Kerajaan Negeri Komited Tangani Gejala Sosial        
 
KOTA DARULNAIM, 22 Syawal 1427 - Kerajaan negeri sentiasa memberi 
perhatian serius bagi menangani masalah sosial dan keruntuhan akhlak 
di kalangan remaja dan belia melalui pelbagai program yang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul 
Fattah Mahmod berkata, tiga pendekatan digunakan bagi menangani 
masalah tersebut iaitu melalui pencegahan, merawat dan penggunaan 
undang-undang.

"Untuk pendekatan pencegahan kerajaan negeri menyusun beberapa 
program khusus kepada belia dan beliawanis yang masih bebas daripada 
terlibat dengan masalah sosial. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan 
risiko mereka terlibat dengan gejala tidak sihat. "Program merawat 
pula khusus kepada remaja yang terlibat dengan masalah sosial bagi 
merangsang dan membantu mereka menyelesaikan masalah dihadapi."

"Kaedah rawatan digunakan antaranya khidmat kaunseling secara 
berterusan dan mengumpulkan remaja bersama Akademi Bermotor dan 
Akademi Bolasepak," katanya menjawab soalan Mohd Zaki Ibrahim (PAS - 
Kelaboran) pada Persidangan Dun, hari ini.

Selain itu, menguatkuasakan kesemua peruntukan sama ada akta, 
ordinan, enakmen serta undang-undang kecil bagi mengawal secara lebih 
menyeluruh.

Beliau berkata, bagi memastikan penguatkuasaan dijalankan secara 
bersepadu kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan polis, Agensi 
Anti Dadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Hal Ehwal 
Agama Islam Kelantan dan NGO.

Menurutnya juga kerajaan negeri menutup semua pintu maksiat seperti 
pusat hiburan, kelab malam, kedai judi dan mengemaskini peraturan 
serta menyusun semula premis penjualan arak.

Sementara itu, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 
(UIAM), Dr Badrul Amin Baharum berkata, maksiat yang berlaku di 
Kelantan berbeza berbanding negeri-negeri lain kerana ia dilakukan 
secara haram.

Sedangkan katanya, di negeri-negeri lain aktiviti ke arah maksiat 
dibenarkan oleh kerajaan dengan memberi lesen.

Bercakap pada Forum Perdana Ehwal Islam, sempena sambutan Setahun 
Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB 
BRI) baru-baru ini katanya, kerajaan Kelantan bersungguh-sungguh 
menggunakan sepenuh kuasa bagi menghapus tempat-tempat maksiat.

Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dato' Dr Harun Din 
berkata, kesejahteraan pembangunan di kawasan MPKB BRI mesti 
mengambilkira kesejahteraan ummah.

"Paling utama perlu diberi perhatiaan dalam soal kesejahteraan ummah 
adalah menjaga kesejahteraan akidah di kalangan penduduk," ujarnya.

Pendakwah bebas, Ann Wan Seng berkata, asas kepada perpaduan di 
kalangan masyarakat ialah bersikap adil dan semangat persaudaraan.

Menurutnya, sekiranya prinsip keadilan disuburkan adalah diyakini 
tidak akan berlaku lagi perpecahan di kalangan masyarakat walaupun 
berbeza agama.//UPKN   


Skim Takaful Untuk Warga Emas Di Kelantan        
 
KOTA DARULNAIM, 22 Syawal 1427 - Kelantan dianggap negeri pertama di 
negara ini yang menaja caruman Takaful kepada warga emas yang berumur 
61 tahun ke atas tanpa mengira bangsa dan agama.

Mengikut bancian terdapat 97,970 warga emas yang berumur 61 tahun ke 
atas di Kelantan dan mereka layak mencarum bagi mendapat manfaat 
apabila berlaku kemalangan dan kematian.

Skim itu dikenali sebagai Skim Perlindungan Sosial Tengku Anis, di 
mana Raja Perempuan Kelantan sebagai penaung, yang julung-julung kali 
diwujudkan di negara ini. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul 
Aziz Nik Mat berkata, setiap keluarga pencarum yang meninggal dunia 
akan menerima 50 peratus daripada ganjaran yang diperuntukan Takaful. 
Dan bakinya akan dimasuk dalam dana pusingan.

"Bagi tujuan ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta. 
Serentak dengan pelancaran skim ini juga kerajaan negeri 
memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk urusan banci sosial bagi 
mendaftar rakyat Kelantan yang layak," katanya ketika membentangkan 
Belanjawan Kelantan 2007 di persidangan Dun hari ini.

Teks ucapannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, 
Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam 
Musa.

Pada bajet itu juga kerajaan negeri menambahkan peruntukan kepada 
program Bulan Sembahyang kepada RM1 juta berbanding RM52,000 pada 
1992 bagi melahirkan masyarakat berjiwa mesra ibadat.

Bagi keluarga miskin program Rumah Dhu'afa' dan Kebajikan Rakyat 
disediakan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 juta.

Golongan orang kurang upaya juga mendapat peruntukan sebanyak RM1 
juta berbanding RM500,000 sebelum ini. Bantuan itu meliputi wang 
tunai, kerusi roda, kaki palsu dan perubatan.

Usaha kerajaan negeri bagi mengurangkan kadar pengangguran di 
kalangan siswazah Kelantan dilaksanakan dengan menyediakan dana bagi 
tujuan itu, antaranya Dana Belia Niaga diperuntukan sebanyak RM1 
juta, Dana Siswa Tani (RM1 juta) dan Dana Teroka IT (RM1 juta).

Selain itu, peruntukan sebanyak RM800,000 untuk galakan perdagangan, 
perindustrian dan pembangunan usahawan. Sebanyak RM300,000 bagi 
infrastruktur pembangunan industri kecil dan sederhana di bawah 
Jabatan Pertanian.

Peruntukan RM1.5 juta pula disediakan bagi Gerakan Berdikari Rakyat 
Kelantan.

"Bagi menjadikan Kelantan sebagai pangkalan industri minyak dan gas 
pada masa depan kerajaan negeri mencadang dijadikan zon berasaskan 
gas dan minyak bagi kawasan Koridor Timur," kata Menteri Besar.

Menurutnya, dalam aspek pelancongan pada tahun hadapan dianggarkan 
seramai 5.7 juta pelancong akan bertandang ke negeri ini, yang 
dijangka mampu menyumbang sebanyak RM1.7 bilion kepada ekonomi negeri.

Katanya, sebagai usaha bagi meningkatkan lagi jumlah kehadiran 
pelancong kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta 
bagi penyediaan infrastruktur yang lebih lengkap.

Di bawah aktiviti belia pula kerajaan negeri menambah peruntukan 
kepada RM2.1 juta dan pembangunan sukan sebanyak RM2.3 juta.

Selain itu, bantuan kepada badan-badan kesenian dan kebudayaan turut 
ditambah kepada RM1 juta dan kebajikan Orang Asli serta bukan Islam 
disediakan peruntukan sebanyak RM500,000.

Kesungguhan kerajaan negeri membela golongan armalah terbukti apabila 
peruntukan tahun hadapan ditambah kepada RM2 juta. Jumlah yang sama 
juga disediakan bagi membantu anak-anak yatim.

Program pembelaan rakyat miskin mendapat peruntukan sebanyak RM1.5 
juta, penempatan semula penduduk RM800,000, projek bantuan bekalan 
air dan elektrik (RM1 juta), subsidi baja padi (RM4.7 juta) dan 
bantuan penyakit kronik (RM1 juta).

Yayasan Islam Kelantan pula mendapat peruntukan sebanyak RM42 juta 
dan RM2.5 juta lagi bagi pembinaan bangunan baru dan penyelenggaraan 
sekolah.

Dalam usaha memartabatkan Islam, kompleks Islam akan dibina di Gua 
Musang, Machang, Tumpat dan Pasir Puteh membabitkan peruntukan 
sebanyak RM6 juta. Sebanyak RM1 juta pula akan disalur bagi membantu 
masjid dan surau.

Manakala sejumlah RM5.5 juta disediakan bagi projek pembinaan dan 
pembaikian masjid di seluruh negeri termasuk Masjid Jubli Perak.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri telah melulus pertambahan 62 
jawatan baru ke arah memperbaiki dan meningkatkan kedudukan mahkamah-
mahkamah syariah di Kelantan.

Bagi projek infrastruktur peruntukan sebanyak RM15.5 juta disediakan 
bagi membina jalan dan jambatan antaranya dari Jalan Telipot ke Pasir 
Hor, jejambat melintas landasan keretapi di Pasir Mas dan jambatan 
Sungai Puyu di Pasir Puteh.//UPKN


Kirim email ke