Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan kerajaan Negeri Sembilan rugi dalam 
aktiviti pengambilan pasir hasil royalti pengambilan pasir yang berjumlah RM1.6 
juta bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009 terpaksa digunakan untuk pemulihan alam 
sekitar. Jadi siapa yang untuk lombong pasir di N.Sembilan ni? Bila SPRM nak 
siasat kerugian besar ni? Dan siapa untung besar? Berapa banyak wang digunakan 
untuk pulihkan alam sekitar ni? Dah pulih atau belum?

Apa kena mengena dengan dakwaan Menteri Besar N.Sembilan beri wang pada Kelab 
Sukan SPRM seperti yang ditulis oleh Chegubard di pautan berikut 
http://chegubard.blogspot.com/2009/06/desak-ambil-tindakan-terhadap-sumbangan.html
 

JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN NEGERI SEMBILAN, PEJABAT DAERAH DAN TANAH, 
PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI SEMBILAN DAN BADAN KAWAL SELIA AIR 
NEGERI SEMBILAN

3. PENGURUSAN AKTIVITI PERLOMBONGAN DAN PENGAMBILAN PASIR SERTA KESANNYA 
TERHADAP ALAM SEKITAR

3.1 LATAR BELAKANG
3.1.1 Pasir adalah butiran batu berdiameter daripada 0.0625mm hingga 2mm dan 
berwarna putih cerah. Pasir boleh berpindah akibat tiupan angin atau dibawa air 
sebelum berkumpul di muara sungai, tepi pantai, bukit kecil, tanjung, beting 
pasir di tengah laut, gurun dan kawasan berkaitan aliran air. Terdapat beberapa 
jenis pasir iaitu pasir sungai, pasir lombong, pasir laut dan pasir gurun. 
Pasir merupakan bahan utama dalam industri pembinaan terutamanya yang 
melibatkan binaan konkrit dan jalanraya. Pasir juga digunakan untuk kerja tebus 
guna tanah. Sumber bekalan pasir yang paling banyak dan mudah di negara ini 
adalah dari dasar sungai.

3.1.2 Pengeluaran pasir merupakan salah satu sumber ekonomi kepada kerajaan 
Negeri Sembilan di mana pada tahun 2007 jumlah pengeluaran pasir adalah 
186,880m3 dan meningkat kepada 193,228m3 pada tahun 2008. Ia terus meningkat 
kepada 317,792m3 pada tahun 2009. Negeri Sembilan telah mengutip sejumlah 
RM0.46 juta pada tahun 2007 hasil daripada sumber pengeluaran pasir melalui 
bayaran deposit dan royalti. Kutipan ini meningkat kepada RM0.58 juta pada 
tahun 2008 dan seterusnya meningkat kepada RM0.94 juta pada tahun 2009.

3.1.3 Aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir dijalankan sama ada di atas 
tanah milik kerajaan atau tanah milik individu. Sepanjang tempoh dari tahun 
2007 sehingga 2009, terdapat 239 pengusaha berlesen yang menjalankan kegiatan 
pengambilan pasir di Negeri Sembilan. Pengambilan pasir di Negeri Sembilan 
adalah tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965, Akta Air 1920 (Pindaan 2007), 
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perlombongan 1959.

3.1.4 Pemberian permit untuk mengeluarkan pasir adalah di bawah tanggungjawab 
semua Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) berdasarkan kawasan pengambilan pasir yang 
dimohon. Permohonan perlu disertakan ulasan teknikal daripada Jabatan Pengairan 
Dan Saliran Negeri Sembilan (JPSNS), Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan 
(JASNS) Dan Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) untuk menilai kesesuaian 
pengambilan pasir dari segi kawasan, sumber dan potensi pencemaran kepada alam 
sekitar sebelum permohonan disemak oleh Pengarah Tanah Dan Galian Negeri 
Sembilan (PTGNS) dan dibawa untuk pertimbangan kelulusan oleh Majlis Mesyuarat 
Kerajaan Negeri (MMKN).

3.2 OBJEKTIF PENGAUDITAN
Objektif pengauditan adalah untuk menilai sama ada aktiviti perlombongan dan 
pengambilan pasir memberi kesan terhadap alam sekitar.

3.3 SKOP DAN KAEDAH PENGAUDITAN
Pengauditan ini tertumpu kepada aktiviti pengambilan pasir sungai untuk tempoh 
tiga tahun (2007 hingga 2009). Pengauditan dijalankan di Daerah Seremban, Port 
Dickson dan Gemas yang melibatkan PDT dan JPSNS. Pengauditan ini dijalankan 
dengan cara menyemak fail, rekod dan dokumen serta temubual orang awam dan 
pegawai di jabatan yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan 
aktiviti pengambilan pasir. Untuk menilai kesan alam sekitar dari aktiviti 
perlombongan dan pengambilan pasir, pihak Audit merujuk kepada JASNS dan 
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), Majlis Daerah dan Jabatan 
Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan bantuan khidmat kepakaran terutama terhadap 
impak kepada kualiti air. Tumpuan juga dibuat terhadap aspek pemantauan 
aktiviti pengambilan pasir sungai di kawasan sungai yang mungkin memberi impak 
kepada alam sekitar seperti hakisan dan ketidakstabilan tebing sungai, 
perubahan ke atas rejim sungai yang mengubah aliran air
 sungai dan impak kepada insfrastruktur dan utiliti. Beberapa siri lawatan juga 
dilakukan bersama pegawai jabatan ke kawasan pengambilan pasir dan lokasi di 
mana kesan daripada pengambilan pasir terhadap alam sekitar berlaku.

3.4 PENEMUAN AUDIT
Pengauditan yang dijalankan antara bulan September 2009 hingga Disember 2009 
mendapati pada keseluruhannya pengurusan aktiviti pengambilan pasir di Negeri 
Sembilan adalah kurang memuaskan. Terdapat beberapa kelemahan yang bukan sahaja 
memberikan kesan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar malahan menyebabkan 
kerugian kepada Kerajaan melalui hasil royalti pengambilan pasir yang berjumlah 
RM1.6 juta bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009 terpaksa digunakan untuk 
pemulihan alam sekitar. Antara kelemahan yang diperhatikan ialah:
• penurunan kualiti air sungai, kemusnahan tebing sungai dan perubahan rejim 
sungai adalah kesan alam sekitar akibat daripada aktiviti pengambilan pasir;
• kurang pemantauan oleh JPSNS terhadap pematuhan syarat pentadbiran dan 
teknikal pengambilan pasir; dan
• kurang koordinasi di antara PDT, PTGNS dan JPSNS dalam memastikan pengusaha 
pasir tidak merosakkan alam sekitar semasa aktiviti pengambilan pasir dilakukan.

Penjelasan lanjut mengenai kelemahan yang diperhatikan adalah seperti di 
perenggan
berikut:

3.4.1 Kesan Aktiviti Pengambilan Pasir Terhadap Alam Sekitar
JPSNS telah mengeluarkan Syarat-Syarat Pentadbiran dan Syarat-Syarat Teknikal 
Untuk Memproses Permohonan dan Pemantauan Aktiviti Pengeluaran Pasir Sungai Di 
Negeri Sembilan pada 16 Julai 2008. Antara syarat-syarat teknikal pengambilan 
pasir adalah:
a) Pengusaha perlu mematuhi syarat penyediaan pelan kolam enapan yang 
menunjukkan tiga kolam enapan bersiri untuk mengawal kelodak cucian memasuki 
sungai dan kualiti air kolam enapan hendaklah ditentukan oleh standard JASNS;
b) Menetapkan pengusaha bertanggungjawab terhadap segala kerosakan tebing dan 
pencemaran akibat pengambilan pasir dan melapor kepada JPSNS;
c) Pelan keratan lintang yang menunjukkan aras dasar tebing serta rizab sungai 
yang disediakan oleh Juruperunding Profesional dan dihantar ke JPSNS sebelum 
kerja-kerja pengambilan pasir dijalankan; dan
d) Pengusaha tidak dibenarkan menyekat atau mengalih aliran sungai dan anak air 
yang terdapat di kawasan pengambilan pasir tanpa kebenaran JPSNS. Lawatan Audit 
ke tujuh lokasi pengambilan pasir di Sungai Linggi di Daerah Seremban dan Port 
Dickson, Sungai Batang Penar di Daerah Seremban dan Sungai Muar di Daerah Gemas 
mendapati perkara-perkara berikut:

i) Impak Kepada Kualiti Air Sungai
Kolam enapan bersiri diperlukan untuk memerangkap pepejal terampai dan sisa 
mendapan sebelum dilepaskan ke sungai dan berfungsi untuk mengawal kelodak 
cucian daripada memasuki sungai. Pengusaha perlu mengemukakan pelan kolam 
enapan bersiri seperti yang dikehendaki oleh JPSNS sebelum aktiviti mengambil 
pasir dijalankan. Kualiti air kolam enapan yang hendak dilepaskan ke sungai 
juga perlu ditentukan terlebih dahulu sama ada telah menepati standard JASNS 
seperti di Foto 3.1.

Perkara ini berlaku kerana kurangnya pemantauan serta penguatkuasaan oleh JPS 
dan PDT dalam menentukan syarat teknikal yang menghendaki pengusaha membina 
tiga kolam enapan bersiri dipatuhi. Pihak JASNS juga memaklumkan tiada tindakan 
oleh pengusaha untuk memastikan kualiti air dari kolam enapan yang hendak 
disalurkan ke sungai mengikut standard JASNS. Kesan daripada kolam enapan yang 
tidak mengikut syarat teknikal JPSNS telah mengakibatkan pencemaran dan 
penurunan kualiti air sungai di hilir kawasan pengambilan pasir. Pengukuran 
tahap pencemaran air sungai bagi aktiviti pengambilan pasir perlu berada 
sekurang-kurangnya dalam Kelas III seperti di Jadual 3.1 dan Jadual 3.2.

Keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia berdasarkan Interim National Water 
Quality Standard for Malaysia (INWQS) dari pensampelan yang telah diambil oleh 
JASNS menunjukkan punca pelepasan air kolam enapan di tiga batang sungai 
tersebut mengandungi kepekatan pepejal terampai pada tahap tercemar iaitu kelas 
V seperti di Jadual 3.3.

1. Sungai Linggi Taman Angsamas, Kuala Sawah 5,800mg/L 28.10.2009 V Tercemar
2. Sungai Muar Kampung Londah 2,400mg/L 13.11.2009 V Tercemar
3. Sungai Ngoi- Ngoi Kampung Pantai 1,655mg/L 29.12.2009 V Tercemar

Hasil perbandingan ujian air sungai di hulu dan hilir pelepasan air cucian 
pasir seperti di Jadual 3.4 mendapati klasifikasi air sungai di tiga kawasan 
yang diuji menunjukkan penurunan kualiti air berdasarkan Indeks Kualiti Air 
Negara (IKAN). Sungai Linggi berada pada tahap separa tercemar dengan penurunan 
kualiti air daripada IKAN 72 kepada IKAN 68, Sungai Ngoi-Ngoi walaupun berada 
pada tahap bersih tetapi menunjukkan penurunan kualiti air daripada IKAN 86 
kepada IKAN 84 dan Sungai Muar pula berada pada tahap separa tercemar dengan 
mencatatkan penurunan IKAN 70 di hulu kepada IKAN 69 di hilir kawasan 
pengambilan pasir.

Ujian Punca Air Sungai Di Hulu Dan Hilir Tapak Projek Aktiviti Pengambilan Pasir
1. Sungai Linggi Taman Angsamas, Kuala Sawah 72 68 Separa Tercemar
2. Sungai Muar Kampung Londah 70 69 Separa Tercemar
3. Sungai Ngoi-Ngoi Kampung Pantai 86 84 Bersih

JPSNS memaklumkan akan memantau pengusaha supaya mengikut syarat yang 
dikeluarkan dan akan memaklumkan kepada PDT untuk mengambil tindakan 
memberhentikan sementara operasi pengeluaran pasir dan mengarahkan pengusaha 
membina semula kolam enapan bersiri mengikut syarat supaya dapat berfungsi 
dengan sempurna. PDT Seremban, Port Dickson dan Gemas mengambil maklum mengenai 
perkara ini dan memandangkan aspek penyediaan kolam enapan adalah merupakan 
elemen teknikal yang melangkaui bidang dan keupayaan PDT, tindakan pemantauan 
secara kerap bersama JPSNS akan dilakukan supaya syarat teknikal dipatuhi oleh 
semua pengusaha pasir sebelum memulakan kerja. Pihak JASNS melalui surat 
ASNB(B) 91/110/900/018(17) bertarikh 18 Mei 2010 memberi syor Pengusaha perlu 
mematuhi syarat penyediaan pelan kolam takungan mendapan bersiri untuk mengawal 
kelodakan cucian memasuki sungai dan sentiasa diselenggara untuk memastikan 
tahap keberkesanannya. Had pelepasan daripada kolam
 tersebut hendaklah tidak melebihi status kualiti air sungai untuk lembangan 
sungai tersebut berdasarkan ‘Interim National Water Quality Standard for 
Malaysia’ (INWQS).

ii) Kerosakan Tebing Sungai
Pengusaha adalah bertanggungjawab untuk melaporkan kepada JPSNS segala 
kerosakan tebing sungai akibat pengambilan pasir dan hendaklah membaikinya atas 
tanggungan sendiri. Pengorekan pasir secara terus pada tebing sungai adalah 
dilarang untuk memastikan kestabilan tebing terpelihara. Semakan Audit di 
Sungai Linggi, Kawasan Sua Betong, Daerah Port Dickson mendapati tebing di 
sungai berkenaan mengalami keruntuhan akibat daripada aktiviti pengambilan 
pasir seperti di Foto 3.6 dan Foto 3.7.

PDT Port Dickson memaklumkan bahawa keruntuhan tebing berlaku kerana pengusaha 
menggunakan mesin untuk mengorek pasir di dasar dan tebing sungai. Namun begitu 
kaedah pengambilan pasir yang diamalkan sekarang adalah menggunakan pam yang 
dapat mengurangkan kerosakan tebing sungai. JPSNS telah mengarahkan pengusaha 
membaiki semula tebing tetapi pengusaha gagal melaksanakannya dan deposit 
pengusaha akan dirampas untuk membaiki tebing yang rosak.

iii) Aras Dasar Tebing Serta Rizab Sungai Terjejas
Pengusaha dikehendaki menyediakan pelan sukat keratan lintang dan bujur setiap 
enam bulan sekali dan selepas operasi atau bila-bila masa yang dikehendaki oleh 
JPS bagi tujuan pemantauan. Kerja sukat tersebut hendaklah disediakan oleh 
Juruukur Berlesen dan berdasarkan kepada Aras Ordinan Datum Jabatan Ukur. 
Semakan Audit mendapati pengusaha gagal menyedia dan mengemukakan pelan reka 
bentuk jajaran, keratan rentas dan memanjang sepanjang projek kepada JPSNS 
seperti yang dikehendaki dalam syarat teknikal JPSNS. Ini menyebabkan
JPSNS sukar mengawal kerosakan tebing kerana tiada perbandingan yang dapat 
dibuat terhadap struktur tebing sebelum dan selepas aktiviti pengambilan pasir. 
Akibatnya kestabilan tanah dan tebing sungai terjejas dan berlakunya runtuhan 
tanah yang tidak terkawal. Keadaan tebing yang runtuh akibat aktiviti 
perlombongan pasir juga telah menyebabkan kerosakan pada struktur hidrolik dan 
paip Indah Water Konsortium (IWK) seperti di Foto 3.8 dan Foto 3.9.
JPSNS akan memastikan pengusaha yang diluluskan permit agar mematuhi syarat 
penyediaan Pelan Keratan Lintang dan Keratan Bujur.

iv) Impak Kepada Rejim Sungai
JPSNS hendaklah memastikan aktiviti pengambilan pasir tidak akan menyebabkan 
perubahan rejim sungai. Pengusaha tidak dibenarkan menyekat atau mengalih 
aliran sungai dan anak air yang terdapat di kawasan pengambilan pasir tanpa 
kebenaran JPSNS. Lawatan Audit ke Sungai Linggi pada 10 Ogos 2009 mendapati 
terdapat perubahan kepada rejim sungai di mana berlaku perubahan aliran air 
sungai, profil tebing dan sedimentation kesan daripada pengambilan pasir yang 
tidak terkawal. Terdapat pengusaha yang telah membina struktur merintangi 
sungai tanpa kebenaran JPSNS bagi tujuan mengumpulkan pasir seperti di Foto 
3.10 hingga Foto 3.13. Akibatnya sungai menjadi statik dan perubahan struktur 
asal rejim sungai berlaku.

Semakan Audit terhadap pelan butiran dan keratan rentas yang disediakan oleh 
Juruukur Berlesen untuk kawasan pengambilan pasir sepanjang 350m di Sungai 
Linggi, Mukim Linggi, Daerah Port Dickson, mendapati berlaku perubahan profil 
tebing sungai di bahagian CH750 hingga CH800 di mana sungai menjadi lebar iaitu 
58.92 meter berbanding lebar asal 25.90 meter seperti di Jadual 3.5.

Analisis perubahan kelebaran sungai pada CH750 bagi tahun 2008 dan 2009 dapat 
dilihat di Foto 3.14 dan Foto 3.15 yang menunjukkan lebar sungai pada tahun 
2008 iaitu sebelum aktiviti pengambilan pasir dijalankan adalah 25.90 meter 
pada CH750 dan 23.34m pada CH800. Namun begitu, ia menjadi 58.92 meter lebar 
pada CH750 dan 60.30m pada CH800 bagi tahun 2009 iaitu selepas aktiviti 
pengambilan pasir dijalankan di kawasan tersebut. Akibatnya rejim asal sungai 
telah berubah dan rizab tebing asal telah menjadi sungai. Ini menyebabkan 
penyenggaraan tebing tidak dapat dilakukan oleh JPSNS.

Aktiviti pengorekan pasir boleh mengakibatkan hakisan di tebing sungai dan 
runtuhan tanah ke dalam sungai yang seterusnya menyebabkan berlakunya 
pemendapan tanah di kawasan pengambilan pasir seperti di Foto 3.16 dan Foto 
3.17. Pemendapan tanah akan mengganggu arah aliran air sungai di mana air 
sungai tidak dapat mengalir mengikut kelazimannya kerana terdapat halangan 
seperti tanah dan pasir yang menyekat laluan air.

JPSNS memaklumkan pemantauan syarat teknikal dilaksanakan oleh juruteknik JPSNS 
di peringkat daerah. Tindakan akan diambil untuk memastikan syarat teknikal 
dipatuhi dan seterusnya akan melaporkan kepada agensi yang boleh mengambil 
tindakan ke atas perkara yang di luar bidang JPSNS.

Pada pendapat Audit, pematuhan kepada syarat pentadbiran dan teknikal 
pengambilan pasir oleh pengusaha adalah tidak memuaskan dan kurang pemantauan 
oleh JPSNS. Ini menyebabkan kualiti air sungai menurun pada tahap tercemar, 
kerosakan tebing sungai, aras dasar tebing serta rizab sungai terjejas dan 
memberi impak kepada rejim sungai.

3.4.2 Pengambilan Pasir Tanpa Permit
Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 menetapkan kuasa untuk mengeluarkan permit bagi 
tujuan mencabut, memindah dan mengangkut bahan batuan dari tanah kerajaan 
adalah kepada Pentadbir Tanah. KTN melalui peruntukan seksyen 429B (1) dan (2) 
telah memberi kuasa kepada Pengarah Tanah Dan Galian (PTG) atau Pentadbir Tanah 
Daerah (PDT) untuk mengenakan kompaun kepada kesalahan-kesalahan yang 
dinyatakan dalam Kaedah-kaedah Tanah Negeri.

Semakan Audit terhadap kawasan yang terlibat dengan aduan pengambilan pasir 
tanpa permit di PDT Seremban adalah seperti di Jadual 3.6.

Senarai Kawasan Yang Terlibat Dengan Pengambilan Pasir Tanpa Permit Negeri 
Sembilan Bagi Tempoh Tahun 2007 Hingga Tahun 2009
Bil. Tarikh Aduan Tempat/ Daerah
1. 18.6.2009 Kg. Ulu, Mukim Rantau, Daerah Seremban.
2. 8.5.2009 Kg. Pasir Tengah, Siliau, Seremban.
3. 23.2.2009 Sungai Kepayang, Daerah Seremban
4. 20.1.2009 Kg. Seri Lalang Simin, Mukim Rantau, Daerah Seremban.
5. 9.12.2008 Sg. Chelet Kg. Bukit Kadir Nilai, Daerah Seremban
6. 1.12.2008 Sungai Jimah, Kg. Jimah, Daerah Port Dickson.
7. 9.9.2008 Sg. Batang Labu, Mukim Labu, Daerah Seremban.
8. 22.9.2008 Sg. Batang Labu, Mukim Labu, Daerah Seremban.
9. 23.4.2008 Sungai Pajam, Mantin, Seremban
10. 19.10.2007 Sungai Linggi, Daerah Seremban.
11. 9.5.2007 Jalan Labu, Daerah Seremban
12. 21.2.2007 Kg. Labu, Mukim Labu, Daerah Seremban.

Pengambilan pasir tanpa permit akan menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Negeri 
kerana hasil royalti daripada pengeluaran pasir yang tidak dapat dikutip dan 
tiada pihak yang akan bertanggungjawab terhadap kerosakan akibat aktiviti yang 
telah dijalankan. Foto 3.18 menunjukkan antara kawasan pencerobohan aktiviti 
pengambilan pasir.

Bagaimanapun, pihak JASNS, PDT dan JPSNS telah mengambil tindakan terhadap 
aduan-aduan orang awam. Di antara tindakan yang telah diambil adalah seperti di 
Jadual 3.7.

Pada pendapat Audit, aduan aktiviti pengambilan pasir tanpa permit telah 
diambil tindakan sewajarnya oleh JPSNS, JASNS, PTGNS dan PDT.

3.4.3 Pemantauan Dan Penguatkuasaan Alam Sekitar Berhubung Aktiviti
Pengambilan Pasir Aktiviti pengambilan pasir hendaklah dipantau dan 
penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada serta peraturan yang berhubungkait 
dengan aktiviti pengambilan pasir perlu dilaksanakan untuk pemeliharaan alam 
sekitar. Program penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh PTGNS, PDT, JPSNS, JASNS 
dan Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) adalah seperti di Jadual 3.8.

6. Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan Berdasarkan aduan.
Hasil daripada pemeriksaan dan lawatan Audit ke atas pihak yang terlibat dalam 
penguatkuasaan undang-undang berkenaan dengan pengambilan pasir ini mendapati:

a) Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan
Akta Air 1920 (Pindaan 2007) adalah di bawah BKSANS yang berfungsi untuk 
menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan dengan berkesan terhadap pencemaran 
sumber air mentah, memantau dan menguruskan aduan awam serta hal pindaan, 
penggubalan yang berkaitan dengan perundangan di bawah Akta Air. Antara 
peruntukan di bawah Akta Air yang membolehkan tindakan perundangan diambil oleh 
BKSANS ke atas kerosakan alam sekitar adalah seperti berikut :
Section 4 Restoration of river banks.
Section 5 Prohibition of acts affecting rivers, except under license.
Section 7 Prohibition of diversion or abstraction of water from rivers, except 
under license.
Section 7A Prohibition of pollutions of rivers.
Section 16 Power to put a stop to and remedy illegal acts.

Semakan Audit mendapati penguatkuasaan terhadap seksyen dalam Akta Air belum 
dapat dilaksanakan di Negeri Sembilan kerana pengisian perjawatan bagi Unit 
Perundangan dan Penguatkuasa BKSANS belum dilaksanakan. Setakat 5 Ogos 2009, 
BKSANS hanya mempunyai tujuh pegawai berbanding dengan 26 pegawai sebagaimana 
yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) pada Julai 2009. 
Kesannya, aktiviti penguatkuasaan ke atas Akta Air yang telah berkuatkuasa 
tidak dapat dilaksanakan dan Unit Perundangan dan Penguatkuasa BKSANS tidak 
dapat berfungsi sepertimana yang telah ditetapkan.
Maklumbalas daripada BKSANS menyatakan bahawa penguatkuasaan belum dapat 
dilaksanakan dengan berkesan kerana peraturan kawalan pencemaran sedang 
dirangka dan belum diwartakan bagi pencemaran-pencemaran yang memerlukan 
pembuktian secara saintifik. Satu persetujuan telah dicapai dengan pihak 
Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengadakan Jawatankuasa Pengurusan Sumber Air 
di Negeri Sembilan. Jawatankuasa ini akan membincangkan mekanisme yang berkesan 
untuk melindungi sumber air dan akan dihadiri oleh Jabatan dan Agensi yang 
mempunyai kaitan dengan air. Sementara Jawatankuasa Pengurusan Sumber Air 
Negeri Sembilan telah dibentuk dengan mesyuarat pertama pada 22 Julai 2010 bagi 
membincangkan isu pencemaran sungai. Melalui Jawatankuasa Pengurusan Sumber 
Air, Jawatankuasa Kerja Kawalan Pencemaran Negeri Sembilan telah dibentuk untuk 
menangani isu kualiti air mentah termasuklah pencemaran disebabkan oleh 
perlombongan pasir. Pada pendapat Audit, Kerajaan Negeri
 melalui BKSANS perlu segera memperkasakan keupayaannya untuk mengelakkan lebih 
banyak lagi kes pencemaran sumber air mentah.

b) Perjanjian Pengambilan Pasir Tidak Ditandatangani
Mengikut Garis Panduan untuk memproses permohonan dan menetapkan syarat-syarat 
pengambilan pasir sungai, pengusaha adalah dikehendaki menandatangani surat 
perjanjian bersetuju untuk mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan 
kepadanya sebelum pembayaran deposit dijelaskan. Semakan Audit mendapati 
kesemua pengusaha di tujuh lokasi pengambilan pasir tidak menandatangani 
perjanjian dengan pihak JPSNS. Akibatnya, sebarang kerosakan seperti tebing 
runtuh akibat daripada kualiti kerja yang tidak sempurna tidak dapat 
dipertanggungjawabkan kepada pengusaha. Tanpa perjanjian rasmi, JPSNS tidak 
mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pengusaha yang 
telah melanggar mana-mana syarat yang telah ditetapkan. JPSNS dalam 
maklumbalasnya menyatakan sedang menyediakan draf perjanjian untuk disemak oleh 
Penasihat Undang-Undang Negeri dan akan digunapakai selepas diluluskan. Pada 
pendapat Audit, walaupun JPSNS tidak diberi kuasa perundangan untuk
 menarik balik atau menggantung permit namun melalui penguatkuasaan surat
perjanjian tersebut ia telah memberi hak dan kuasa kepada JPSNS untuk bertindak 
berdasarkan perjanjian.

c) Aduan Dan Laporan Media Mengenai Pencemaran Yang Berpunca Daripada Aktiviti 
Pengambilan Pasir
JPSNS, JASNS dan PDT adalah agensi yang kerap menerima aduan mengenai 
kemusnahan, kerosakan dan pencemaran akibat daripada aktiviti pengambilan 
pasir. Semakan Audit mendapati terdapat aduan daripada orang awam dan agensi 
kerajaan mengenai pencemaran yang disebabkan aktiviti pengambilan pasir di 
Negeri Sembilan. Antara aduan yang diterima dan laporan media adalah seperti di 
Foto 3.19 hingga Foto 3.24. Aduan yang diterima oleh JPSNS dan JASNS dan 
laporan media mendapati beberapa aduan seperti kekeruhan air sungai, pencemaran 
kelodak dan hakisan tebing telah berlaku di beberapa kawasan di Negeri Sembilan 
yang diakibatkan oleh pengambilan pasir.

