GUA MUSANG: Impian sebuah keluarga di Kampung Lembaga di sini untuk 
tinggal dalam rumah yang sempurna, akhirnya tercapai menerusi Program 
Bantuan Rumah (PBR) yang dibina secara gotong-royong, kelmarin.

Pembinaan rumah menerusi Dana Khas Kerajaan Persekutuan itu 
membabitkan peruntukan RM2,000 hasil sumbangan Ahli Parlimen Gua 
Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang turut menyertai gotong-royong 
itu.

Mat Daud Che Deraman, 53, berkata dia bersama isterinya, Norhayati 
Mariammal Abdullah, 43, sudah mendiami rumah usang yang tidak 
berdinding itu sejak lebih dua tahun lalu. 

"Akibat kemiskinan dengan pendapatan sekadar kais pagi makan pagi, 
kais petang makan petang, kami tidak mampu membaiki rumah yang uzur 
ini.

"Kami sungguh terharu apabila kesulitan hidup kami mendapat perhatian 
Ahli Parlimen Gua Musang untuk sama-sama membantu termasuk bergotong-
royong membaiki rumah," katanya.

Mat Daud berkata, walaupun bantuan sekadar membaiki rumah, namun 
keprihatinan yang ditunjukkan penduduk amat dihargai.

Katanya, sebelum ini, dia pernah ditawarkan rumah menerusi Program 
Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi menolak kerana tidak mahu 
berpindah ke kawasan lain.

"Kami bukannya mengejar kediaman selesa seperti rumah PPRT itu tapi 
apa yang kami mengharapkan sekadar bantuan membaiki rumah sedia ada 
supaya lebih sempurna," katanya yang mengusahakan tanaman sayur di 
sekeliling rumahnya secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira 
RM5 sehari.//BHarian

Kirim email ke