JELI: Empat projek infrastruktur dan sosial utama yang sedang dan 
akan dilaksanakan Kerajaan Pusat di sini, dijangka mengubah landskap 
pembangunan jajahan ini menjelang 2010.

Antara projek utama di Jeli termasuk kampus Universiti Malaysia 
Kelantan (UMK), politeknik, kompleks kuarantin, imigresen dan kastam 
(KIK) dan jambatan antara Bukit Bunga dengan Bukit Tar di Thailand.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed, berkata menerusi pelbagai 
projek itu, pihaknya yakin Jeli yang kini hanya mempunyai kira-kira 
50,000 penduduk akan berubah wajah.

Beliau berkata, pihaknya berharap projek yang dilaksanakan itu juga 
akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat yang ketika 
ini hampir 70 peratus terdiri daripada pekebun kecil getah.

"Selama ini, Jeli yang berada di kawasan selatan yang bersempadan 
dengan Gua Musang, agak ketinggalan kerana pembangunan lebih banyak 
tertumpu di kawasan utara Kelantan seperti Kota Bharu dan Pasir Mas.

"Namun, sejak saya dihantar untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Jeli 
mulai 1994, saya menetapkan sasaran untuk memastikan menjelang 2010, 
penduduk Jeli akan melihat pelbagai perubahan di sini," katanya.

Beliau berucap di majlis perasmian Program Jiwa Murni yang disertai 
oleh 600 anggota pasukan Palapes Universiti Teknologi Mara (UiTM) di 
Parlimen Jeli, semalam.

Mustapha berkata, pembinaan jambatan menghubungkan Bukit Bunga dan 
Bukit Tar akan bermula Januari ini dan pembinaannya akan mengambil 
masa kira-kira 12 bulan.

"Ia akan menjadi laluan masuk kedua menggunakan jambatan di Kelantan 
selepas Jambatan Muhibbah di Rantau Panjang. Masa sama, sebuah 
kompleks KIK akan dibina di situ," katanya.//Bharian

Kirim email ke