*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenyataan Akhbar Rafzan Bin Ramli Bekas Pelajar UiTM


MANGSA KEZALIMAN AUKU DAN MANGSA PENINDASAN UiTM

Bersempena dengan Perhimpunan Aman Mahasiswa dan Mahasiswi serta
Penyerahan Laporan Keganasan Polis dan Kezaliman Akta Universiti dan
Kolej Universiti(AUKU) kepada SUHAKAM pada hari ini, saya Rafzan Bin
Ramli bekas pelajar UiTM yang telah dipecat dari meneruskan pengajian
di Universiti Teknologi Mara melalui perbicaraan berat sebelah yang
telah dijalankan oleh pihak UiTM pada 22hb Jun 2001 yang lepas,
mendesak supaya SUHAKAM mengeluarkan kenyataan rasmi yang tegas
berhubung dengan posisi SUHAKAM terhadap AUKU yang zalim lagi
menindas ini khususnya berhubung dengan kes pemecatan saya oleh pihak
UiTM yang diakibatkan oleh akta kejam ini.

Selaku mangsa kezaliman AUKU dan juga mangsa kepada pihak UiTM yang
telah menjalankan pengadilan dan penghakiman ala undang-undang hutan,
saya mendesak SUHAKAM supaya menubuhkan suatu Suruhanjaya yang bebas,
adil dan independen untuk menyiasat pencabulan hak asasi yang telah
dilakukan oleh pihak UiTM terhadap diri saya dengan cara menafikan
hak dan peluang saya untuk mendapat pengadilan dan penghakiman yang
adil dan saksama.

Pada hari perbicaraan saya pada 22hb Jun yang lepas, pihak UiTM telah
menghalang dan tidak membenarkan saksi yang saya bawa untuk memberi
keterangan bagi menyokong pembelaan diri saya daripada masuk ke bilik
perbicaraan.

Peguam yang saya bawa untuk mewakili diri saya di dalam perbicaraan
pada 22hb Jun itu juga turut dihalang dari memasuki ke bilik
perbicaraan. Bukan setakat itu sahaja, pihak UiTM juga turut tidak
membenarkan wakil dari Pertubuhan Kebangsaan Hak Asasi Manusia
(HAKAM) dari menghadiri perbicaraan saya pada hari itu.

Selain dari tindakan-tindakan yang mencabul hak asasi saya
sepertimana yang dinyatakan di atas, pihak UiTM juga turut
mengganggu, mengintimidasi dan menakut-nakutkan kawan-kawan saya yang
turut datang untuk memberikan sokongan moral kepada saya pada hari
itu.

Dua orang kawan saya yang hadir pada hari itu telah dikepung, ditahan
dan dihalang pergerakan mereka oleh 4 orang pengawal keselamatan
UiTM. Mereka langsung tidak dibenarkan hampir di ruang luar bilik
perbicaraan saya. Selain daripada itu, beberapa orang kawan-kawan
saya yang lain yang turut datang untuk memberi sokongan telah
diintimidasi dan ditakut-takutkan dengan cara dirakamkan wajah mereka
di dalam kamera video.

Pada hari itu terdapat 2 orang yang tidak dikenali yang berpakaian
biasa dengan sebuah kamera video setiap seorang telah merakamkan
wajah kawan-kawan saya itu ke dalam kamera video. Kedua-dua orang
yang tidak dikenali ini bergerak bebas di dalam kawasan UiTM tanpa
sebarang sekatan atau halangan dari pihak UiTM seolah-olah pihak UiTM
sememangnya bersubahat dengan kedua-dua orang yang tidak dikenali ini
untuk mengugut dan menakut-nakutkan serta cuba menghalang kawan-kawan
saya dari datang memberi sokongan kepada saya.

Tidak cukup dengan ugutan dan penindasan yang dikenakan terhadap saya
dan kawan-kawan saya, pihak UiTM juga telah melakukan penipuan dan
pembohongan kepada saya, ibu bapa saya dan keluarga saya apabila
mereka melanggar dan mencabul keputusan yang telah ditetapkan pada
perbicaraan pertama pada 15 Jun untuk menangguhkan perbicaraan saya
untuk tempoh 2 minggu atau lebih. Belum sampai tempoh 2 minggu
penangguhan, pihak UiTM telah memanggil saya untuk menghadiri
perbicaraan pada 22 Jun yang lepas dengan hanya 2 hari notis.

