*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Petikan dari Utusan online - 28/2/2002 
PUM jawab Chandra Muzaffar
Oleh Abdul Ghani Shamsuddin
Kami merujuk kepada kedua-dua bahagian artikel Dr. Chandra Muzaffar bertajuk
Ulama, Dominasi dan Perubahan (Utusan Malaysia 20 Februari 2002) dan
Dominasi Ulama Terhadap Agama (Utusan Malaysia 21 Februari 2002) 
Chandra menuduh kami menolak mentah-mentah cadangan daripada beberapa
individu dan kumpulan untuk mengadakan dialog dengan para penulis yang
dirujuk dalam memorandum kami kepada Majlis Raja-raja. 
Dalam membuat tuduhan tersebut, beliau jelas gagal memahami alasan dan
objektif kami menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja. 
Objektif utama kami adalah kami menuntut agar Majlis Agama Islam Negeri
mengambil tindakan secara adil ke atas mereka yang melanggar undang-undang
sedia ada yang melarang penghinaan ke atas Islam, Nabi dan ulama, termasuk
mufti yang dilantik oleh Raja-Raja. 
Laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa agama terhadap Akbar Ali dan
Farish A. Noor yang telah melanggar undang-undang tetapi tiada tindakan
diambil ke atas mereka. 
Kami sendiri telah membuat laporan terhadap Akbar Ali kepada Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS) pada 26 Disember 2000, iaitu hampir 14 bulan yang
lalu, tetapi hingga kini kami belum mendengar sebarang maklum balas daripada
mereka atau sebarang tindakan diambil. 
Walaupun selepas laporan dibuat, beliau (Akbar Ali) tidak berhenti daripada
terus cuba memperlekehkan ulama. 
Beliau telah menulis dalam kolum di akhbar tempatan menghina para mufti yang
dilantik oleh Raja-Raja, serta ulama. 
Beliau berkata: Mufties are not thinking straight (mereka tidak berfikiran
betul) dan mereka make fatwa which most of the people, including other ulama
and mufti, do not follow (membuat fatwa yang mana kebanyakan orang, termasuk
ulama dan mufti lain, tidak ikuti), many ulama themselves are purveyors of
pagan practices (ramai daripada ulama sendiri punca kepada amalan jahiliah)
dan the ulama themselves are incapable of intelligent thought (ulama sendiri
tidak mampu berfikir dengan cerdik) [The Sun, 21 Februari, 2002] 
Dalam merujuk perkara di atas kepada Majlis Raja-raja, kami mengharapkan
satu tindakan akan diambil untuk memastikan Jabatan Agama Islam
negeri-negeri, yang malangnya berada di bawah kawalan para politikus,
menjalankan fungsi dan tanggungjawab mereka secara jujur dan cekap tanpa
tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. 
Setiap laporan hendaklah disiasat dan tindakan diambil selaras dengan
peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan dan status individu yang
berkenaan. 
Tentunya Chandra akan bersetuju bahawa tidak harus ada dwistandard dalam
penguatkuasaan undang-undang. 
Kami terkejut dengan keputusan Chandra bahawa beliau beranggapan para
penulis tidak bersalah menghina Islam. Daripada terus membuat penilaian
sendiri, beliau seharusnya meminta pihak yang berkenaan untuk menyiasat
laporan tersebut dan menyerahkan kepada pihak hakim bagi menilainya. 
Mungkin bagi beliau, tuduhan-tuduhan seperti melabel Rasulullah sebagai
pemimpin suku dan ketaatan yang diberikan kepada Baginda oleh para pemuka
Islam (termasuk para sahabat) adalah ketaatan kesukuan dan bukannya ketaatan
agama; menganggap Islam hanyalah suatu wacana yang terbuka, boleh dicabar
dan plastik; mendakwa bahawa al-Quran tidak mengehadkan bilangan isteri yang
boleh dikahwini kepada empat semuanya bukan merupakan satu kesalahan. 
Bagaimanapun, bagi majoriti orang Islam, termasuk kami, tidak berfikir
sedemikian. 
Chandra harus menyedari bahawa isu-isu yang ditimbulkan dalam aduan tersebut
bukan suatu pertikaian peribadi tetapi melibatkan integriti agama Islam dan
peribadi serta status Rasulullah s.a.w. 
Oleh itu beliau ataupun PUM tidak berhak untuk membuat keputusan terhadap
isu yang ditimbulkan dalam memorandum kami tersebut. 
Forum yang paling sesuai untuk membuat penilaian sedemikian ialah Mahkamah
Syariah. 
Kita tidak seharusnya mengambil alih fungsinya dengan mengadakan dialog
terhadap perkara yang termasuk di dalam bidang kuasanya. 
Cadangan untuk mengadakan dialog tidak membawa sebarang makna kecuali
sebagai umpan untuk mengalihkan perhatian umum daripada desakan kami agar
perkara dalam aduan kami dilayan mengikut lunas undang-undang. 
Objektif kedua kami adalah untuk mencadangkan kepada Majlis Raja-Raja untuk
menubuhkan suatu forum bagi membincangkan isu-isu berkaitan Islam yang
melibatkan pentafsiran al-Quran dan Sunah. 
Kami tidak percaya kepada penutupan perbincangan, namun kami sebaliknya juga
yakin bahawa akhbar bukanlah media terbaik bagi tujuan tersebut. 
Sesiapa yang tidak bersetuju dengan sebarang pentafsiran semasa al-Quran dan
sunah sepatutnya mendapat peluang untuk membentangkan pandangan beliau di
hadapan sebuah panel pakar, yang terdiri daripada ulama dan pakar daripada
pelbagai bidang untuk dibincang dan dirumuskan. 
Melalui mekanisme sedemikian, kita akan mampu mencapai kata sepakat dalam
isu penting yang berkaitan dengan masyarakat Islam tanpa menimbulkan
sebarang kekeliruan kepada masyarakat. 
Sebagai contohnya, Chandra telah memperuntukkan sebahagian yang agak besar
dalam artikel beliau untuk membuktikan bahawa majoriti ulama tersilap dalam
pentafsiran ayat-ayat Quran berkaitan hukuman terhadap jenayah murtad serta
poligami. 
Beliau berhak untuk tidak bersetuju dengan mereka dan kami menghormati
beliau untuk berbuat demikian. Tetapi akhbar bukanlah forum yang sesuai
untuk perbincangan dan permuafakatan tentang isu sedemikian yang memerlukan
kefahaman mendalam mengenai undang-undang Islam serta fikah, dan yang paling
utama, sifat tawaduk pada peribadi mereka yang terlibat dalam perbahasan
berkaitan. 
Chandra menuduh ulama konservatif yang menerima pandangan konvensional yang
dibawa oleh para ulama terdahulu bahawa pintu ijtihad (penilaian bebas) yang
dipandu oleh al-Quran dan hadis telah tertutup pada abad ke sembilan. 
Ini adalah hujah yang selalu digunakan oleh para modenis untuk menyerang
para ulama dengan menuduh mereka sebagai golongan yang jumud dan
berpandangan beku. 
Kami tidak bersetuju bahawa pintu ijtihad telah tertutup. Terdapat begitu
ramai ulama yang mendalam ilmu mereka, ulung dan warak seperti Yusuf
al-Qaradawi, Bin Bazz, Muhammad al-Ghazali dan lain-lain yang melakukan
ijtihad bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi umat kesan
daripada proses modenisasi yang ditunjangi Barat. 
Pandangan kami yang bertentangan dengan pendapat Chandra ialah bukan semua
orang, walaupun ada yang mempunyai pengetahuan mengenai al-Quran, Sunah,
sejarah Islam, dan lainnya mempunyai kemampuan untuk berijtihad. 
Dr M. H. Hashim Kamali dalam bukunya Principles of Islamic Jurisprudence,
salah satu autoriti yang menjadi sandaran Chandra, dalam perundangan Islam,
seorang mujtahid, iaitu orang yang mampu melaksanakan ijtihad, hendaklah
seorang yang faqih. 
Pengertian ijtihad tidak termasuk usaha peribadi oleh orang biasa dalam
merumuskan ahkam (hukum), iaitu undang-undang, nilai-nilai dan
ordinan-ordinan. Individu berkenaan perlu mempunyai sifat seorang yang lurus
dan benar serta bersih daripada melakukan dosa dan masyarakat mempercayai
penilaiannya. 
Keikhlasannya juga tidak dipersoalkan dan tidak dicacat oleh kepentingan
diri. Ijtihad ialah suatu Amanah Yang Suci, oleh kerana itu sesiapa yang
tercemar dengan kesalahan dan perbuatan maksiat adalah tidak layak untuk
menjadi mujtahid. 
Ketika menyeru supaya ada penafsiran yang baru terhadap al-Quran dan
al-Sunah, Chandra menyandarkan pendapatnya kepada antara lain seorang
pemimpin nasionalis India, Maulana Abdul Kalam Azad. 
Beliau berhujah dengan kata-kata Azad, mesej Islam adalah begitu universal
sehingga pembahagian manusia kepada kasta, kelompok dan kepercayaan yang
mana sering kali dipersetujui ulama konvensional adalah bertentangan dengan
keimanan. Apakah yang dimaksudkan oleh Chandra dengan pembahagian manusia
kepada kasta, kelompok dan kepercayaan? 
Beliau tidak menjelaskannya. 
Ulama tidak pernah membahagikan manusia kepada kasta. 
Pendapat sedemikian merupakan suatu pembohongan. 
Terdapat pembahagian manusia berdasarkan kepercayaan mengikut apa yang
ditetapkan dalam al-Quran. 
Al-Quran telah membahagikan manusia kepada mereka yang beriman dan yang
tidak beriman. Kepada yang beriman al-Quran telah menjanjikan syurga dan
kepada yang tidak beriman akan diseksa di neraka. 
Oleh itu, apakah asas Chandra dan Azad untuk mengatakan pembahagian manusia
berdasarkan kepercayaan adalah bertentangan dengan Islam? 
Orang Islam yakin bahawa Islam yang berteraskan doktrin tauhid, iaitu
percaya tentang keesaan Allah, adalah satu-satunya agama sebenar. 
Kita tidak menerima bahawa semua agama menyeru kepada kebenaran yang sama. 
Doktrin tauhid Islam tidak boleh disamakan dengan Doktrin trinity Kristian
atau doktrin dewa dan dewi serta karma dalam Hindu. 
Azad, mungkin telah digerakkan oleh kepentingan politik beliau apabila
menyeru kepada kesatuan semua agama. 
Beliau amat mengambil berat mengenai konflik, ketegangan, permusuhan,
kebencian dan keganasan antara Hindu dan Muslim di India dan cuba untuk
mencipta suatu asas teologi bagi mempersatukan mereka. 
Walaupun niat beliau baik, namun salah tafsiran beliau mengenai mesej
al-Quran boleh membawa kepada implikasi akidah yang amat serius. 
Kes Chandra dan Azad mengukuhkan lagi alasan kami untuk diadakan satu forum
berautoriti bagi membincangkan dan menyelesaikan isu yang boleh membawa
kepada kontroversi serta perpecahan di kalangan umat Islam. 
Terdapat ramai orang Islam liberal, progresif, dan moden yang berniat baik
dan mengetepikan konflik yang berpanjangan dan berkekalan antara yang hak
dan yang batil. 
Mereka cuba memberi penerangan mengenai perbezaan yang terdapat dalam mesej
al-Quran dan kepercayaan agama lain. 
Dengan berbuat demikian mereka telah merugikan Islam dan menyebabkan
timbulnya kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam. 
Kita seharusnya jujur dengan rakan-rakan bukan Islam kita dan tidak wajar
untuk membuat mereka mempercayai seolah-olah tidak ada perbezaan di antara
Islam dan kepercayaan lain. 
Perbezaan bukanlah bermakna kita perlu memaksa mereka menerima Islam,
mendiskriminasi atau mengisytiharkan perang ke atas mereka. 
Al-Quran telah mewajibkan orang-orang Islam berdakwah tentang kebenaran
tetapi ia melarang kita daripada memaksa mereka menerima agama kita. 
Bagi mereka yang menolak kebenaran ini, al-Quran mengajar orang-orang Islam
untuk berkata, Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku. (Surah al-Kafirun:
6) 
- Abdul Ghani Shamsuddin ialah Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM)


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Mohd Nor, Muhamad Sharman" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke