astora. Astora semakin 
tertekan dengan asakan-asakan pembaca dan pendengar di  mana-mana sahaja beliau 
berucap. Tetapi seperti biasa, Astora sentiasa membuat ulasan bahawa dia menang 
dan  penyokongnya semakin ramai. Astora sanggup mendakwa tulisannya penuh dengan 
fakta yang tidak boleh  dipertikaikan langsung, (Mingguan Malaysia, 22/10/00) 
dan kononnya tiada ulama atau ustaz Pas yang mampu menyanggahnya dalam Harakah 
(Mingguan Malaysia, 15/10/00). Sepatutnya Astora tidak mencabar penentangnya di 
medan Harakah kerana akhbar itu hanya dibenarkan terbit dua minggu sekali. 
Ruangnya amat terhad dan tidak sesuai untuk tulisan-tulisan penentangnya 
(Astora) yang selalunya panjang. 

Jika benar Astora ingin menunjukkan kepada pembaca akan keberaniannya, kenapa 
tidak berani mendedah URL laman yang mendebatkan pemikiran sesatnya seperti 
laman Minda Rakyat atau Tranung Kite dan laman-laman  yang lain. Kenapa 
akhbarnya (Utusan) memadamkan URL laman Minda Rakyat yang saya sebutkan dalam  
rencana saya tentang isu penggubalan rang undang-undang murtad pada 7 Oktober 
lepas, sedangkan URL laman Sisters In Islam didedahkan kepada umum seminggu 
sebelum itu? 

Rupanya Astora semakin tertekan apabila semakin ramai rakyat Malaysia telah 
sedar bahawa seorang yang  menganggap dirinya sebagai 'Pembicara Agama' dalam 
akhbar Utusan itu sebenarnya 'Pendusta Agama' dari  Thailand. Kerana tidak tahan 
dengan tekanan itu, Astora pun mengugut untuk menyaman saya kerana kononnya  
saya telah membuat kesimpulan serong tentang pendiriannya terhadap hadis Nabi 
s.a.w., khususnya hadis ahad.
Tetapi Astora tidak menyebutkan nama saya secara terang untuk tidak 
mengglamourkan saya (saya pun bukan sukakan glamour seperti Astora), apatah lagi 
selama ini Astora mendakwa tiada seorang pun yang mampu  menyanggah pendapat dan 
pemikiran 'Islam'nya. 

     
Tentang topik ugutan handak menyaman saya ini, saya akan ulas dalam tulisan yang 
akan datang. Kita kerja kerana Allah s.w.t., tetapi apakah Astora juga kerja 
kerana Allah s.w.t. apabila semua kebatilan yang dilakukan oleh pujaan dan 
pemimpin parti pujaannya (tidak dapat dipastikan sama ada pujaan ikhlas atau ada 
benda sebaliknya) itu disifatkan sebagai bertepatan dengan kehendak Islam. Dalam 
bekerja, pertama sekali kita memastikan ketepatan dengan hukum Islam, yang kedua 
ketepatan dengan peraturan undang-undang sivil negara. 

Sebagai rakyat negara ini kita tidaklah buta sangat tentang undang-undang, 
walaupun bukan pengamal undang-undang itu. InsyaAllah saya akan bahaskan dari 
sudut undang-undang fitnah atau defamation (seksyen  499) daripada Kanun 
Kesiksaan, untuk menjustifikasikan sama ada saya dikira menfitnah Astora dalam 
tulisan yang mensifatkannya sebagai anti-hadis itu (yang bertajuk "Awas! Astora 
anti-hadis?"). 

Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda. 

[EMAIL PROTECTED]
26/10/00 


__________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2b.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke