SEREMBAN 2 Nov 2011 : “Selesaikah masalah yang membelenggu masyarakat India di 
Negeri Sembilan dengan memasang ratusan billboard, banner dan bunting sempena 
sambutan Deepavali di seluruh negeri itu?”
 
Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd 
Taufek Abdul Ghani berhubung kebanjiran luar biasa billboard, banner dan 
bunting yang dipasang oleh kerajaan Negeri Sembilan di seluruh negeri yang 
memaparkan imej Menteri Besar Mohd Hasan bermesra dengan masyarakat India.
 
Menurut Mohd Taufek yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, pada tahun-tahun 
sebelumnya hanya bandar Seremban dan kawasan majoriti India sahaja meriah 
dengan beberapa banner dan selebihnya puluhan bunting di pasang di tiang lampu 
jalan.
 
Bagaimanapun fenomena luar biasa berlaku pada sambutan Deepavali pada tahun ini 
apabila ratusan billboard, banner dan bunting bukan sahaja di pasang di sekitar 
Seremban malah hampir di seluruh daerah dan pekan.
 
“Setahu saya inilah kali pertama saya melihat begitu banyak sekali billboard, 
banner dan bunting ucapan Selamat Hari Deepavali membanjiri seluruh Negeri 
Sembilan.
 
“Menghargai kaum India dengan ucapan Deepavali adalah satu langkah yang baik 
tetapi persoalannya ada banyak masalah kritikal yang membabitkan kaum India di 
Negeri Sembilan memerlukan perhatian kerajaan negeri dan Mohd Hasan dengan 
segera.
 
“Anggarkan kos satu billboard sahaja lebih kurang RM3,000 maka bayangkan berapa 
banyak duit dihabiskan untuk memasang ratusan billboard, banner dan bunting.
 
“Adalah lebih memberi manfaat jika wang yang dibelanjakan tersebut disalurkan 
terus kepada masyarakat India dalam kelompok miskin tegar yang memerlukan 
perhatian segera,” kata Mohd Taufek.
 
Beliau percaya kebanjiran luar biasa billboard, banner dan bunting ucapan 
Deepavali secara tiba-tiba pada tahun ini adalah berkaitan taktik Barisan 
Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk mengambil hati pengundi India memandangkan 
pilihan raya umum semakin hampir.
 
“Apa tidaknya billboard, banner dan bunting ucapan Deepavali bukan sahaja 
dipasang di kawasan majoriti kaum India malah turut dipasang di kawasan 
majoriti Melayu.
 
“Contohnya bandar Ampangan dan Ulu Bendul (Jalan Seremban-Kuala Pilah) 
merupakan lokasi yang sukar untuk melihat masyarakat India tetapi turut 
dipasang dengan billboard dan banner.
 
Meraih kembali sokongan 
 
“Dalam keghairahan untuk meraih kembali sokongan kaum India, BN pasang 
Billboard ucapan Deepavali walaupun di kawasan itu hampir tidak ada penduduk 
berbangsa India. Ini satu pembaziran”, ulas Mohd Taufek.
 
Beliau berkata jika benar BN Negeri Sembilan menghargai peranan kaum India di 
negeri tersebut seharusnya dana yang dibelanjakan untuk billboard boleh 
digunakan untuk pelbagai pelan tindakan untuk mengatasi beberapa masalah 
kritikal yang membabitkan masyarakat India.
 
“Di kawasan Dewan Undangan Negeri saya sendiri terdapat beberapa estet seperti 
Ladang Kombok dan Ladang Ulu Kanchong.
 
“Masalah besar yang menghantui masyarakat India di estet ini ialah di manakah 
mereka akan menetap apabila mereka bersara dari pekerjaan mereka di estet-estet 
tersebut?
 
“Kediaman yang mereka menetap sekarang selama berpuluh tahun hanyalah kediaman 
sementara. Selepas bersara mereka perlu mencari rumah sendiri. Kebanyakan 
mereka tidak mampu membeli rumah sendiri dengan pendapatan yang amat rendah.
 
“Begitu juga masalah gejala sosial di kalangan remaja India juga berpunca 
daripada kesukaran mereka mendapat peluang pekerjaan kerana tahap kelulusan 
akedemik yang rendah”, ujar Mohd Taufek lagi.
 
Justeru itu, Mohd Taufek menyarankan agar kerajaan negeri perlu menangani 
masalah yang lebih memerlukan perhatian segera daripada berbelanja ratusan ribu 
ringgit untuk memasang billboard, banner dan bunting yang akhirnya akan dicabut 
atau ditanggalkan selepas sebulan tempoh sambutan Deepavali.
 
“Ratusan billboard, banner dan bunting tidak akan selesaikan masalah yang 
menghantui masyarakat India,” ujar beliau.
 
Mohd Taufek juga meminta Mohd Hasan mendedahkan syarikat mana yang mendapat 
kontrak untuk memasang ratusan billboard, banner dan bunting tersebut.
 
“Ini dana kerajaan, maka rakyat berhak mengetahui siapakah yang mendapat 
kontrak tersebut yang saya rasa pasti lumayan,” tegas Mohd Taufek.
 
Sumber : 
http://mohdtaufek.blogspot.com/2011/11/bela-kaum-india-dengan-pasang-billboard.html
 

Reply via email to