Tempoh 2 hari notis yang diberikan oleh pihak UiTM kepada saya
merupakan suatu masa yang terlalu pendek dan suntuk untuk saya
membuat persediaan pembelaan diri. Notis singkat ini sengaja
dikeluarkan oleh pihak UiTM kepada saya supaya pendakwaan ke atas
saya dapat dibuat di dalam keadaan saya tidak bersedia supaya mudah
untuk mereka memerangkap saya dan menjatuhkan hukuman kepada saya.

Pihak UiTM dengan jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila
mereka menafikan hak asasi saya yang diperuntukkan oleh Perkara 5
Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk mendapat pembelaan yang adil
dan saksama dengan melakukan penipuan dan pembohongan yang licik
serta pemberian tempoh masa untuk membuat persediaan pembelaan yang
terlalu pendek.

Hak untuk mendapat pembelaan yang adil dan hak untuk diberi tempoh
masa yang cukup bagi menyediakan dan mempersiapkan pembelaan diri
adalah hak asasi manusia yang termaktub sebagai prinsip asas "natural
justice". Akan tetapi Pihak UiTM telah memperkosa prinsip "natural
justice" ini dengan sewenang-wenangnya, berikutan dengan tindakan
mereka yang tidak memberi peluang dan tempoh masa yang cukup untuk
saya membuat persediaan pembelaan diri.

Manakala ketika perbicaraan berlangsung, pihak UiTM mengambil sikap
mudah dan sambil lewa sahaja di dalam mengemukakan pendakwaan mereka
ke atas diri saya tanpa disertakan dengan sebarang bukti-bukti
sokongan terhadap tuduhan yang mereka lemparkan ke atas saya. Apabila
saya meminta pihak UiTM menunjukkan kepada saya bukti tuduhan, mereka
gagal untuk mengemukakan sebarang bukti kepada saya.

Suatu perbicaraan yang besar yang melibatkan seluruh masa depan saya
dan hak saya untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi telah di
jalankan secara sambil lewa dan sewenang-wenangnya oleh pihak UiTM.
Selepas sessi perbicaraan selesai pihak UiTM terus bersidang untuk
membuat keputusan dan keputusan untuk memecat saya dari UiTM dan
menghancurkan masa depan saya itu diputuskan hanya di dalam tempoh
masa kurang dari 5 minit. Proses perbicaraan ala hutan yang
dijalankan oleh pihak UiTM itu telah menginjak, memijak dan mencabul
hak asasi saya untuk mendapat pengadilan dan penghakiman yang adil
dan saksama.

Tindakan pihak UiTM yang telah terlebih dahulu menjatuhkan hukuman
pemecatan ke atas saya sebelum saya didakwa oleh pihak polis di
mahkamah dan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas
saya, terang-terang berlawanan dengan prinsip keadilan sejagat
iaitu "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah".

Sekali lagi saya mendesak supaya SUHAKAM mengeluarkan kenyataan rasmi
yang tegas berhubung dengan posisi SUHAKAM terhadap AUKU yang zalim
lagi menindas ini khususnya berhubung dengan kes pemecatan saya oleh
pihak UiTM melalui perbicaraan yang tidak adil dan berat sebelah yang
diakibatkan oleh akta kejam ini.

Saya juga mendesak SUHAKAM supaya menubuhkan suatu Suruhanjaya yang
bebas, adil dan independen untuk menyiasat pencabulan hak asasi yang
telah dilakukan oleh pihak UiTM terhadap diri saya dengan cara
menafikan hak dan peluang saya untuk mendapat pengadilan dan
penghakiman yang adil dan saksama.


RAFZAN BIN RAMLI
MANGSA KEZALIMAN AUKU
MANGSA PENINDASAN UiTM
30 JUN 2001




 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: alias mohd yusof <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke