*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Assalamu'alaikum, Dari malaysiakini.com.my: ..................... Cerita hantu cuba mengundi http://www.malaysiakini.com.my/archives_news/2000/dec/dec8/news5.htm Ng Boon Hooi Pada 4.30 pagi 29 November lalu, hari pengundian bagi pilihan raya kecil Lunas, ketua bahagian keselamatan Barisan Alternatif, Abdul Razak Halidi tanpa menduga menerima satu panggilan telefon. Pemanggil memberitahu beliau bahawa lima buah bas yang mengangkut sekumpulan "pengundi hantu" akan tiba di Lunas pada awal pagi itu. "Mula-mula dapat panggilan, saya tak percaya," cerita Razak, tetapi beliau masih mencatat nombor pendaftaran kelima-lima bas itu yang diberikan oleh pemanggil misteri itu. "Mereka tidak mahu memperkenalkan diri, hanya bagi maklumat sahaja," kata Razak yang ragu-ragu tentang maklumat yang diterima. Bagaimanapun, pada 5.40 pagi, sewaktu Abdul Razak melalui pusat gerakan Barisan Nasional di Taman Seladang, beliau ternampak sebuah bas yang baru masuk dari arah Lebuhraya Butterworth-Kulim, termasuk dalam senarai nombor pendaftaran yang diterima sejam sebelum itu. Beliau cepat-cepat menanggalkan semua simbol BA yang dipakainya, dan menyamar sebagai pemuda BN sambil melambai tangan ke arah bas tersebut. "Datang dari mana?" soal Razak. "Dari Selangor. Kawalan semua cantik, selamat sampai," jelas pemandu bas itu. "Mana lagi bas-bas yang belum sampai?" tanya Razak lagi. "Belum sampai, mereka akan tiba," jawab pemandu itu. Dengan tidak lengah-lengah lagi, Razak mengesyaki bahawa itulah bas yang membawa "pengundi hantu," beliau terus keluar dari tempat itu dan menyuruh pasukannya memantau bas-bas yang akan datang. "Kami membuat sekatan di depan markas (bilik gerakan) BA," kata Razak. Kebetulan pusat itu berada di salah satu jalan masuk ke pekan Lunas dari lebuhraya berkenaan. "Mereka nampaknya takut," kata Razak. Pasukan khas Pemuda BA dan juga penyokong pembangkang menahan bas-bas itu dengan tangan. "Kami melambai-lambai tangan dan minta bas-bas itu berhenti," kata Ketua Pemuda Keadilan Kedah, Mokhtar Mansor. Bas-bas itu diminta berhenti di tepi jalan. Sebuah demi sebuah Apabila berhenti, bas itu cepat-cepat dihalang dengan motosikal dan kereta supaya ia tidak dapat bergerak ke mana-mana lagi. "Kami minta mereka menunjukkan permit JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) mereka," kata Razak, sambil menambah permit itu diperlukan oleh bas-bas yang mengangkut penumpang keluar dari negeri asal pendaftarannya. "Pemandu tidak mahu beri permit. (Dia) kata tidak ada permit dan (dia) tidak mahu buka pintu," ceritanya lagi. "Penyokong (BA) pun jadi agak kasar kerana mereka tidak memberikan kerjasama." Akhirnya, mereka berjaya mendapatkan kerjasama pemandu. Menurut Naib Ketua Pemuda Keadilan Low Chee Chong, beberapa wakil pasukan khas BA menyiasat setiap bas itu selama 30 minit. Wakil itu bertanya tujuan sebenar mereka datang ke Lunas. "Sebahagian besar penumpang itu tidak dapat menunjukkan Borang E mereka," kata Low. Borang rasmi ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperlukan untuk membolehkan seseorang bertugas sebagai perayu undi bagi parti masing-masing. "Walau ada (penumpang) yang mempunyai Borang E, tetapi nama mereka tidak menepati apa yang terkandung dalam Borang E," kata Low. Tambahnya, pakatan pembangkang kali ini cukup bersiap sedia kerana setiap pilihanraya, bas-bas yang mengangkut ramai penumpang seumpama itu berada di kawasan pilihan raya. Menurut Pengarah Pilihanraya Keadilan Mohd Azmin Ali pula (foto, kiri) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kelang, pada 12 tengah malam 28 November mereka telah dimaklumkan bahawa beberapa bas akan mengangkut pengundi hantu ke Lunas. Lantaran itu, pasukan khas BA yang terdiri daripada 50 orang bersiap sedia memantau kemasukan bas melalui semua jalan ke Lunas sejak tengah malam. Menurut Razak lagi, lebih kurang setiap 10 minit, sebuah demi sebuah bas masuk ke Lunas. Sehingga pukul 7.30 pagi, lima buah bas - memakai nombor pendaftaran seperti dimaklumkan tiga jam sebelum itu - telah tiba. Bas-bas itu dipenuhi penumpang berbangsa India dan Melayu, tua dan muda. Mokhtar, yang pernah naik memeriksa satu daripada bas tersebut berkata, apabila beliau meminta mereka menunjukkan kad pengenalan secara rawak, penumpang-penumpang bas itu tidak membantah. Senarai nama tidak tepat "Kad pengenalan itu menunjukkan mereka datang dari kampung yang sama - Kampung