*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
TRAGEDI MEMALI 19 NOV 1985 - Versi Rakyat Marhain

Penulis: badin (Disember 1998)


KISAH MEMALI - Part 1

Assalamualaikum,

Tanggal 19 November lalu, genaplah 13 tahun tragedi Memali berlaku. Rasanya, 
ramai di antara sahabat-sahabat sekalian yang masih di bangku sekolah atau 
baru saja melangkah ke alam pekerjaan ketika tragedi tersebut berlaku. Kerana 
ianya adalah satu tragedi yang penuh dengan pengajaran dan sesetengahnya masih 
menjadi misteri, maka ada baiknya diceritakan semula di sini untuk tatapan 
bersama.

Hujung minggu lalu, saya ke Baling untuk mengesahkan semula cerita-cerita yang 
pernah saya dengar sekitar tahun 1985 dan awal 1986 dahulu. Kerana cerita yang 
saya dengar itu mempunyai versi yang berbeza, maka kekadang saya sendiri jadi 
confuse bila ditanyakan orang akan cerita yang sebenarnya..

Masih saya ingat kata-kata Pak Ya, seorang hardcore UMNO dua tiga bulan 
selepas kes tersebut. Kata Pak Ya, "Ala, Berahing Libya tu, dah habis jual 
bergolok bergadai, jual lembu, jual tanah, jual harta nak menang pilihanraya, 
lepas tu kalah. Dah tak ada apa dah tinggal, nak tunggu apa lagi? Ma_pooh (mam 
pus) la, lagi molek!!". Pak Ya ni harcore sungguh, masa tengah menjual kain, 
sempat lagi dia sembang bab politik, dia kata, "Ala, nak buat apa hudud-hudud 
ni, nanti kalau semua orang kena potong tangan, siapa nak gi menoreh?". Selain 
dari itu, banyak juga cerita terperinci Memali yang diceritakannya kepada 
saya, semuanya berbau pekat UMNO.

MALANGNYA - PAK YA SUDAH PUN KEMBALI KE RAHMATULLAH . CERITA MEMALI VERSI PAK 
YA CUMA TINGGAL SAMAR-SAMAR DALAM KEPALA SAYA. APA-APA PUN, KERANA HUBUNGAN 
KELUARGA, SAYA TURUT SERTA MENYEMBAHYANG DAN MENGIRINGI MAYATNYA KE LIANG 
LAHAD. SEMOGA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA PAK YA!

Sekitar 1985 juga, saya sempat berbual dengan seorang hardcore PAS di 
pedalaman Baling. Beliau tak habis-habis menyanjung allahyarham Ustaz Ibrahim 
Libya. Bila timbul isu Syahid, beliaulah antara yang paling lantang 
mempertahankan al-syahid Ust Ibrahim Libya. Pakcik Dolah bukanlah mengaji 
tinggi sangat, sekolah attap pun tak sure habis ke tidak, tapi tang bab agama, 
dia jenis 'Samekna Waatoqna" (Kami Dengar dan Kami Patuh). Kerana itu, bila 
saya tanya, "Mana Pakcik Dolah tahu kata Ibrahim Libya tu mati syahid?. Jawab 
Pakcik Dolah, "Mu tak caya, mu gi tengok kitab di Pondok Lanai!!". Termenung 
saya.

MALANGNYA - PAKCIK DOLAH JUGA SUDAH KEMBALI KE RAHMATULLAH. SEPERTI JUGA PAK 
YA, SAYA TURUT MENGIRINGI MAYAT PAKCIK DOLAH KE LUBANG KUBUR. MOGA ALLAH 
MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA PAK YA DAN PAKCIK DOLAH, SEMOGA ANAK CUCU MEREKA BERDUA 
AKAN DIBERI HIDAYAH UNTUK MENGEMBALIKAN SEMULA MARUAH ISLAM DI MUKA BUMI!

