--------------------
LUZAM mungkin ditubuh -- PM: Rungutan yang persoal fungsi institusi 
zakat boleh jadi ada kebenarannya
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, 
kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Lembaga Urusan 
Zakat Malaysia (LUZAM) bagi menyelaraskan kutipan dan agihan 
zakat di semua negeri.

Menurut Perdana Menteri, rungutan pihak tertentu yang mempersoalkan 
fungsi institusi zakat terutama dalam aspek ketelusan pengagihan 
wangnya mungkin ada kebenaran.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan mendapatkan maklumat 
daripada pejabat-pejabat zakat berdasarkan aduan yang dibuat.

``Mungkin ada kebenaran juga. Apa sahaja aduan yang dibuat, 
kita akan dapatkan maklumat.

``Saya juga kena periksa dan tengok (akan keperluan menubuhkan 
LUZAM) sama ada terdapat keperluan atau tidak,'' katanya kepada 
pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman 
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di sini malam ini.

Terdahulu pelbagai pihak meminta kerajaan mempercepatkan penubuhan 
LUZAM yang dicadangkan lima tahun lalu bagi membolehkan kutipan 
dan agihan zakat di semua negeri diselaraskan.

Mereka berpendapat, penubuhan lembaga itu akan membolehkan semua 
urusan berkaitan zakat di negara ini dijalankan dengan lebih 
sistematik dan efektif dalam meningkatkan sosioekonomi umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Datuk Syeikh Majid 
Mohd. Noor berkata, penyelarasan kutipan dan agihan zakat perlu 
dilakukan di peringkat pusat supaya kedudukan golongan fakir 
dan miskin di negara ini lebih tersusun. 

Ujarnya, usaha termasuk mewujudkan LUZAM perlu diteruskan demi 
kebaikan golongan tersebut dengan cara yang lebih sistematik.

``Elok kalau diwujudkan badan penyelaras seperti itu tetapi 
ia mesti dirujuk dulu pada Majlis Agama Islam negeri kerana 
mereka yang berkuasa,'' katanya ketika dihubungi.

Penolong Pengurus Operasi Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS), 
Mohd. Rafiz Mohd. Yusof pula berkata, kerajaan perlu segera 
menubuhkan LUZAM seperti yang pernah dicadangkan bagi menyelaras 
dan menyeragamkan pungutan zakat di seluruh negara secara lebih 
teratur.

Beliau berkata, penubuhan LUZAM akan memudahkan penyelarasan 
dan menyeragamkan pungutan zakat di seluruh negara secara lebih 
teratur.

Sebagai contoh, kata beliau, pengiraan zakat emas di Negeri 
Sembilan berlainan dengan pengiraan di Selangor dan Wilayah 
Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau juga yakin langkah menubuhkan lembaga itu akan membolehkan 
pengawasan yang lebih rapi dibuat terhadap kesemua institusi 
zakat di setiap negeri.

``Adanya LUZAM yang bertindak sama seperti Lembaga Tabung Haji, 
akan membolehkan perolehan zakat yang lebih di negeri-negeri 
tertentu dapat diagih-agihkan ke negeri lain,'' katanya kepada 
Utusan di Seremban.

Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang Universiti Malaya, 
Prof. Madya Dr. Ahmad Hidayat Buang turut meminta kerajaan menimbangkan 
semula penubuhan LUZAM.

Katanya, penubuhan LUZAM akan melicinkan lagi sistem zakat di 
negara ini walaupun terdapat halangan enakmen-enakmen tertentu 
di negeri-negeri.

``Satu tabung lebih mudah untuk diuruskan berbanding banyak 
tabung,'' jelasnya.

Idea penubuhan LUZAM dicetuskan pada 13 Julai 1996 oleh Pengurus 
Besar Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 
Mohamed Dahan Abdul Latiff pada Persidangan Bangsa Melayu dan 
Kejayaan Ekonomi Islam Serantau anjuran Institut Perkembangan 
Minda (INMIND).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh ketika 
menggulung perbahasan Undang-Undang Perbekalan Tambahan (1999) 
di Dewan Negara pula antara lain berkata: ``Pada masa ini, Jabatan 
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyelaras pentadbiran 
serta perundangan mengenai agama Islam di semua negeri terlebih 
dahulu, sebelum LUZAM boleh diperkenalkan.''

Shafie menegaskan penyelarasan pembayaran zakat itu akan membolehkan 
pengagihan lebih adil dijalankan.

Baru-baru ini pula, ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas 
Kementerian Penerangan, Ibrahim Azmi Hassan mencadangkan supaya 
kerajaan Pusat menubuhkan sebuah badan penyelaras zakat memandangkan 
sistem pengagihan zakat sekarang tidak begitu tersusun.

Sementara itu Persatuan Kebajikan Islam (Perkasa) Terengganu 
juga berpendapat sebuah badan khas perlu diwujudkan untuk menyelaras 
proses pungutan dan pengagihan zakat kepada golongan yang ditetapkan.

Pengerusinya, Yusof Musa berkata di Kuala Terengganu bahawa 
sudah sampai masanya pengendalian urusan zakat diperbetulkan 
kerana ia tidak memberi manfaat menyeluruh kepada golongan yang 
memerlukan.

Menurutnya, melalui zakat fitrah, berpuluh juta ringgit dikumpulkan 
setiap tahun di seluruh negara tetapi seolah-olah tiada siapa 
yang berani mempersoalkan ke mana sebenarnya wang itu disalurkan.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Sakom 
berkata, satu garis panduan tetap dapat diwujudkan jika pengurusan 
zakat diletakkan di bawah sebuah lembaga. 

``Kita tidak mahu pengurusan zakat dibuat melalui jawatankuasa 
yang tidak tetap dan ini menyebabkan kadang-kala pengagihan 
zakat tidak kena pada sasarannya.

``Jika institusi zakat tidak diuruskan dengan baik, ini menyebabkan 
kepercayaan orang ramai akan terhakis dan sekali gus mencacatkan 
imej Islam,'' katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi 
Ibrahim berkata, urusan zakat tidak boleh lagi dijalankan secara 
tradisional sebaliknya perlu ditadbir dengan profesional oleh 
sebuah lembaga. 

``Lembaga Tabung Haji boleh dijadikan model dan jika ia dapat 
dilakukan ke atas institusi zakat, kita bukan sahaja dapat membantu 
orang miskin malah ia dapat disalurkan kepada sekolah-sekolah 
dan masjid,'' ujarnya. 

Presiden Gabungan Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA), Prof. 
Datuk Hamdan Adnan berkata, pengurusan zakat di negara ini perlu 
diseragamkan bagi membolehkan agihan dibuat dengan baik.

``Kadang-kadang kita merasa malu apabila tersiar kisah kedaifan 
hidup orang Islam di akhbar atau televisyen, sedangkan banyak 
zakat dikutip,'' jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia 
(PPIM), Dr. Maamor Osman berkata, pengurusan zakat perlu dikendalikan 
di peringkat Pusat bagi membolehkan zakat disalurkan kepada 
negeri lain yang memperolehi kutipan zakat yang sedikit tetapi 
mempunyai ramai fakir miskin.

``Walaupun urusan zakat adalah di bawah bidang kuasa kerajaan 
negeri, namun para mufti boleh memainkan peranan agar penyelarasan 
dapat dibuat bagi kepentingan orang ramai,'' katanya.




--------------------------------------------------------------------------
Global Internet phone calls, voicemail, fax, e-mail and instant messaging.
Sign-up today at http://www.hotvoice.com

Kirim email ke