2 Nov 2011 - Hasrat dua pelancongan Britain menikmati keindahan bandaraya 
Melaka dengan menaiki monorel terbantut apabila mereka terperangkap selama 20 
minit di dalam gerabak gara-gara perkhidmatan terhenti secara tiba-tiba.
 
Perkhidmatan monorel berkenaan berhenti hanya setelah 20 meter meninggalkan 
Stesen Hang Jebat di Melaka dalam kejadian kira-kira jam 1.09 tengahari semalam.
 
Akibatnya, bekas anggota polis, James Craft, 57 dan isterinya, Anne Craft, 
terpaksa menghabiskan kira-kira 20 minit di dalam gerabak monorel berkenaan 
sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.
 
Menggunakan tangga kecemasan untuk sampai ke gerabak monorel berkenaan, anggota 
penyelamat kemudiannya membantu mereka turun.
 
Sambil menyifatkan kejadian itu sebagai suatu yang tidak akan dilupakannya, 
James berkata, beliau dan isteri membuat keputusan menggunakan monorel 
berkenaan untuk melihat keindahan panorama Melaka.
 
Menurutnya, gerabak monorel berkenaan berhenti secara tiba-tiba sejurus selepas 
meninggalkan stesen.
 
Kali kedua
 
"Walaupun terperangkap di dalam gerabak selama 20 minit, kami sama sekali tidak 
panik. Malahan, saya dapati anggota penyelamat begitu ramah dan profesional 
dalam menjalankan tugas mereka," katanya.
 
Ini merupakan kali kedua sistem monorel bernilai hampir RM15.9 juta di 
sepanjang Sungai Melaka ini terhenti perkhidmatan.
 
Tahun lalu, seramai 20 penumpang turut terperangkap di dalam gerabak monorel 
berkenaan apabila ia terhenti kira-kira 100 meter dari Stesen Hang Jebat.
 
Sistem monorel sepanjang 1.6km itu dilancarkan Oktober tahun lalu.
 
Bagaimana, sejurus pelancaran, perkhidmatannya digantung sementara berikutan 
beberapa masalah teknikal.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, iaitu pengendali 
perkhidmatan itu, Nazry Ahmad berkata, kejadian semalam disebabkan masalah pam 
pada salah satu pintu gerabak.
 
Menurutnya, sistem monorel berkenaan secara automatik akan menghentikan operasi 
apabila pintu gerabak tidak ditutup.
 
"Kita mengganggap ini satu masalah kecil sahaja. Perkhidmatan telah bersambung 
semula jam 3.30 petang selepas kerosakan berkenaan diperbaiki," katanya.
 
Difahamkan, tambang kedua pelancong Britain berkenaan juga telah dikembalikan 
kepada mereka, selain mereka turut ditawarkan tiket percuma untuk menaiki 
Menara Taming Sari.
 
Difahamkan juga pihak pengendali perkhidmatan monorel itu turut menghantar 
notis memohon maaf serta cenderamata kepada pasangan berkenaan.
 
Sumber : http://malaysiakini.com/news/180249 

Kirim email ke