Rusa, Selangor," kata aktivis Pemuda Keadilan Kedah itu lagi. Beliau juga mendakwa seorang penumpang India yang telah berusia, di dalam bas kedua yang diperiksanya, memberitahu mereka berhasrat membuang undi. "Di dalam bas yang memuatkan penumpang Melayu, mereka beri alasan hendak pergi kenduri. (Sekarang bulan) puasa, mana ada kenduri? Cukup suspicious-lah," cerita Mokhtar lagi. Kebanyakan penumpang berusia lebih 50 tahun, katanya. Pasukan keselamatan BA itu juga memperolehi senarai nama penumpang daripada beberapa orang pemandu bas tersebut. Tetapi apabila pasukan itu memanggil nombor telefon yang diperolehi daripada senarai tersebut - untuk mengesahkan nama dan alamat - butiran itu tidak tepat, jelas Razak pula. Pada pukul 8.30 pagi, seorang penyokong pembangkang Azizan Ismail memberitahu malaysiakini, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang tempatan yang menceritakan bahawa 15 penumpang (dari sebuah bas sekolah) berjalan kaki menuju ke pusat membuang undi di Kampung Keladi, Lunas. Mereka disyaki pengundi hantu. Azizan sempat ke situ jam 9 pagi dan beliau melihat semua mereka wanita berusia lebih 40 tahun, berada di belakang perayu undi Umno. "Depa (kamu semua) datang dari mana?" tanya Azizan. "Dari Teloi Kanan (Baling, Kedah)," jawab seorang daripada kumpulan wanita itu. "Datang (untuk membuang) undi ke?" beritahu Azizan, mengulangi perbualannya pada hari itu. Antara mereka ada yang mengangguk kepala, ada pula yang senyap sahaja. "Saya suruh orang tempatan memastikan mereka tidak masuk ke pusat membuang undi," kata Azizan. Semasa keluar dari tempat itu, Azizan nampak sebuah lagi bas tiba. Penduduk tempatan cepat-cepat menghalang bas itu daripada menurunkan penumpang. "Mereka tidak membawa logo apa-apa parti, sungguh mencurigakan. Mustahil pula orang kampung datang mengundi dengan bas kerana kampung ini kecil sahaja," katanya lagi. Menurut Azizan, bas itu kemudian menuju ke arah Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Sementara itu, sekitar jam 8.30 juga, sekurang-kurangnya 50 anggota polis pelbagai unit sampai di bilik gerakan BA untuk menangani kepungan bas-bas itu. Pemimpin-pemimpin utama Keadilan Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd Nor dan Azmin Ali terus dipanggil untuk menyelesaikan itu dengan polis, kata Mokhtar. Suasana tegang "Saya tiba di sana pada pukul 8 pagi, dan mengesahkan enam buah bas telah dibawa ke halaman di belakang pusat gerakan utama BA di Taman Megah," kata Azmin. Setelah berbincang dengan polis, mereka bersetuju agar bas-bas itu dibawa ke balai polis Lunas untuk dilaporkan secara rasmi kerana petugas BA mengesyaki bas itu membawa pengundi hantu. Sesampai sahaja wartawan malaysiakini di balai polis Lunas, semua bas itu sudah diletakkan di kawasan balai. Pada masa itu, semakin ramai wartawan tempatan berkumpul di luar balai. Penduduk kampung dan penyokong BA juga tidak ketinggalan - mereka melihat perkembangan itu dengan penuh tanda tanya. Wartawan turut tertanya-tanya sesama sendiri: Apa yang sebenarnya berlaku? Bagaimana BA dapat mengesahkan penumpang bas itu pengundi hantu? "Saya pernah bersama BN (Barisan Nasional). Saya pernah menjadi setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri," jelas Ezam kepada seorang wartawan, dalam bahasa Inggeris, membayangkan beliau sedar pakatan kerajaan itu pernah menggunakan taktik seperti itu demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya. "Kenapa ramai orang sampai awal pagi pada hari mengundi?" jelas Ezam lagi, sambil menegaskan peraturan pilihanraya melarang sebarang kempen pada hari mengundi. "Penumpang-penumpang yang berumur 60 hingga 70 tahun itu, takkanlah datang untuk menolong kempen BN?" Tidak lama kemudian, pintu pagar balai dibuka, kira-kira 50 anggota polis Pasukan Gerak Am (PGA) berkumpul di tengah jalan dengan cota dan sangga pelindung. Dengan pembesar suara, seorang pegawai PGA menyeru kira-kira 100 orang pemerhati supaya segera bersurai tetapi mereka tetap berkumpul, cuma berundur ke tempat yang jauh sedikit dari balai itu. Pasukan polis itu bergerak ke depan, tidak pasti sama ada mereka akan mengambil tindakan memancut air atau memukul orang ramai. Suasana kian tegang. ..................... Wassalam. _____________________________________________________________________________________ Get more from the Web. FREE MSN Explorer download : http://explorer.msn.com ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>