Puncanya Mahathir atau politik wang?
3:11pm, Mon: Heboh mengenai politik wang sejak seminggu
dua ini, mengapa? Kenapa perkara yang telah dibangkitkan oleh bekas Timbalan
Presiden Umno, Tan Sri Musa Hitam sejak 15 tahun lalu tiba-tiba menjadi topik
utama sekarang?
Umno seperti orang sedang nazak, mahu diubati segera
penyakitnya yang kronik. Doktornya menghebohkan punca utama penyakit itu adalah
virus bernama politik wang. Lalu virus itu diserang dengan harapan kuman lain
yang lebih berbahaya dilupakan dan penyakit dapat diubati segera.
Itulah
gambaran yang diberikan sekarang - kononnya sebab utama Umno semakin reput dan
dipinggirkan oleh orang Melayu adalah kerana pemimpin-pemimpinnya mengamalkan
politik wang.
Lalu dikemukakan beberapa cadangan segera seperti merujuk
kes-kes politik wang kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), menyenaraihitamkan
pemegang jawatan dalam Umno daripada mendapat kontrak kerajaan dan orang yang
terlalu kaya akan disekat daripada merebut jawatan dalam parti itu.
Doktor Umno merangkap Presiden parti, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
menyalahkan politik wang, orang kaya dan kerakusan merebut tender kerajaan
sebagai penyebab kelemahan parti yang sedang dipimpinnya itu.
Bagaimanapun ahli-ahli Umno sekarang semakin bijak. Mereka tidak menelan
bulat-bulat kempen memerangi politik wang yang diberikan nafas baru oleh
Presiden mereka itu.
Malah ada yang mempertikaikan kenyataan Dr Mahathir
itu dengan menyifatkan beliau cuba mengalih perhatian ahli-ahli Umno daripada
masalah sebenar yang dihadapi oleh parti itu.
Cabaran BBM
Naib Ketua Pemuda Umno Datuk
Aziz Sheikh Fadzir mengingatkan Dr Mahathir jangan marahkan nyamuk, lalu kelambu
dibakar. Katanya, tidak semua orang kaya mengamalkan politik wang.
Ahli
Majlis Tertinggi Datuk Shahrir Samad pula menegaskan, langkah menyekat orang
kaya daripada memimpin parti tidak semestinya akan menghapuskan politik wang
kerana orang yang tidak kaya juga terdedah untuk mengamalkan gejala itu.
Kini di tengah-tengah pemilihan di peringkat bahagian, perbahasan
politik wang semakin hangat. Ahli-ahli Umno seolah-olah lupa apa sebenarnya
penyakit yang dihadapi oleh parti itu.
Isu politik wang ini telah
menenggelamkan kewujudan Badan Bertindak Melayu (BBM) yang tidak lama dulu
begitu lantang mengkritik pucuk pimpinan parti termasuk
Presidennya.
Kenyataan-kenyataan pedas Shahrir, Datuk Ibrahim Ali, Datuk
Tajuddin Abdul Rahman dan ramai lagi yang mengecam pemimpin Umno kini dan
menganggap Dr Mahathgir sebagai beban kepada parti serta punca kekalahan Barisan
Nasional dalam pilihan raya kecil Lunas tenggelam begitu sahaja.
Inilah
sebenarnya yang dikehendaki oleh Presiden Umno itu. Beliau mahu ahli-ahli parti
leka membicarakan soal lain dan melupakan BBM yang cuba mencabar kedudukannya.
Lalu kesempatan yang dibuka oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman yang kecewa
dengan amalan politik wang dalam Umno bahagian Kuantan digunakan sepenuhnya
untuk membesar-besarkan ancaman politik wang ini.
Dr Mahathir berharap
dapat mencuci tangannya apabila menjadi hero memerangi politik wang. Beliau
menggunakan kesempatan ini untuk menuduh orang lain sebagai punca kelemahan
Umno, sekali gus mahu menepis dakwaan para penentangnya yang menuduhnya sebagai
liabiliti (beban) kepada parti.
Seorang aktivis Pemuda Umno berkata, Dr.
Mahathir mahu membersihkan dirinya dengan mempamerkan kesungguhan untuk
memerangi politik wang dalam parti.
Tender yang
lumayan
“Dr Mahathir cuba mengalihkan perhatian
ahli-ahli Umno daripada menyalahkan dirinya sebagai punca kelemahan parti dengan
menimbulkan masalah lain terutamanya politik wang.
Beliau berharap
apabila ahli-ahli parti ghairah bercakap soal politik wang, kemarahan mereka
terhadapnya akan berkurangan atau dihapuskan,” tegasnya.
Bagaimanapun menurut aktivis itu, sebahagian besar ahli-ahli Umno
berpendapat sebaliknya, Dr Mahathir dilihat sebagai punca kepada gejala ini
kerana beliaulah yang menggalakkan kemasukan orang korporat dan orang kaya ke
dalam Umno.
“Kami juga tidak melihat keikhlasan beliau dalam
memerangi gejala ini. Mengapa baru sekarang hendak bertegas? Kenapa tidak 10
atau lima tahun dulu. Sekarang politik wang sudah menjadi budaya Umno... sukar
untuk diperangi,” tambah aktivis itu lagi.
Nampaknya usaha murni
Dr Mahathir untuk membersihkan Umno akan menempuh jalan sukar. Tidak ramai
pemimpin Umno sanggup bekerjasama dengannya kerana lebih 80 peratus ketua-ketua
bahagian dan cawangan bergantung pada kontrak-kontrak kerajaan.
Masakan
mereka mahu menabur pasir ke periuk nasi sendiri? Lagipun idelisme perjuangan
sudah lama berkubur dalam Umno. Sebahagian besar mereka yang menyertai Umno
sekarang mahu mengejar kontrak, konsesi balak, saham dan tender-tender yang
lumayan.
Sedangkan memasang poster dan bendera ketika musim pilihanraya
sekalipiun para penyokong Umno menagih upah, inikan pula apabila sudah menjadi
pemimpin di peringkat bahagian, perhubungan negeri atau di peringkat nasional.
Zaman berjuang semata-mata kerana parti, bangsa, agama dan negara sudah
berlalu. Setiap titik peluh yang tumpah, setiap undi yang diberi menuntut
balasan. Dr Mahathir terpaksa menerima hakikat ini - lebih-lebih lagi apabila
beliau sendiri dipersalahkan sebagai punca utama kelemahan Umno sekarang.
Amaran, rayuan, doa dan tangisan Presiden Umno ini untuk memerangi
politik wang akan hanyut bersama Umno yang semakin reput.