KOTA BHARU 15 Nov. – Seorang warga emas ditemui mati lemas di Sungai 
Kuala Besar di Kampung Kesing, dekat sini ketika mangsa yang 
mengalami gangguan ingatan cuba membawa pulang `lembunya' 
menyeberangi sungai tersebut kira-kira pukul 5.30 petang, semalam.

Walaupun ditegah oleh anak-anaknya kerana `lembu' yang dikatakan itu 
hanyalah dalam ilusinya, namun mangsa, Mamat Yusoff, 59, yang pernah 
menternak lembu sebelum ini tetap berdegil dan keluar dari rumah 
menuju ke arah sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari 
rumahnya. 

Bagaimanapun, hajat mangsa tidak kesampaian apabila dia yang tidak 
pandai berenang dihanyutkan arus ketika cuba menyeberang kembali 
sungai tersebut setelah pada awalnya dia berjaya berbuat demikian 
dengan berjalan. 

Ini kerana ketika menyeberang, dia dipercayai melalui laluan yang 
lebih cetek namun apabila pulang, dia merempuh kawasan agak dalam.

Seorang pekerja pam pasir berdekatan, Ibrahim Ismail, 53, yang 
terlihat kejadian berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada beberapa 
penduduk kampung tersebut.//Utusan



Kirim email ke