Kota Bharu: Tapak pelupusan sampah Majlis Perbadaran Kota Bharu-
Badaraya Islam (MPKB-BRI) seluas kira-kira 40 hektar terjejas teruk 
apabila berlakunya air pasang dan ombak besar yang didapati mula 
menghakis sejak 8 November lalu.

Malah, tapak pelupusan sampah itu juga sudah dikategorikan sebagai 
kawasan kritikal hakisan yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan 
Saliran (JPS) Kelantan.

Kawasan itu dikatakan antara yang kritikal terhakis di sepanjang kira-
kira 2.3 kilometer Pantai Sabak.

Tinjauan turut mendapati kerja membuat kuala sementara dijalankan 
sebuah syarikat yang dilantik oleh MPKB-BRI di kawasan berhampiran.

Kerja mengali itu didakwa dijalankan bagi mengelak berlakunya 
limpahan air sungai dan laut ke kawasan kediaman sebagai persediaan 
menghadapi musim tengkujuh.

Sementara itu seramai 200 penduduk berhampiran Pantai Dasar Sabak, di 
Pengkalan Chepa dekat sini, bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh 
yang bakal melanda.

Bagaimanapun, mereka bimbang kerana tapak kediaman kini semakin 
hampir dengan pantai berikutan hakisan yang berlaku.

Lebih membimbangkan penduduk kawasan terbabit ialah tapak pelupusan 
sampah kira-kira 10 meter dari kediaman mereka dan pasti dilimpahi 
air laut sekiranya berlaku ombak besar terutama di musim tengkujuh. 

Seorang penduduk, Nik Zainal Abidin Che Harun, 46, berkata selain 
ombak besar di musim tengkujuh, dia terpaksa berhadapan sisa sampah 
yang hanyut bersama banjir.

Menurutnya, sisa sampah yang menjijikkan itu pasti hanyut bersama 
banjir dan menimbulkan rasa kurang selesa.

Seorang lagi penduduk, Jawahir Mohamad, 51, berkata dia sudah lama 
menanti projek pembinaan benteng di situ yang sehingga kini belum 
dilaksanaka.

"Paling merisaukan sampah sarap dari tapak pelupusan sampah yang 
jaraknya hanya 10 meter mungkin akan melimpah ke rumah penduduk jika 
tiada tindakan segera diambil," katanya.

Katanya, dia juga terpaksa mengisi sendiri pasir ke dalam guni untuk 
dijadikan benteng bagi menghalang air laut melimpah ke kawasan 
rumahnya. 

"Kami sekeluarga sudah menetap di sini hampir sembilan tahun lalu dan 
seingat saya, hakisan ini menjadi semakin teruk sejak enam tahun 
lalu," katanya.

Tinjauan Harian Metro di kawasan terbabit, semalam, mendapati laut 
mula bergelora dan angin bertiup kencang.

Kebanyakan penduduk di situ pula sudah bersiap sedia termasuk 
menyimpan pelbagai barangan berharga.//HMetro




Kirim email ke