Oleh kerana kedua-dua Pak Ya dan Pakcik Dolah sudah tidak ada lagi untuk 
mengesahkan cerita-cerita yang pernah mereka sampaikan kepada saya dulu, maka 
saya tidak ada pilihan, selain ke rumah seorang lagi sahabat yang pernah 
mengisahkan cerita Memali ini secara panjang lebar kepada saya sekitar tahun 
1985 dulu. Rakan2 beliau adalah antara yang tertembak dan gugur syahid semasa 
kejadian itu, dan beliau sendiri, walaupun tidak menyatakan kepada saya, 
tetapi menurut seorang teman, dan juga melihat akan air mukanya, beliau nampak 
seakan terkilan kerana hari kejadian itu tidak jatuh pada hari giliran beliau 
mengawal rumah al-syahid ust Ibrahim Libya!!

Cerita beliau inilah antara yang paling reliable.

Malangnya, pada hari sabtu yang lalu, beliau tidak ada di rumahnya kerana ada 
urusan di luar Baling. Saya jadi sedikit terkilan. Pun begitu, mungkin kerana 
niat saya ikhlas, saya ditakdirkan bertemu dengan anak cucu sahabat2 yang 
gugur syahid atau ditembak dan ditawan di medan tempur kg Memali itu, dan 
mereka ini merupakan anak jati kampung Memali. Banyak kisah menarik yang 
diceritakan.

Maka itu, dengan gabungan2 cerita dari anak cucu mangsa Memali itu, juga 
sedikit cerita dari Pak Ya, Pakcik Dolah dan juga sahabat tersebut, dicampur 
pula dengan beberapa sedutan dari buku "Perisai Memali" karya C.N Al-Afghani, 
insyaallah kita akan bercerita lagi.


KISAH MEMALI - Part 2

Meneruskan cerita Memali.

Bila ditanya orang kampung Memali akan asal nama Memali - ada dua cerita 
berbeza, seorang mengatakan bahawa Memali berasal dari sejenis pokok bernama 
'Memali' yang ada terdapat di sekitar Memali. Seorang lagi pula mengatakan 
bahawa Memali berasal dari perkataan 'Memali' (bahasa Baling - melayu patani) 
iaitu sejenis penyakit/hama di atas kulit kepala yang menyebabkan rambut 
gugur. Wallah hu aklam.

Dalam tulisan-tulisan seterusnya kita akan bertemu dengan beberapa perkataan 
atau bahasa yang jarang-jarang kita dengar, kerana penduduk Memali seperti 
juga majoriti penduduk Baling adalah berketurunan Melayu Patani. Bahasa yang 
digunakan adalah bahasa melayu dialek Patani - iaitu seakan-akan campuran 
bahasa Kelantan, Terengganu, Kedah dan mungkin ada sedikit-sedikit pengaruh 
Siam. Namun begitu, mungkin kerana sudah terpisah dari datuk nenek mereka 
beratus tahun yang lalu, tak ramai penduduk Baling yang perasan bahawa mereka 
sebenarnya berketurunan Melayu Patani.

Sebetulnya, sekitar awal tahun ini (Jan 1998), Baling digemparkan lagi dengan 
penangkapan dan penghantaran pulang Baba Bedul atau nama betulnya Tuan Guru 
Abd Rahman, seorang Tok Guru di Pondok Haji Ding, Kg Sungai Limau, Baling; 
beliau merupakan the Supreme Leader (Pemimpin) Pertubuhan Pembebasan Patani 
Bersatu (PULO Baru). Selepas dicekup dan diarak pulang ke Siam, tidaklah 
diketahui apa untung nasibnya hingga ke hari ini. Apa-apa pun, sejarah mungkin 
akan terus menyaksikan kemunculan wira-wira dari Baling untuk meneruskan 
kesinambungan perjuangan agama dan bangsa
dan negara.

Berbalik pada cerita Memali, persoalan yang utama orang nak tahu mungkin "Apa 
Ceritanya" dan "Apasal Boleh jadi Macam tu?" . Insyaallah, saya akan cuba 
huraikan satu persatu.

