Bismillahirrahmanirrahim...
   
  Baca Sampai Habis dan Faham.
  Link Asal => 
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=514&Itemid=72
   
            Awasi unsur syirik jika guna kayu koka
( Ulasan saya di bawah sekali ) 
  
 Oleh Dato' Dr Haron Din 

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan 
Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. 
mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka. 

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada 
yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin.

Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan 
penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau 
as-Sunnah? 
  Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor 
  Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu 
tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah 
buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan 
kayu koka seperti yang saudara sebutkan. 
   
  Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan 
sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. 
   
  Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu 
koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah 
orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka. 
   
  Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari 
profesyen lain daripada menjual kayu koka. 
   
  Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin 
yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu 
sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras. 
   
  Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat 
pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat 
daripada kayu betul. 
   
  Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti 
kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau 
kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam. 
   
  Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam bersabdanya (mafhumnya); 
"Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan 
semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah 
syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih) 
   
  Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu 
cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau 
kebaikan daripadanya, boleh digunakan. 
   
  Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk 
perhiasan, adalah diharuskan. 
   
  Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen yang 
pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak 
orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya. 
   
  Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, 
murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, 
jelas berlaku syirik terhadap Allah. 
   
  Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah 
sahaja. 
   
  Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang 
sebenarnya. 
   
  Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan yang termasuk dalam 
jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa 
adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam 
salah satu bentuk rawatan penyakit. 
   
  Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. 
yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat. 
   
  Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus 
Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam 
al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan 
sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan. 
   
  Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan 
penyakit tertentu. 
   
  Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang 
yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya 
kepada orang lain. 
   
  Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya 
manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi 
untuk mendapat faedah kewangan. 
   
  Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi 
penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya. 
   
  Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika 
dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT. 
   
  Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-
  rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. 
membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang. 
   
  Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku 
melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan 
suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian." 
   
  Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang 
menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit." 
   
  KOMEN SAYA : 
  Kayu Kokka & Masalah Aqidah 
  Ramai bertanya kepada saya berkenaan keajaiban kayu kokka. Sebenarnya saya 
telah lama menyatakan berkenaan kayu kokka ini sejak dari Jordan, saya juga 
sempat bertemu dengan penjual utama kayu kokka semasa berada Jordan. Selepas 
perbincangan, penjual ini mengakui bahawa tiada sebarang hujjah yang boleh 
dipakai untuk mendakwa kesohihan dakwaan sejarah kayu ini. 
   
  Saya juga telah berusaha mencari apa jua hadith dari beratus buah kitab-kitab 
hadith berkenaan kayu ini, malangnya tiada satu pun hadith berkenaannya. 
   
  Saya juga sempat bertanya kepada Al-Marhum Syeikh Atiyyah Saqar ketika 
menziarahi beliau di rumahnya di Mesir pada tahun 2004. Beliau menyatakan 
sesiapa yang mempercayai kayu ini adalah orang-orang yang jahil. Itulah yang 
disebut oleh Syeikh Atiyyah.  
   
  Selain itu, saya juga sempat berbincang dengan Syeikh Prof. Dr Abd Malik 
As-Sa'di (Ulama Iraq yang menjadi pensyarah di Univ Mu'tah Jordan), beliau 
mengatakan pemakai cincin kokka, rantai, tasbih dan lain-lain dengan 
kepercayaan akan kehebatan ghaib kayu yang boleh mendatangkan kesan baik atau 
menolak keburukan, ia termasuk dalam kategori tangkal yang membawa hukum 
syirik. 
   
  Dari sudut hukum jual beli 
  Ringkasnya, penjual kayu ini juga kerap mewarwarkan 'kuasa ghaib' kayu ini, 
menurut hukum Shariah sebegini adalah haram tanpa syak lagi kerana telah 
berfunsgi seperti bomoh yang meramalkan hal ehwal ghaib. 
   
  Penjual kayu ini juga samada secara sedar atau tidak telah melakukan penipuan 
apabila menyebut kayu kokka sebagai kayu yang sama dengan Bahtera Nabi Nuh a.s 
( padahal tiada saiapa yang pernah menjumpai bahtera ini, sebarang dakwaan 
kosong tidaklah boleh dipakai) demi untuk meyakinkan pembeli akan kehebatannya, 
sedangkan tiada satu hadith yang menyebutnya dan kajian saintifik juga tiada 
yang boleh dipakai dalam hal ini. Apabila perkara tidak sabit kebenarannya ini 
dijaja bagi menjual kayu ini, ia akan tergolong dalam kategori pembohongan 
dalam jualan. Nabi SAW bersabda :- 
  Ertinya : Sesungguhnya peniaga-peniaga adalah mereka yang jahat-jahat, 
sahabat bertanya : Wahai Rasulullah SAW, bukankah Allah telah menghalalkan jual 
beli, Nabi menjawab : Bahkan, tetapi peniaga (yang fujjar atau jahat ) ini 
mereka kerap bersumpah (tentang kehebatan barangan yang dijual) dan mereka 
berdosa kerananya, mereka juga bila bercakap ( ketika promosi ) mereka akan 
sentiasa berbohong.  (Riwayat Al-Hakim, sohih isnadnya menurut syarat 
Al-Bukhari & Muslim  ; Al-Baihaqi) 
   
  Demikian juga halnya dengan majoriti penjual kayu ini di ketika mereka 
berkempen, ada yang akan mendakwa kononnya ia adalah kayu yang sama dengan 
tongkat Nabi Musa a.s serta boleh menghadang Jin dan Syaitan. Semuanya tidak 
berasas di dalam Islam. Bagi saya, kayu ini sebenarnya lebih banyak membawa 
keseronokan kepada Jin dan Syaitan kerana lebih mudah merosakkan aiqdah umat 
Islam dengan kewujudannya. 
   
