FWD:
KENYATAAN MEDIA (1 JULAI
2002)
TEMPOH
PERALIHAN : JAWATAN PM JADI 'POST DATED CHEQUE' Dewan
Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa terkejut
dengan keputusan Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi Umno untuk mewujudkan
tempoh peralihan kuasa selama 15 bulan sebelum Dr Mahathir Mohammad melepaskan
jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. DPP Pusat melihat tempoh
yang lama bukan sahaja mengundang ketidakstabilan politik, tetapi juga ekonomi
dan sosial terutama dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih dan kontrak
sosial orang Melayu sedang dilonggarkan oleh Kerajaan BN. DPP Pusat juga
merasakan bahawa keputusan yang dibuat ini adalah sangat aneh dan tidak pernah
dilakukan oleh mana-mana parti politik terutama parti pemerintah kerana ia boleh
memberikan dampak yang buruk kepada rakyat.
DPP Pusat
melihat keputusan yang dicapai oleh Umno untuk menyelesaikan masalah perletakan
jawatan presiden Umno dan perdana menteri sebagai suatu yang sangat aneh.
Sebagai sebuah parti yang memerintah, keputusan Umno seolah-olah menggambarkan
bahawa Umno sedang mengalami kepupusan kepemimpinan dan ahli-ahli Umno tidak
yakin dengan kemampuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin negara
dan Umno. Tempoh peralihan sehingga Oktober 2003 adalah terlalu lama dan tidak
pernah dibuat oleh mana-mana parti atau individu dengan meletakkan jawatan yang
akan berkuat kuasa 15 bulan akan datang.
Ini secara tidak langsung menggambarkan ada masalah dalaman yang kronik
dalam kepemimpinan Umno. Sejarah telah
menunjukkan sebelum ini bahawa proses pertukaran perdana menteri tidak
memerlukan tempoh peralihan kuasa seperti yang cuba diterapkan oleh Umno. Bahkan
perlantikan Tun Razak Hussien dan Dr Mahathir sendiri melalui proses biasa tanpa
perlu menetapkan satu tarikh tertentu. DPP Pusat melihat peralihan kuasa untuk
Abdullah Badawi seumpama pemberian 'post
dated cheque' yang hanya boleh ditunaikan pada Oktober tahun hadapan.
DPP Pusat tidak menolak kemungkinan dalam tempoh 15 bulan ini mungkin cek
tersebut akan tercicir, terkoyak ataupun dicuri oleh orang lain sebelum sempat
ia ditunaikan. Lebih dahsyat lagi jika cek
tersebut adalah cek tendang! Apa yang lebih penting sebenarnya,
Majlis Tertinggi Umno tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan perlantikan
seseorang perdana menteri kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Yang DiPertuan
Agong. Dan tidak mustahil pada Oktober 2003 kerajaan pusat sudah tidak lagi
dikuasai oleh BN!
DPP Pusat juga
berpandangan bahawa keputusan Umno untuk mewujudkan tempoh peralihan begitu lama
sehingga 16 bulan akan memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi negara. Dr
Mahathir yang juga Menteri Kewangan sebelum ini telah gagal memulihkan ekonomi
negara setelah kegawatan pada 1997, dan perletakkan jawatan ini secara tidak
langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi. Keyakinan pelabur yang
rendah akibat ketidakstabilan politik akan memberi dampak kepada keseluruhan
ekonomi negara. Bahkan sehingga hari ini Bursa Saham Kuala Lumpur mulai
menunjukkan tanda-tanda negatif akibat hilangnya keyakinan para pelabur terhadap
masa depan politik negara. DPP Pusat juga
sangat kesal dengan sikap negatif ahli-ahli Umno yang begitu fanatik terhadap Dr
Mahathir sehingga membayangkan hanya Mahathir sahaja yang mampu mentadbir negara
ini. Selama ini Dr Mahathir mengherdik orang-orang Melayu kerana mentaliti
tongkat sehingga memaksa Umno/BN menghapuskan hak-hak istimewa orang
Melayu. Tetapi hari ini terbukti bahawa
mentaliti tongkat ini sangat menebal dalam Umno sehingga mereka tidak yakin
untuk berdiri tanpa Dr Mahathir. Inilah kejayaan yang dicapai oleh Dr
Mahathir dalam mewujudkan suasana fanatik kepada ahli Umno sehingga mereka tidak
dapat menerima Umno tanpa Dr Mahathir. DPP Pusat
melihat bahawa punca sebenar keputusan aneh ini dicapai ialah kerana Umno sedang
menghadapi krisis kepemimpinan yang sangat tenat. Perebutan kuasa dan percaturan
politik kotor yang menjadi amalan biasa pemimpin Umno kini mengancam
kepemimpinan Umno sehingga mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah
pengganti Dr Mahathir. Walaupun Abdullah Badawi diwar-warkan sebagai pengganti
Dr Mahathir, tetapi klik-klik pemimpin tertinggi Umno sudah tentu mempunyai
calon masing-masing memaksa mereka untuk mewujudkan satu lompang selama 16 bulan
untuk mencari pemimpin sebenar Umno. Mungkin juga Dr Mahathir ingin menggunakan
ruang 16 bulan ini untuk melihat prestasi pemimpin-pemimpin Umno sebelum beliau
secara rasmi melepaskan jawatan. Walau apapun, janganlah kerana percaturan
politik Umno, bebanan yang berat terpaksa ditanggung oleh
rakyat. HAJI
MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan
Pemuda PAS Pusat |
Title: KENYATAAN MEDIA (26 JUN 2002)