Al-syahid ustaz Ibrahim Libya bukanlah calang-calang orang, bukanlah Tok Guru 
kampung yang kerjanya semata-mata mengajar bab wuduk, bab puasa atau pun bab 
nikah kahwin. Kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah beliau sentiasa mendapat 
sambutan, selalu dipenuhi dengan seruan-seruan jihad, persoalan-persoalan 
akidah dan seringkali dilaungkan dengan tegas akan perbezaan akidah antara 
perjuangan PAS dan UMNO. Mungkin ada orang mengatakan cara beliau terlalu 
extreme, fanatik dan sebagainya, tetapi itulah cara perjuangan beliau, dan 
cara itulah yang telah membawa beliau menemui syahid yang diidam-idamkan.

Bagi al-syahid, antara golongan sekular dan golongan yang berkehendakkan Islam 
mesti ada garis pemisah yang jelas, tidak kira siapa, jiran , kawan atau pun 
kaum keluarga. Selagi tidak diwujudkan garis pemisah itu, selagi itulah tak 
akan tertegaknya Negara Islam yang dicita-citakan. Contohnya, dalam buku 
"Perisai Memali", beliau ditulis sebagai berkata:

"Maka pada ketika itu golongan yang hendak pada Islam dan golongan yang 
menentang Islam itu terasing dan terpisah. Maka sekarang ini tidak ujud lagi 
ciri-ciri seperti itu. Sekarang ini ujud golongan yang masih berdamai dengan 
musuh-musuh Islam dengan alasan tidak mahu memecah belahkan masyarakat. Adakah 
orang sedemikian rupa boleh berperang pada jalan Allah atau boleh mencapai 
mati syahid? Sejauh manakah keikhlasan kita dalam menegakkan aqidah dan 
keimanan kita kepada Allah dan rasulnya?".

ADA KA LAGI ORANG YANG BERANI CAKAP MACAM TU SEKARANG NI???

Dalam buku "Perisai Memali" diceritakan detail kejadian itu dari sudut 
pandangan Pak Teh Mat Piah, tetapi setelah ditembak, tak banyak yang mampu Pak 
Teh ceritakan. Insyaalah dalam tulisan ini, kita akan menceritakan kisah-kisah 
lain yang tidak terdapat dalam buku tersebut seperti yang diceritakan oleh 
seorang perawi yang sempat bersembang panjang dengan beberapa orang mangsa 
yang ditembak atau yang meninggal dunia tak beberapa lama selepas hari 
kejadian.

[Sila dapatkan buku "Perisai Memali" yang ditulis oleh C.N. Al-Afghani - 
menceritakan kisah Memali hasil interview dengan Pak Teh Mat Piah, yang 14 
biji peluru menghujani badannya, tapi alhamdulillah masih hidup untuk 
menyampaikan cerita. Harganya cuma RM15].

Al-syahid bukan saja tegas dengan puak-puak sekular, tetapi juga tegas dengan 
mereka yang mengaku berjuang dalam jemaah Islam. Antaranya, beliau berkata:

"Kita hendaklah basuh hati dan jiwa kita dengan jihad pada jalan Allah. 
Golongan yang masih berkarat dengan penyakit dunia itu keluarlah dari parti 
Islam (PAS). Kalau hendak cari kesempatan dengan parti Islam tidak payahlah, 
keluar sahaja, buat mati jahilah atau mati kafir sahaja. Janganlah kalau 
diajak kenduri cepat saja pergi, tetapi bila diajak bertamrin takut. Sejauh 
manakah laungan 'Allah hu Akbar' yang kita kumandangkan ke angkasa dalam mana 
perjuangan kita masih di takuk lama.".

Banyaklah lagi ucapan-ucapan beliau yang menggerunkan kawan dan lawan. 
Semuanya ini merupakan bunga-bunga syahid yang sekian lama ditunggu-tunggu 
oleh beliau dan rakan-rakan. Antaranya, beliau juga pernah berkata:

"Samada yang bekerja sebagai petani, buruh kasar atau di pejabat swasta atau 
pejabat kerajaan, samada yang bekerja sebagai UKK, polis pacak, askar atau 
tentera atau FRU, kita mengingatkan kepada mereka ini bahawa kamu juga 
mengucapkan dua kalimah syahadah. Ketika kamu telah menjadi seorang Islam,maka 
janganlah cuba menyekat perjuangan kami di dalam Parti Islam (PAS) ini untuk 
menegakkan syariat Allah dan kalimah Allah yang tinggi. Jika disekat, kami 
akan tentang kamu dan jika kami mati atau gugur, maka gugur kami sebagai 
syahid, dan kamu pula dalam hal itu mati katak semata-mata, mati sia-sia. 
Kepada orang-orang Islam yang menjadi alat kepada kerajaan toghut dan zalim, 
kamu diingatkan berkali-kali mengenai tindakan Allah ke atas kamu kelak."

DR MAHATHIR DALAM UCAPANNYA DI PADANG BOLA, PEKAN KUALA KETIL (DEPAN STESEN 
SHELL) BEBERAPA MINGGU SELEPAS KEJADIAN MEMALI, BELIAU BERKATA:

"Mati Syahid Apa - MATI KATAK ADA LA!!!"

Sesungguhnya, siri-siri ucapan al-syahid itu telah menyebabkan timbulnya rasa 
kurang senang di pihak Nasionalist Sekular. Sejak dari itu, tindakan untuk 
memusnahkan perjuangan beliau dan rakan-rakan pun dimulakan secara aggresif. 
Insyallah kita akan bercerita lagi.

Sebelum itu, ada satu petikan yang ingin disampaikan. Apabila ditanya kepada 
seorang UMNO yang merupakan salah seorang perawi dalam cerita ini, "Betul ka 
Ibrahim Libya bawa ajaran sesat?".

Kata beliau:

"TAK, TAK, DIA TAK BAWA AJARAN SESAT, CUMA DIA TU TAKSUB SANGAT!"

[Taksub inilah rupa-rupanya yang membawa beliau menemui syahid, masyaallah!].






KISAH MEMALI - Part 3

(Meneruskan cerita Memali)

Dalam Part 2, kita telah bercerita tentang ketegasan al-syahid berhadapan 
dengan puak-puak mungkar dan kaum nasionalist sekular. Sikap tegas beliau 
inilah yang membuatkan pihak-pihak berkenaan terutamanya puak-puak UMNO jadi 
tidak senang duduk dengan tindak tanduk al-syahid dan rakan-rakan.

Sebelum itu, baik rasanya ditinjau dahulu latar belakang beliau untuk rujukan 
bersama.

Al-syahid bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Weng, Baling Kedah. 
Kemudian meneruskan pengajian di Sekolah Agama Ittifaqiah, Kg Carok Putih, 
Weng. Selepas itu ke Pondok Al-Khariah, Pokok Sena, Seberang Perai. Kemudian 
ke Nilam Puri, Kelantan. Seterusnya ke Deoband, India. Selepas itu, 
melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir, dan seterusnya ke Libya 
[Ibrahim Libya?].

Sekembalinya dari Libya, beliau bekerja sebagai pegawai pendakwah di Pusat 
Islam. Menurut cerita, beliau pernah muncul di kaca TV dalam satu rancangan 
'Hal Ehwal Islam' di RTM. Wallah hu aklam.

Tak banyak cerita yang saya perolehi mengenai kisah beliau semasa di Kuala 
Lumpur; cuma ada dua tiga cerita saja.

Seorang makcik yang berasal dari Memali menceritakan bahawa al-syahid turut 
terlibat dalam demonstrasi Baling 1974 bersama-sama dengan DSAI dan Ust 
Nakhaei .

KALAU BENAR CERITA INI, BERMAKNA SEMEMANGNYA AL-SYAHID ADALAH SEORANG YANG 
BERJIWA PEJUANG!!

Tetapi cerita ini bertentangan dengan kisah yang dipaparkan oleh CN Al-Afghani 
dalam bukunya 'Rakyat Semakin Matang'. Dalam buku tersebut, CN Al-Afghani 
menceritakan bahawa semasa dalam tahanan ISA 1974, Datuk Seri Anwar Ibrahim 
(DSAI) telah dikunjungi oleh al-syahid yang pada ketika itu bertugas di Pusat 
Islam, beliau memujuk DSAI supaya bekerjasama dan berlembut dengan kerajaan. 
Tetapi sebaliknya, DSAI pula yang menyergah beliau dengan berkata lebih 
kurang, "Hang tok sah lah dok bersekongkol dengan puak-puak ni, baik hang 
balik kampung, pi ajaq orang kampung hang lagi baguih!". Dengan kata lain, 
DSAI menempelak beliau kerana bekerja dengan kerajaan, dan mencadangkan agar 
beliau pulang membimbing orang-orang kampung di Baling.

Tidak pasti pula sama ada kerana nasihat DSAI ini atau pun sebab lain, maka 
al-syahid akhirnya membuat keputusan berhenti kerja dan meninggalkan 
pendapatannya yang lumayan di KL, dan pulang ke Memali untuk berbakti pada 
orang-orang kampung.

Sekembalinya ke Baling, beliau bekerja sebagai seorang tenaga pengajar di 
Sekolah Agama Ittifaqiah, Kg Caruk Putih, bersebelahan kampung Memali. 
Mudirnya ialah Lebai Yaakob.

Bercakap pasal Lebai Yaakob, ada cerita menarik yang nak diceritakan. 
Allahyarham Pakya pernah menceritakan kepada saya kisah pergeseran UMNO-PAS 
yang turut menjadi bunga-bunga atau batu api kepada tercetusnya peristiwa 
Memali.

Lebai Yaakob ini adalah bekas calon PAS bagi kawasan DUN Bayu, tetapi 
kemudiannya telah berpaling tadah menyertai UMNO. Lebai Yaakob sebelum 
menyertai UMNO, begitu dihormati oleh orang2 Memali; selain dari itu beliau 
juga boleh dikatakan sebagai Tok Guru kepada al-syahid. Tetapi, selepas Lebai 
Yaakob berpaling tadah, al-syahid cukup tegas dengan isu itu. Beliau dikatakan 
pernah berkata (dari mulut makcik tersebut):

'TOK GURU MACAM INI BAIK BUBUH ATAS KAPAL, HANTAR GI BUANG DI LAUT!!"

Selain dari isu PAS-UMNO, al-syahid juga tidak puas hati dengan isu 
pentadbiran dan pengurusan kewangan Sekolah Agama Ittafaqiah tersebut. Kerana 
kerap menimbulkan isu ini, Lebai Yaakob jadi tak puas hati, ini juga 
menyebabkan wujudnya pergeseran antara mereka berdua.

Tidak lama kemudian, orang2 PAS kampung Memali yang telah membina sebuah surau 
baru di Memali menjemput Ustaz Ibrahim Libya menjadi naqib usrah di surau 
mereka. Seorang pakcik tua yang sempat saya temui minggu lepas menyatakan 
bahawa beliaulah antara yang bertungkus lumus memikul tiang besar untuk 
membina surau tersebut. Surau ini kemudiannya dinamakan Madrasah Islahiah 
Diniah, Memali.


KISAH MEMALI - Part 4

Dlm part 3, kita menceritakan bagaimana al-syahid telah mengasaskan penubuhan 
Madrasah Islahiah Diniah, Memali, dan kita juga menceritakan latarbelakang 
pendidikan dan kerjaya beliau yang bukan sebarangan. Kali ini, kita lihat pula 
beberapa peristiwa penting yang berlaku sebelum hari kejadian tanggal 19 
November 1985.