  Selain itu, sebahagian pihak penjual menaikkan harga kayu ini hanya kerana 
kehebatan ghaib kayu ini. Jika harganya berdasarkan kualiti dan kecantikannya 
sebenar sahaja, tentu ia dibenarkan oleh Shariah. Bagaimanapun jika ia 
dinaikkan kerana kuasa ghaib dan khasiat yang tidak boleh dibuktikan oleh 
kajian sains, ia tidak dibenarkan oleh Shariah kerana gharar. 
   
  Kayu atau orang yang bermasalah? 
  Ada yang bertanya serta memberikan pandangan kepada saya bahawa yang salah 
adalah kepercayaan itu dan bukannya kayu itu pada fizikalnya. Benar, saya 
bersetuju dari satu sudut bahawa kayu itu sendiri sudah hukumnya adalah 
neutral, demikian juga hukum bagi kubur. Bagaimanapun yang menjadi masalah 
adalah pemuja kubur, sudah tentu kubur dan jenazah yang dikuburkan itu tidak 
salah, tetapi yang salah adalah pemuja. Demikian juga halnya kayu kokka. Dalam 
Islam, jika sesuatu yang neutral itu menjadi sebab utama kepada syirik, ia 
turut akan diharamkan sebagai sadd az-zara'i (menutup ruang kemungkinan berlaku 
syirik).  
   
  Justeru, hukum memakai dan membeli kayu ini dengan tujuan hiasan semata-mata, 
tanpa sebarang kepercayaan ghaib tentang kehebatannya adalah harus. 
Bagaimanapun, amat wajar dijauhi juga, kerana apabila sudah diwarwarkan tentang 
keajaibannya, walaupun seseorang memakainya hanya untuk kecantikan dan hiasan, 
berita keajaiban itu akan bermain di sempadan syirik dan Syaitan dengan mudah 
boleh melintaskan perasaan keajaiban itu ketika seseorang memakainya. 
   
  Islam menolak semua jenis tindakan yang bermain di sempadan syirik seperti 
menyimpan patung di dalam rumah, membina kubur dan dalam kawasan masjid dan 
banyak lagi (Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi) 
   
  Kempen   
  ANTARA DAKWAAN PENJUAL KOKKA adalah :- 
    
     Sekiranya anak-anak demam, hendaklah diberi minum dengan air suam. 
Insya-Allah suhu badan menurun. 
  
     Dapat menghalau jin dan syaitan serta terelak daripada dirasuk dengan 
menggosok atau disapu pada dahi. 
  
     Jika disapu pada orang yang dirasuk akan meraung kepanasan dia. (Sapu 
sedikit sudah cukup). 
  
     Orang tidak akan mengkhianati atau menyusahkan kita, jika kita memakai 
minyak ini. Insya-Allah. 
  
     Jika minyak ini sentiasa melekat di badan kita, Insya-Allah orang akan 
menyayangi kita. 

  Sumber : http://www.freewebs.com/adeqanuar/kayukokka.htm  
   
  Bayangkan begitu karut dakwaan penjual kayu kokka ini, sehingga minyak kayu 
kokka dianggap boleh menjadi minyak pengasih. Sedangkan hukum minyak pengasih 
adalah syirik dalam islam sebagai disebut oleh nabi SAW ( Al-Halal Wal Haram 
Fil Islam, Al-Qaradhawi ). 
   
  Tangkal atau Tamimah yang digantung pada badan atau pada binatang atau dalam 
rumah terkadang dibuat dari tulang, taring binatang buas, tulisan tertentu dan 
lain-lain. Terkadang tamimah dibuat dari ayat Al-Quran. Para ulama' berbeza 
pendapat tentang tamimah dari Al-Quran. Pandangan yang lebih kuat juga melarang 
berbuat demikian sebab Nabi Muhammad s.a.w. melarang tamimah secara umum 
termasuk dari ayat Al-Quran. 
   
  Abdullah Bin Mas'ud berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : 
  Ertinya : Sesungguhnya jampi yang mengandungi syirik, tangkal dan pengasih 
adalah syirik.( Riwayat Ahmad dan Abu Daud - Menurut Syeikh Albani : Hasan ) 
  Daripada ‘Uqbah Bin ‘Aamir (marfu') : 
  Ertinya : Barangsiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya syirik-lah 
dia. 
   
  Antara bentuk tangkal cara baru umat Islam di Malaysia ketika ini adalah 
seperti meletakkan pisau atau gunting di bawah tilam bayi kononnya agar tidak 
diganggu, memakai cincin dan rantai atau tasbih kayu kokka dengan kepercayaan 
bahawa ia dapat mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan, meminum air 
za'faran tertentu dengan yakin ia membawa kebaikan. Semua ini adalah bentuk 
tangkal dan boleh membawa kepada syirik. 
  Moga Alah menyelamatkan kita dari syirik dan khurafat 
  
  
  
   
  Sekian, 
  Zaharuddin Abd Rahman 
  http://www.zaharuddin.net/ 
  15 Jun 2007 


       
---------------------------------
Don't let your dream ride pass you by.    Make it a reality with Yahoo! Autos. 

Kirim email ke