BACHOK: Kira-kira 400 hektar tanah terbiar kawasan Dewan Undangan 
Negeri (DUN) Jelawat akan dipulihkan dengan penanaman nanas yang 
berpotensi memberi pulangan lumayan kepada petani.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Datuk Dr Illias Hussin, 
berkata kawasan terbabit terbiar kerana petani tidak mampu 
mengerjakannya akibat ketiadaan modal.

"Namun, berdasarkan tinjauan, kita dapati tanah terbiar terbabit yang 
tertumpu di kawasan Teratak Pulai dan sekitarnya sesuai untuk 
dimajukan dengan tanaman nanas.

"Kita bercadang memperkenalkan nanas kepada pemilik tanah di kawasan 
itu untuk diusahakan mereka daripada terus dibiarkan terbiar tanpa 
sebarang hasil," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyampaikan dividen tanaman padi 
kepada petani Kampung Teratak Pulai yang menyertai projek Ladang 
Merdeka yang dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu 
(Kada), semalam.

Di majlis itu, 120 petani kampung itu menerima dividen masing-masing 
antara RM100 hingga RM700 setiap seorang mengikut keluasan tanah yang 
menyertai projek terbabit. Projek Ladang Merdeka hanya membabitkan 
43.2 hektar tanah sawah kampung itu.

Dr Illias berkata, rancangan menanam nanas itu kini sedang 
dirundingkan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 
menerusi Lembaga Perindustrian Nanas yang berpusat di Johor.

Beliau berkata, rundingan itu bagi mendapatkan bimbingan dan khidmat 
nasihat bagi menjayakan projek tanaman nanas di kalangan petani di 
sekitar Jelawat.

"Petani yang mempunyai tanah terbiar dan berminat mengusahakan nanas 
boleh mendaftar sekarang. Kita akan bantu dari segi input pertanian 
dan juga bahan pertanian kira-kira RM2,400 bagi setiap 0.4 hektar.

"Malah, kita juga akan membantu dari segi menyediakan kemudahan 
prasarana seperti jalan, pembajak tanah dan keperluan lain bagi 
menyokong usaha tanaman nanas di tanah terbiar itu," katanya.

Beliau berkata, penduduk yang memiliki tanah yang tidak mudah 
ditenggelami air digalakkan mengusahakan nanas yang berpotensi 
memberi keuntungan tinggi dengan pasaran terjamin.

"Dengan adanya sokongan daripada pelbagai agensi, usaha melaksanakan 
projek pertanian dapat digerakkan dengan berkesan khususnya dalam 
usaha memulihkan tanah terbiar di Bachok," katanya.//BHarian


Kirim email ke