SALAH MELAYU ATAU SALAH PEMIMPIN MELAYU?
(Nik Abdul Aziz Nik Mat )
Menteri Besar Kelantan.
Saya ingat,saya perlu ulas sedikit keluhan Perdana Menteri . Beliau berkata
, beliau sudah tidak tahu nak buat apa dengan orang Melayu . Saya nak campur
sikitlah kerana saya pun orang Melayu .
Orang Melayu ni , dia ada kiblat .Dia ada Quran dan Hadith . Islam bertapak
di Tanah Melayu mengikut penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada tahun
1303 . Pengislaman Parameswara di tahun 1414 di Melaka adalah satu lagi
titik tolak . Kita juga ada mendengar kisah seorang sultan di alam Melayu
yang bermimpi disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini semua ada tercatat di
dalam sejarah dan kisah-kisah riwayat orang Melayu . Ada teori kedatangan
Islam ke alam Melayu . Jangan dibuat mudah .Orang Melayu ada sejarahnya .
Ada kiblatnya . Ada pancangnya. Jangan dipecat sesuka hati . Huru-hara
jadinya .
Orang Melayu ini telah menjadi Islam sejak kira-kira 600 tahun yang lalu .
Ini menunjukkan mereka telah lama berpegang,berkeyakinan dan beriman dengan
Al-Quran dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w . Sepatutnya , jika adalah serba
sedikit lagi kepercayaan khurafat, syirik dan tahyul , kerajaan yang
memerintah di sepanjang tempoh itulah yang bertanggungjawab mengikisnya .
Saya perhatikan ini juga telah turut berlaku . Bagaimanapun , dengan
kemasukan penjajah Inggeris , terbantut teruslah segala usaha ini .Yang ada
ialah urusan pemerintahan di monopoli oleh Inggeris . Islam tinggal setakat
amalan mengucap , sembahyang , puasa , zakat , haji dan nikah kahwin sahaja
.
Datang kemerdekaan , UMNO terus menyambung cara sekular ini . Agama suku ,
politik suku . Ini yang kita tubuhkan PAS . Kita letak semula asas kiblat
orang Melayu supaya bergerak kembali kepada paksi Al-Quran dan Sunnah . Oleh
kerana benda ini betul , orang Islam mula kembali . Ini kerana dari sejak
turun-temurun , mereka memang mempunyai asas beragama . Mereka mudah faham .
Dengan sedikit dakwah,tarbiyyah dan pendedahan , lama-kelamaan orang Melayu
mulai kembali kepada kerangka Islam yang sebenar dan yang telah
sebahagiannya menjadi amalan nenek – moyang mereka .
Sementara itu , UMNO masih ditakuk lama . Dia masih sibuk menjaja idea
penjajah . Politik suku , agama suku . Yang cuba dia bawa ke tengah hanyalah
untuk membesarkan Melayu dalam semangat kebangsaan yang sempit . Sudahlah
begitu , dia melawan Islam pulaKalau perlu ,tinggalkan Islam pun tinggallah
asalkan Melayu boleh cemerlang .Dah Melayu sekarang ini sudah cemerlang
setelah 45 tahun kita merdeka ?
Mari Perdana Menteri sekarang pun inilah juga yang menjadi tekanan . Dia
malah mahu lebih cepat bangunkan orang Melayu . Kalau patut ubah suai Islam
, ubah suailah . Kalau patut tinggal sebahagian dari Islam, tinggalkan lah.
Kalau patut tafsir semula Quran,tafsir semulalah . Janji , Melayu maju dan
menjadi bangsa yang maju di dunia . Akhirat itu masing-masinglah . Inilah
cerita sekular UMNO yang jelas bercanggah dengan Islam .
Mulai dari situlah , disepanjang 21 tahun kita lihat UMNO tidak pernah tetap
pendiriannya . Dia mencari formula dan kaedah mengikut petunjuk hawa nafsu
semata –mata . Sebab itu , setelah 21 tahun dibawah pemerintahan UMNO ,
Perdana Menteri mengaku dah semalam dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh
20 Jun 2002 bahawa beliau sudah bingung dan habis ikhtiar . Sejak tahun 1991
di Perhimpunan Agung UMNO , beliau telah bercakap tentang melahirkan Melayu
baru.Mengikut Dr Mahathir , “ Melayu baru itu mesti mempunyai budaya yang
sesuai dengan aliran zaman , yang sanggup menghadapi segala cabaran , yang
dapat bersaing tanpa bantuan , yang terpelajar dan berilmu , canggih , jujur
, berdisiplin , amanah dan cekap “. Semalam di Perhimpunan Agung pada 20 Jun
2002 , dia masih mengulangi hal yang sama . Cuba perhatikan , tidak disebut
langsung pun soal melahirkan orang Melayu yang bertaqwa dan beramal soleh
sebagai agenda pembentukan ummah. Pada tahun lepas , beliau menangis dan
kesal dangan Melayu yang lupa . Melayu yang bertaqwa di mana? .
Jadi , tidak mustahillah tidak lahirnya Melayu yang baru itu . Baru yang
sebenar ialah apabila diperbaharui dengan usaha tajdid , usaha untuk kembali
kepada nilai-nilai asal kejadian insan yang telah dimusnahkan oleh penjajah
. Dengan kembali kepada Islam sahajalah akan lahirnya pembaharuan dalam jiwa
dan cara hidup orang Melayu . Ini tidak. Dia seru benda lain dan gunakan
kaedah yang lain . Kaedah logik akal yang Islam pun tidak, Melayu pun bukan
. Oleh sebab itu sekarang dia masih mengeluh dan mengaku telah gagal untuk
mengubah orang Melayu . Ini pengakuan seorang Perdana Menteri . Baru semalam
. Gagal bermakna , gagallah .Apalagi ! Apa tak gagalnya apabila semua bukti
menunjukkan begitu . Penagih dadah terbesar negara adalah orang Melayu .
Golongan termiskin rata-ratanya orang Melayu . Peratus yang rasuah dan pecah
amanah tinggi di kalangan orang Melayu . Tidak kurang juga dengan skandal
penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu . Mereka yang
ketinggalan dalam pelajaran adalah anak Melayu . Penguasaan di bidang
teknologi dan perniagaan menampakkan kekurangan orang Melayu . Peratus
kes-kes pecah rumah , lepak , vandalisme , sumbang mahram , rogol , judi ,
penghidu gam ,pengambilan pil-pil khayal , GRO , penghibur di nite club
termasuk pelbagai jenayah kolar putih rata-ratanya melibatkan anak Melayu .
Ini kegagalan UMNO . Tidak ada kena-mengena dengan PAS .Yang tidak berubah
adalah orang UMNO . Yang kedekut dan pemalas adalah orang UMNO .Yang
tamakkan kuasa adalah orang UMNO .Yang buat salah tetapi dilindungi dan
tidak mengaku salah ialah orang UMNO . Yang jual baja subsidi dan
lesen-lesen kontrak ialah orang UMNO .Semua mahu cepat kaya macam Pak Man
Telo dalam mengaut pengaruh .Yang tangkap orang tanpa bukti dan sumbat lokap
ISA ialah kerja UMNO . Yang hilang duit dalam Tabung Haji , Baitulmal
Selangor ,AIM , PPRT , kerugian MAS dan kerugian PERWAJA ada kaitan dengan
UMNO.Hatta , nak buang kuota Melayu dari tangan orang Melayu juga kerja
pemimpin UMNO .Bagaimana orang Melayu nak jadikan pemimpin UMNO sebagai
contoh . Bersih,cekap dan amanah ; konon ! Mana?
Pemimpin UMNO lah juga yang putuskan nak haramkan penggunaan perkataan Islam
. Pemimpin UMNO jugalah yang menyuruh kitab suci Al-Quran ditafsirkan semula
. Pemimpin UMNO jugalah yang menghina janggut Nabi . Pemimpin UMNO lah juga
yang mengatakan “ kalau nak makan sup tangan , silalah ke Kelantan .”
Akhir-akhir ini pula orang yang pakai kopiah sudah mula dicemuh . Pemimpin
UMNO lah juga yang kata bermacam-macam lagi mengenai hukum Islam.Semuanya
seakan-akan menyemai benih-benih penolakkan kepada semangat taqwa dan
cintakan syariat Islam . Macamana orang Melayu mahu hormat . Ini yang mereka
mencari PAS sebagai alternatif . Ini yang hampir 70 % pengundi Melayu
berpihak kepada BA di tahun 1999 . Jangan terkejut jika meningkat lagi
sokongan kepada BA di dalam pilihanraya akan datang . Orang Melayu
sebenarnya sudah naik muak dan bingung . Tak bingung macamana . Sekali
disuruh orang Melayu berjimat cermat sedangkan pemimpin membuat istana dan
membeli jet peribadi bernilai beratus juta .Selamba saja . Pemimpin nasihat
orang Melayu simpan duit dalam Tabung Haji , tetapi rupanya masih tidak
selamat . Rakyat Melayu diingatkan jangan membazir , tetapi pemimpin Melayu
sibuk membazir dalam projek-projek mega untuk memperkayakan dua tiga kerat
ahli korporat proksi pemimpin UMNO . Bila mereka rugi , duit rakyat yang di
korbankan untuk membuat “ bail-out”.Kesian orang Melayu ! Memang gawat dan
memang membingungkan .
Sementara ini semua berlaku , orang Melayu dalam PAS dan mereka yang
berkecenderungan agama terus berubah . Dari malas menjadi rajin. Dari
kedekut menjadi pemurah . Dari mendedah aurat kepada menutup aurat . Dari
mengamalkan Islam setakat sembahyang puasa kepada Islam dalam bentuk yang
komprehensif untuk memerintah negeri dan negara demi memartabatkan agama
Islam . Kebahagiaan yang dituju ialah dunia dan akhirat . Mereka terus tetap
memilih untuk berada di bawah PAS di Kelantan dan Terengganu walaupun mereka
faham PAS adalah parti yang miskin . Orang PAS tetap berubah bersama
pemimpin mereka yang sentiasa menganjur dan mempelopori perubahan . Mereka
Membangun Bersama Islam. Mereka tidak bingung kerana pemimpin mereka tidak
bingung .
Bingung –bingung ini apabila pemimpin sendiri tidak jelas nak bawa rakyat ke
mana . Dia tidak faham destinasi . Orang Melayu yang menyokong dan menaiki
bas ekspres UMNO sebagai penumpang naik bingung dan keliru apabila pemandu
bas sekejap-sekejap berpatah balik , sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri .
Sekali go ahead , dan sekali gostan . Misalnya dulu nak daulat penggunaan
Bahasa Melayu . Apabila hampir tercapai , berpatah balik pula nak guna
Bahasa Inggeris . Dulu isytihar penggunaan bahasa baku . Punya sibuklah
penguatkuasaan sehingga bulat mata – mata pengacara TV3sebut perkataan
baku.Semua sekolah di seluruh Malaysia di paksa menggunakan bahasa baku .
Kini bila Anwar Ibrahim di buang , bahasa baku pun turut dikuburkan . Dulu
elok-elok ada tulisan jawi , Menteri Pelajaran UMNO pada ketika itu juga
yang buang . Sekarang mula nak galakkan pula orang Melayu belajar tulisan
jawi . Dulu bukan main berjuang untuk adakan fasal Hak Keistimewaan Orang
Melayu dalam Perlembagaan . Kini bila hak itu sudah termaktub dan tidak
boleh dibangkit-bangkitkan lagi , pemimpin UMNO jugalah yang nak cungkil dan
cuba-cuba hapuskan pula . Dulu anak Melayu dapat biasiswa kini mana pergi
biasiswa . Dulu kata Islam tidak boleh laksana kerana masyarakat majmuk ,
sekarang negara diisytiharkan negara Islam walaupun masyarakat masih majmuk
. Boleh Islam tetapi tidak boleh pinda Perlembagaan.Pulak ! Walaupun negara
sudah Islam , tidak boleh laksana undang-undang Islam.Pulak! Dulu cabar
Kelantan laksana hudud . Sekarang sekat . Pulak!Begitu juga di Terengganu .
Dulu ITM dan MRSM adalah hak mutlak orang Melayu . Dulu ada tanah simpanan
Melayu . Tak lama yang tinggal hanyalah Keretapi Tanah Melayu . Pendek kata
terlalu banyak dilemma . Tak satu pun yang tetap . Bila di soal , dia kata
demokratiklah , pragmatiklah , Islamiklah , dinamiklah – semuanya penuh
dengan dolak-dalik .Sudahnya orang Melayu pula yang nak di salahkan . Semua
dosa dihumban untuk dipikul oleh orang Melayu . Pemimpin UMNO Melayu lepas
tangan . Dilepaskan batuk dalam bentuk pertanyaan ; “salah beliau atau salah
orang Melayu ?” (U.M 20 Jun 2002 )
Patutlah . Sudah 21 tahun memandu tempat yang dituju tak sampai – sampai
.Sudahnya dibumi tak jejak ke langit tak sampai . Allah pun tak sembah ,
berhala pun tak puja . Jika dilaut,nakhoda begini dipanggil orang sebagai
tidak tahu meletak sauh dan tidak tahu pun dasar laut tohor atau dalam.Jika
bahtera pun dia sudah tidak tahu ke mana nak pergi. Arah kompas dan pedoman
pelayaran di dunia untuk ke Akhirat pun dia tidak faham .Munasabahlah
penumpang menjadi bingung sebingung-bingungnya. Jangan terkejut jika 21
tahun kemudian orang yang sama akan mengeluh yang dia kata dia sudah tidak
tahu apalagi yang nak dibuat .
Dalam keadaan inilah jawapan boleh dicari samada orang Melayu yang patut
disalahkan atau para pemimpin Melayu yang mungkin sudah tidak relevan. Siapa
agaknya yang bersalah ?
Pejabat Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 11 Rabiulakhir 1423
22 Jun 2002



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
New! SBC Yahoo! Dial - 1st Month Free & unlimited access

Reply via email to