*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~




                    Aidil Adha dan Pengorbanan


        Satu Peluang Menilai Keikhlasan & Pengorbanan Kita


Peristiwa yang bersejarah dan agung ini ialah peristiwa korban Saidina 
Ibrahim terhadap anaknya Saidina Ismail a.s. Kisah pengorbanan ini adalah 
satu peristiwa agung dalam sejarah kemanusiaan insan sejagat ini kerana 
tidak ada satu pengorbanan yang lebih agung daripada ini sehinggakan ianya 
diperingati dan dirayakan setiap tahun. Al-Quran telah mengabdikan kisah 
pengorbanan agung ini di dalam surah Asy-Syafaat, ayat 100-107;

"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk 
orang-orang yang soleh. Maka Kami berikannya khabar gembira dengan seorang 
anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) 
berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata, 'Hai anakku, sesungguhnya 
aku melihat di dalam mimpiku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa 
pendapatmu?'

Dia menjawab, 'Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, 
insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar.' 
Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas 
pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia, 'Hai 
Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya 
demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. 
Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu 
dengan seekor sembelihan yang besar."

Kita lihat bagaimana Saidina Ibrahim a.s. mendoakan kepada Allah Subhanahu 
wa Taala, 'Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku zuriat soleh.' Saidina Ibrahim 
tidak memperolehi anak sehinggalah dirinya telah mencapai usia yang lanjut. 
Kita dapat bayangkan perasaan seorang tua yang mendapat anak, tentulah 
sangat sayang kepada anaknya itu.

Tiada lain yang ia lebih kasih melainkan anaknya. Tetapi kasihnya pada 
anaknya tidak lebih daripada kasihnya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ini 
dapat disaksikan daripada tindakbalas Saidina Ibrahim a.s. apabila Allah 
Subhanahu wa Taala menuntut supaya dikorbankan anak yang disayanginya. 
Tambahan lagi anak itu sudah besar, boleh menolongnya dan telah berjasa 
kerana bersama beliau membina Kaabah.

Perintah Allah, bagi Saidina Ibrahim a.s., adalah sangat dekat, walaupun 
Allah subhanahu wa Taala tidak dapat dilihat. Sebagai seorang yang muhsin 
(manusia yang ihsan), beliau sensitif dengan perintah Allah maka 
dilaksanakan perintahNya dengan penuh penyerahan. Tahap penyerahan dan 
pengorbanan seperti ini bukanlah senang untuk dicapai oleh manusia biasa, 
kecuali mereka yang selalu berhubung dengan Allah.

Dan bagaimana pula dengan Saidina Ismail a.s. setelah diberitahu oleh 
bapanya? Dengan rela hati dan begitu tenang sekali dia menyuruh bapanya 
melaksanakna perintah Allah itu. Tidak terdapat rasa ragu-ragu, takut atau 
hendak tunjuk berani. Ia jelas memperlihatkan penyerahan langsung kepada 
kehendak Allah Subhanahu wa Taala. Penyerahan yang dilakukan oleh mereka 
berdua itulah dinamakan Islam. Dari segi perlaksanaan, tidak sedikitpun rasa 
syak, malah penuh yakin dengan perintah Allah.

Dalam peristiwa ini Allah Subhanahu wa Taala sebenarnya bukan hendak 
menyiksa Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail a.s., tetapi Allah Subhanahu wa 
Taala hendak menguji sejauh mana keikhlasan dan kesanggupan mereka untuk 
berkorban demi Allah Subhanahu wa Taala. Manakala telah terbukti keikhlasan 
dan pengorbanan mereka berdua, maka Allah gantikan Saidina Ismail a.s. 
dengan seekor binatang sembelihan berupa kibas.

Allah Subhanahu wa Taala tidak berhajatkan kepada nyawa Saidina Ismail a.s.. 
Keikhlasan yang telah ditunjukkan merupakan kemuncak keikhlasan. Allah 
Subhanahu wa Taala mengetahui akan keikhlasan Saidina Ibrahim dan Saidina 
Ismail a.s., mereka berdua telah betul-betul Islam (menyerah). Ujian oleh 
Allah Subhanahu wa Taala telah berjaya, maka tidak perlu lagi menyembelih 
Saidina Ismail a.s.. Begitu jugalah dengan ujian-ujian yang lain yang Allah 
Subhanahu wa Taala berikan kepada orang-orang mukmin. Allah Subhanahu wa 
Taala hanya hendak melihat dari segi keikhlasan dan pengorbanan seseorang 
itu.

Contohnya kita lihat dalam peperangan Tabuk, bagaimana pada mulanya 
tentera-tentera Islam terasa berat untuk berangkat. Tetapi bagi insan 
rabbani yang sentiasa beribadah dan patuh kepada perintah Allah Subhanahu wa 
Taala, mereka turut serta untuk berperang kerana mereka tahu ini adalah 
perintah daripada Allah Subhanahu wa Taala. Mereka juga sedar Allah 
Subhanahu wa Taala bukan hendak menyiksa orang-orang Islam, tetapi Dia 
hendak menguji mereka dan memilih yang baik sahaja. Tetapi apa yang berlaku 
di Tabuk, pihak musuh berpatah balik daripada medan peperangan menyebabkan 
tidak berlaku peperangan yang dirancang pada awalnya. Kalau musuh sudah 
berpatah balik, tidak perlulah kita mengejar mereka. Demikianlah keputusan 
yang telah diambil. Oleh itu, tentera Muslim pun berangkat pulang ke 
Madinah. Itu merupakan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Taala.

Sebenarnya peristiwa Tabuk itu merupakan satu bentuk ujian daripada Allah 
Subhanahu wa Taala untuk membuktikan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa 
yang tidak. Bagi mereka yang tidak ikhlas dan tidak menyerah akan dimurkai 
Allah dan di akhirat kelak akan menerima balasan yang berupa siksaan di 
dalam neraka. Sebaliknya bagi mereka yang berlaku benar, akan diredhai-Nya 
walaupun tidak terjadi pertemuan dengan musuh di medan peperangan.

Begitulah juga dengan ujian-ujian yang lain. Sebenarnya bukan Allah 
Subhanahu wa Taala hendak menyiksa orang mukmin. Tidak! Tetapi Dia hendak 
melihat sejauh mana keikhlasan, kejujuran, kepercayaan, ketaatan, keredhaan, 
ketenangan, penyerahan yang sebenarnya dan perlaksanan kita terhadap 
ajarannya.

Marilah kita meraikan hari raya Adha ini dengan menyuburkan kembali 
peristiwa korban ini dalam sanubari kita. Kegembiraan kita bukan kegembiraan 
yang sembarangan dan tanpa sandaran, tetapi kegembiraan kita adalah kerana 
membesarkan kejayaan Saidina Ibrahim dan Saidina Ismail a.s. di dalam 
membuktikan ketaatan mereka terhadap perintah-Nya.

-WD-
_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "ibnu ramli" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke