KOTA BHARU, 8 Dis – Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin 
Nik Mat meminta wanita bukan Islam menghormati budaya dan adat resam 
orang Kelantan dengan berpakaian sopan sesuai dengan masyarakat 
setempat. 

Menteri Besar berkata, peraturan menutup aurat hanya melibatkan 
wanita Islam sahaja dan tidak melibatkan wanita bukan Islam. 

Ini kerana katanya, majoriti rakyat Kelantan adalah orang-orang 
beragama Islam dan tidak suka memakai pakaian yang menjolok mata, 
yang jelas bertentangan dengan nilai agama dan budaya. 

Mengulas mengenai bantahan daripada segelintir wanita, beliau berkata 
peraturan menutup aurat bagi wanita Islam merupakan suruhan agama 
maka amat tidak wajar jika wanita Melayu Islam sendiri membantah. 

"Menjadi tanggungjawab bagi sebuah kerajaan Islam untuk memastikan 
setiap peraturan dan undamg-undang Islam terlaksana termasuk dalam 
soal peraturan menutup aurat bagi wanita Islam," ujar beliau. 

"Dalam kawasan rumah mereka bebas untuk berpakaian, tapi bila keluar 
rumah dan terbabit dengan orang ramai, perlu ada peraturan tertentu 
termasuk soal cara berpakaian," jelasnya kepada wartawan selepas 
mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini kelmarin 

"Lebih-lebih masalah rogol dan keruntuhan akhlak semakin banyak dan 
berkembang, bukannya semakin berkurang. Kerana itu Islam awal-awal 
lagi menetapkan peraturan berpakaian yang kita panggil menutup aurat 
sebagai langkah mencegah perkara tidak bermoral dalam masyarakat". 

"Peraturan ini peraturan Islam dan perintah Allah, bukannya peraturan 
yang dibuat PAS sepatutnya mendapat sokongan bukan bantahan," ujarnya 
kesal. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan 
dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan berkata, berkaitan peraturan 
berpakaian menutup aurat bagi wanita Islam ia bukan perkara baru 
kerana telah dikuatkuasakan sejak tahun 1989 lagi. 

Menurut Takiyuddin, kenyataan atau dakwaan yang mengatakan berpakaian 
seksi akan didenda RM500 itu tidak benar. Kerana RM500 itu kadar 
maksimum, bukan denda mandatori. 

"Kompaun atau denda itu bergantung kepada keadaan seseorang ia bukan 
mandatori, malah tidak ada lagi setakat ini yang didenda sehingga 
RM500," katanya. 

"Bagi kaum bukan Islam kerajaan negeri tidak berhasrat 
menguatkuasakan peraturan kerana kita lebih kepada pendekatan 
mendidik dan meminta kerjasama mereka untuk menghormati sensitiviti 
masyarakat." 

Katanya setakat ini tidak ada wanita bukan Islam yang dikenakan 
tindakan kompaun.//Hrkh
 


Kirim email ke