Sekitar pertengahan tahun 1980an, kebangkitan Islam di Malaysia telah 
menyaksikan peralihan pucuk pimpinan PAS daripada kumpulan yg berbau 
Nasionalist kepada kumpulan Ulamak di bawah pimpinan Tuan Haji Yusuf Rawa. 
Sejajar dengan kebangkitan itu juga, muncullah penceramah-penceramah jenis 
'membujur lalu melintang patah, tak takut pada ugutan, tak takut pada celaan' 
seperti Ustaz Hj Hadi Awang,  Mat Sabu, Bunyamin Yaakob dan lain-lain. Masih 
saya ingat, saya sempat melihat poster 'Amanat Haji Hadi' tergantung megah di 
rumah salah seorang hardcore PAS di pedalaman Kedah. Sudah lama saya tidak ke 
rumah beliau, teringin rasanya nak melihat semula poster itu.

Ceramah-ceramah PAS pada ketika itu memang hangat, memang panas dan selalu 
mendapat sambutan ramai. Perbezaan akidah antara perjuangan PAS dan UMNO 
diterangkan satu persatu; dan sama ada kita suka atau tidak, kejahilan 
masyarakat terhadap sistem hidup dan sistem undang-undang Islam ketika itu 
telah menyebabkan keluarnya kenyataan-kenyataan balas terhadap isu ini - yang 
terang-terang boleh membatalkan syahadah, seperti:

"HABIS TU, KALU SEMUA ORANG KENA POTONG TANGAN, SIAPA PULA NAK GI MENOREH?" 
atau

"HUDUD, ZAMAN UNTA BOLEH LA!!".

Bagi mereka yang menerima pendedahan terperinci mengenai sistem hidup Islam, 
both hablum-minallah dan hablum-minannas, mereka jadi kaget dengan 
ucapan-ucapan yang sedemikian. Kerana mereka tidak punya kuasa untuk mengubah 
pemikiran orang, demi menjaga maruah agama, nak tak nak mereka terpaksa 
bergerak dalam kumpulan atau jemaah mereka sendiri.

Di ketika itu jugalah wujudnya apa yang dikatakan sebagai isu pulau memulau 
dan kafir mengkafir. Ini ini termasuk juga isu sembahyang dua imam, sembelihan 
tak sah, akad nikah tak sah menjadi lebih sensasi lagi bila media-media 
kerajaan turut sama menggembar gemburkannya.

Dan seperti biasa, PAS lah yang dipersalahkan. Lantaran publisiti-publisiti 
yang berat sebelah itu, wujudlah
desakan-desakan dari - siapa lagi kalau bukan dari Tukang Kipas - Tukang Kipas 
UMNO, mendesak agar PAS
diharamkan!

HASILNYA - UMNO TELAH DIHARAMKAN PADA 4 FEBRUARY 1988!!

Apa-apa pun, sambutan masyarakat terhadap PAS dan juga kebangkitan idealisme 
perjuangan Islam makin hari makin meningkat. Keadaan ini menyebabkan 
pihak-pihak yang berkenaan jadi tak senang duduk, kata orang, "mandi tak lena 
tidur tak basah" - semuanya serba tak kena [sebab tu peribahasa ni ditulis 
sebegitu rupa]. Di kemuncak keresahan mereka, maka berduyun-duyunlah 
pemimpin-pemimpin PAS dicekup ISA pada tahun 1984. Antaranya ial ah Ustaz Abu 
Bakar Chik,  Bunyamin Yaakob dan Mat Sabu serta ramai lagi.

Waran tangkap untuk Al-Syahid Ust Ibrahim Libya juga turut dikeluarkan pada 
tahun tersebut. Tetapi, beliau berkeras untuk tidak menyerah diri. Maka, 
buruan ke atasnya pun bermula!!

Tidak ramai orang tahu ke mana beliau menghilangkan diri; tetapi dalam 
pertemuan dengan salah seorang sahabat dari Memali minggu lepas, saya 
diberitahu bahawa beliau bersembunyi tidaklah begitu jauh - setakat Sik dan di 
sekitar Parit Panjang sahaja. Untuk maklumam, di perkuburan Parit Panjang lah 
tempat al-syahid dan sahabat sahabat kini bersemadi!

