---------------------------------------------------------- Visit Indonesia Daily News Online HomePage: http://www.indo-news.com/ and click banner our sponsor ---------------------------------------------------------- Ganas di Borneo: Bilangan yang mati capai 114 SINGKAWANG (Indonesia) -- Keganasan kaum terus melanda wilayah Indonesia di Borneo semalam, dengan angka kematian meningkat kepada 114 orang kata pihak tentera, sedang penduduk kaum asli yang bersenjatakan serampang dan parang merayau-rayau di sekitar wilayah itu mencari mangsa. Sehingga kelmarin, seramai 114 orang dilaporkan terbunuh dan 97 cedera, kata seorang pegawai di pusat penyelarasan pasukan bertindak tentera di kota Sambas. Wilayah Kalimantan Barat di kepulauan Borneo itu telah berubah menjadi satu kawasan yang menakutkan dengan laporan-laporan tentang pembunuhan dan kejadian orang memakan daging manusia yang telah mereka bunuh. Kumpulan-kumpulan penduduk Melayu dan kaum asli Dayak, dengan bersenjatakan lembing, parang dan senapang lantak, kelmarin dilihat bertindak berleluasa membakar rumah-rumah yang ditinggalkan penduduk kaum Madura yang telah melarikan diri. Sekitar 5,000 orang kaum Madura pula kini dikatakan terperangkap dalam sebuah kawasan hutan di Tebas, yang dikepung oleh penduduk-penduduk tempatan Melayu dan Dayak, lapor akhbar harian Media Indonesia. Penduduk-penduduk Madura itu menanti ketibaan tentera untuk mengiringi mereka keluar menuju ke kawasan-kawasan yang lebih selamat. Dalam menghadapi keadaan kekejaman itu, pihak tentera Indonesia telah melancarkan operasi besar-besaran memindahkan penduduk-penduduk kaum Madura -- yang merupakan pendatang dari kepulauan Madura yang padat dan miskin -- yang berpindah ke Kalimantan Barat. Kehadiran mereka itu mencetuskan ketegangan kerana orang-orang, terutama penduduk-penduduk Melayu dan kaum asli Dayak tempatan, tidak senang dengan kehadiran mereka. Ketegangan itu mencetuskan keganasan baru pada Isnin minggu lalu di Pemangkat, sebuah bandar pelabuhan yang sepi di daerah Sambas. Setakat ini sekitar 12,473 penduduk kaum Madura telah dipindahkan ke Pontianak, yang difikirkan lebih selamat. -- AFP. ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++ Didistribusikan tgl. 24 Mar 1999 jam 02:49:46 GMT+1 oleh: Indonesia Daily News Online <[EMAIL PROTECTED]> http://www.Indo-News.com/ ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
