BINGKISAN SUARA RAKYAT [19]

3 November 2000 

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

 HADIRLAH DENGAN PENUH TERTIB, DISIPLIN DAN BERTANGGUNGJAWAB

Seluruh rakyat Malaysia pejuang kebenaran dan keadilan yang budiman

Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera dan Salam Reformasi,

151.         Sebagai persiapan akhir menjelang Perhimpunan 100,000 Rakyat, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat sekali lagi ingin mengingatkan rakyat bahawa perhimpunan pada 5 November di Jalan Kebun adalah satu perhimpunan aman.

152.        Rakyat akan berhimpun untuk mendengar ceramah dan amanat daripada pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti Barisan Alternatif. Selepas itu rakyat akan bersama-sama membacakan deklarasi rakyat dengan tema “Kembalikan Hak Rakyat”.

153.       Tugas rakyat pada hari tersebut mudah sahaja. Datang secara berdisiplin, penuh tanggungjawab dan teratur ke Markas keADILan di Jalan Kebun. Mengambil tempat di tapak perhimpunan pada pukul 2:30 petang atau lebih awal sedikit. Mengikuti aturcara program sebaik-baiknya serta terus bersama-sama membaca deklarasi rakyat. Kemudian bersurai setelah tamat program pada pukul 5:00 petang.

154.       Jawatankuasa menyeru rakyat sekalian untuk terus beredar daripada lokasi perhimpunan sebaik sahaja aturcara berakhir. Memandangkan kenderaan yang banyak, proses untuk keluar dari kawasan sekitar perhimpunan mungkin mengambil masa yang sedikit panjang. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Dasar akan memastikan petugas-petugas akan membantu semua kenderaan meninggalkan kawasan perhimpunan secepat mungkin.

155.       Jawatankuasa Dasar menyeru kepada semua rakyat yang datang menaiki kenderaan agar memberi kerjasama untuk meninggalkan kawasan perhimpunan selewat-lewatnya pada pukul 6:30 petang.

156.       Jawatankuasa Dasar juga menyeru mereka yang datang berjalan kaki agar terus beredar meninggalkan tapak perhimpunan balik ke rumah masing-masing sebaik sahaja aturcara berakhir pada pukul 5:00 petang.

157.       Jawatankuasa Dasar ingin memberitahu rakyat tiada sebarang acara konvoi berkenderaan dianjurkan selepas perhimpunan ke mana-mana lokasi mahupun destinasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

158.       Di atas peringatan ini, Jawatankuasa Dasar menyeru agar tiada sebarang kumpulan atau kelompok penyokong yang mengadakan apa-apa konvoi berkenderaan ke mana-mana lokasi di Lembah Klang.

159.       Jawatankuasa Dasar juga menyeru agar rakyat tidak menghiraukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan konvoi berkenderaan ke mana-mana lokasi di Lembah Klang.

160.       Jawatankuasa Dasar ingin memaklumkan lebih awal bahawa sebarang tindakan untuk mengadakan konvoi berkenderaan ataupun sebarang perarakan ke mana-mana lokasi di Lembah Klang selepas Perhimpunan 100,000 Rakyat 5 November ini akan menjejaskan peluang kita menganjurkan perhimpunan rakyat pada masa hadapan.

161.       Rakyat diingatkan bahawa segala arahan berkenaan perhimpunan dan apa-apa yang berkaitan dengan perhimpunan ini adalah datang daripada penganjur. Jawatankuasa Dasar selaku penganjur akan bertindak dan membuat keputusan secara kolektif.

162.       Jawatankuasa Dasar akan tetap dengan aturcara asal. Tiada mana-mana pihak yang boleh memberi apa-apa arahan kepada rakyat pada hari itu selain ahli-ahli Jawatankuasa Dasar secara kolektif.

163.       Dengan itu rakyat diseru agar tidak mematuhi ataupun respons kepada sebarang cadangan daripada mana-mana pihak pada hari perhimpunan tersebut untuk melencong daripada aturcara asal.

164.       Hanya arahan yang datang daripada Jawatankuasa Dasar melalui corong pembesar suara rasmi Perhimpunan 100,000 Rakyat sahaja yang perlu dipatuhi oleh rakyat.

165.       Jawatankuasa Dasar juga akan menyediakan 1,000 orang petugas yang memakai tag nama rasmi Perhimpunan 100,000 Rakyat untuk membantu rakyat berhimpun secara aman, teratur dan harmoni dalam Perhimpunan 100,000 Rakyat ini, insya’ Allah.

 “KEMBALIKAN HAK RAKYAT”

Hj. Saari Hj. Sungib

Pengerusi, Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat

AJK:

Dr. Hatta Ramli (PAS), Tian Chua (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Dr. Wong Ang Peng (DAP), Zaharuddin Abdul Rahman (PAS), Raja Petra Kamaruddin (FAC), Syed Ibrahim Syed Noh (JIM), Cynthia Gabriel (SUARAM), Abdul Malek Hussin (Reformis), Khaliah Shaikh Mohamad (Reformis) dan wakil ABIM.

Emel Sekretariat: [EMAIL PROTECTED]

Emel Pengerusi: [EMAIL PROTECTED]

3 November 2000

                                                 

 

 

 

 

 

Kirim email ke