Walau pun dalam keadaan bersembunyi, al-syahid tetap pulang ke Memali 
menyampaikan kuliah kepada sahabat2 rapatnya, cuma sudah tidak keluar 
berceramah. Orang mungkin bertanya, kenapa beliau tidak mahu menyerah diri?

Kata Pak Teh Mat Piah dalam buku "Perisai Memali":

"USTAZ IBRAHIM KATA, DIA TIDAK AKAN SERAH DIRI, KERANA DIA TIDAK MELAKUKAN 
APA-APA KESALAHAN!!"

[Sebetulnya, hingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya apakah kesalahan Ust 
Ibrahim Libya. Kalau kita tengok mereka yg kena ISA macam Mat Sabu tahun 1984 
tu, tak nampak pun apa-apa kesalahan mereka. Wallah hu Aklam].

Saya pernah mendengar seorang hamba Allah dari Baling berkata (lupa nama), 
"Ala, kalau Polis betul-betul nak tangkap Berahing Libya, tak payah dok gi 
kepong rumah dia, tunggu la dua tiga bulang, mesti dia kelua pekang Baling 
beli ikan masing ka, apa-apa ka!".

Mesti ada sebab lain yang menyebabkan pihak polis bertindak sedemikan rupa. 
Ada dua cerita.

Pertama: Cerita Musa Hitam

Saya pernah menyimpan keratan akhbar Utusan atau BH yang mengaitkan Musa Hitam 
dengan kejadian Memali, tetapi sayangnya sudah hilang dari simpanan. Dikatakan 
orang bahawa Musa Hitamlah yang bertanggungjawab mencetuskan tragedi itu untuk 
menjatuhkan Mahathir. Menurut ceritanya, kalau orang Kedah sudah bencikan 
Mahathir kerana isu Memali, maka Mahathir akan jatuh di Kedah, dan secara 
otomatik kedudukannya di Pusat juga tergugat, maka mudahlah Musa Hitam take 
over.

Theori ini agak popular di Kedah pada masa itu, terutamanya di kalangan 
orang-orang UMNO yang bersimpati dengan mangsa Memali. Dua tiga minggu selepas 
kejadian, seorang sahabat memberitahu saya, katanya Polis Hutan yang diarah 
ambush Memali tiba di Baling dalam kegelapan pagi. Mereka diberi arahan untuk 
ambush 'Bandit' [Komunis]. Baling pada ketika itu memang terkenal sebagai 
tempat komunis bertandang. Ada orang kampung yang terkenc*ng terserempak 
komunis ketika sedang menoreh. Kisah komunis menyerang hendap trak2 askar di 
lereng bukit di Ulu Lenggong Baling pernah menjadi berita utama sekitar awal 
80an.

Pasukan Polis hutan pun bersedia untuk menyerang, peliknya bila hari sudah 
agak siang, kedengaran bunyi ayam kokok dan bunyi orang bang; baru mereka 
perasan bahawa itu sebenarnya kawasan kampung, bukan kem Bandit. Lalu, mereka 
pun menghubungi Kuala Lumpur meminta kepastian, tapi diberi tahu "Ikut 
Arahan!".

Dan, kata sahabat itu lagi, "Arahan itu datangnya dari Musa Hitam".

Wallah hu aklam.

[Saya sendiri tak pasti cerita ini, tetapi kerana itulah yang dibualkan orang 
pada ketika itu, maka saya tuliskan di sini, percaya jangan, cuma ambillah 
cerita ini sebagai pengajaran].

ENTAH BETUL ENTAH TIDAK, ENTAH-ENTAH INILAH THEORY YG DICIPTAKAN OLEH DR 
MAHATHIR UNTUK MENJATUHKAN DATUK MUSA HITAM KETIKA ITU!

(bersambung)


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Ru Antara <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke