KOTA BHARU: Semua agensi Kerajaan Persekutuan akan bergabung tenaga 
menjayakan usaha membasmi kemiskinan seluruh Kelantan yang kini 
mencapai 21,000 keluarga.

Jumlah keluarga miskin itu termasuk ibu tunggal, warga emas, nelayan 
dan petani yang dikenal pasti Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan 
Wilayah berdasarkan garis pendapatan isi rumah RM440 sebulan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Datuk Seri Annuar 
Musa, berkata satu kertas cadangan akan dirangka bagi memastikan 
pembabitan semula agensi Kerajaan Pusat untuk memerangi kemiskinan di 
negeri ini.

"Ketika ini, agensi Kerajaan Pusat melaksanakan program membasmi 
kemiskinan secara berasingan, menyebabkan ia kurang berkesan apabila 
golongan sasar yang perlu bantuan tercicir.

"Sedangkan jika ibu tunggal, agensi khas seperti Hawa mengendalikan 
program membantu golongan itu, manakala Kada sendiri mengenal pasti 
golongan usia produktif untuk diberi bantuan.

"Petani, nelayan atau individu yang dipilih akan mengikuti program 
membasmi kemiskinan menerusi industri asas tani dan perladangan," 
katanya selepas merasmikan kursus motivasi Program Pembangunan Modal 
Insan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) 2006 di 
Dewan Putra Chengal, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) 
Kelantan, Che Othman Che Mat. Seramai 100 peserta menyertai kursus 
anjuran Kada itu.

Annuar berkata, kertas cadangan itu akan merangkumi rangka kerja 
membabitkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas); 
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra); Pihak 
Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda); JPP, Kada 
dan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK).

Sementara itu, Che Othman dalam ucapannya, berkata JPP menerima 
peruntukan RM94 juta bagi melaksanakan program membasmi kemiskinan di 
negeri ini sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 

Katanya, tahun ini, JPP menerima peruntukan RM8.4 juta yang 
disalurkan kepada Kada bagi program yang sama, manakala Kesedar 
(RM2.4 juta); Felcra (RM0.69 juta) dan Kemas, RM2.1 juta.

"Menerusi program pembasmian kemiskinan iaitu komuniti sosial, negeri 
ini menerima peruntukan RM1 juta. Ini jelas menunjukkan Kerajaan 
Pusat begitu prihatin bagi membasmi kemiskinan tegar di Kelantan," 
katanya.
//BHarian


Kirim email ke