Pada pendapat Audit, aduan dan laporan media mengenai pencemaran yang berpunca 
daripada aktiviti pengambilan pasir didapati telah diambil tindakan sewajarnya 
oleh JPSNS, JASNS dan PDT.

3.5 RUMUSAN DAN SYOR AUDIT
Secara keseluruhannya, pengurusan aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir 
di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan kerana telah mengakibatkan 
kemusnahan dan pencemaran alam sekitar. Perkara ini berpunca daripada kelemahan 
penguatkuasaan dan pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan serta 
pemantauan yang kurang berkesan. Sehubungan dengan itu disyorkan supaya perkara 
berikut diberi perhatian oleh JPSNS, JASNS, PDT, PTGNS dan BKSANS untuk 
penambahbaikan terhadap pengurusan aktiviti perlombongan dan pengambilan pasir 
di Negeri Sembilan:

a) Pemantauan dan penguatkuasaan perlu dijalankan oleh JPSNS, PTGNS dan PDT di 
kawasan pengambilan pasir dengan lebih efektif untuk membendung pencemaran alam 
sekitar. Semua pihak perlu memastikan tiada kelewatan bertindak terhadap 
pengusaha yang menyebabkan kemusnahan dan pencemaran.

b) JASNS perlu dimaklumkan oleh PDT atau PTGNS mengenai pengusaha yang telah 
diberi permit untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan bersepadu bersama 
agensi berkaitan bagi memastikan isu pencemaran sumber air dan masalah 
berkaitan kemusnahan alam sekitar yang disebabkan oleh perlombongan dan 
pengambilan pasir dapat dipantau. Ini memandangkan jadual program 
penguatkuasaan tahunan JASNS
adalah bagi premis dan aktiviti di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling 
(Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penialaian Kesan Kepada Kualiti Alam Sekeliling) 
1987 dan lain-lain peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

c) Koordinasi antara JPSNS, JASNS, PTGNS dan PDT untuk bertindak dalam 
menangani masalah aktiviti pengambilan pasir tanpa permit perlu dipertingkatkan.

d) BKSANS melalui bidang kuasanya perlu melaksanakan Akta Air 1920 (Pindaan 
2007) antaranya dengan melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap 
pencemaran sumber air mentah, memantau dan menguruskan aduan awam.

e) Pengisian perjawatan BKSANS perlu diisi sepenuhnya agar ia dapat berfungsi 
dengan cekap dan berkesan bagi mencapai objektif penubuhannya. Selain itu, bagi 
memantapkan lagi operasi penguatkuasa perundangan, BKSANS perlu memastikan Akta 
Air 1920 (Pindaan 2007) yang sekian lama berkuatkuasa dipraktikkan dengan 
membuat perancangan bersepadu dengan Agensi Kerajaan di peringkat Negeri dan
Persekutuan dalam merangka peraturan yang berkaitan. Kerjasama dengan perunding 
alam sekitar, badan profesional dan pertubuhan bukan Kerajaan yang terlibat 
dengan alam sekitar adalah diperlukan.

f) Bagi melindungi kepentingan Kerajaan, JPSNS perlu memastikan surat 
perjanjian dipatuhi seperti di dalam Syarat Pentadbiran Pengambilan Pasir. 
Selain itu, bagi memastikan surat perjanjian yang lengkap, teratur dan menepati 
kehendak perundangan maka ia hendaklah dikemukakan kepada Penasihat 
Undang-undang Negeri untuk semakan dan kelulusan. Selain itu, koordinasi antara 
JPSNS, JASNS, PTGNS dan PDT dalam bertindak untuk memastikan syarat perjanjian 
dipatuhi seperti di dalam surat perjanjian peraturan dan undang-undang yang 
berkuatkuasa dipatuhi pengusaha sebelum dan semasa aktiviti pengambilan pasir 
dijalankan perlu dipertingkatkan.



      


------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke islah-net-subscr...@yahoogroups.com
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
islah-net-unsubscr...@yahoogroups.comyahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    islah-net-dig...@yahoogroups.com 
    islah-net-fullfeatu...@yahoogroups.com

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    islah-net-unsubscr...@yahoogroups.com

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke