KOTA BHARU 13 Dis. Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Bhd. (SKMK) memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas yang dikendalikan syarikat tersebut di negeri ini.
Pengurus Besarnya, Basri Baharom berkata, peruntukan itu sebahagiannya adalah bagi membeli sebanyak 30 buah bas berhawa dingin yang akan digunakan bagi perkhidmatan dalam bandar bermula Mac depan. "Untuk tujuan itu sahaja sebanyak RM15 juta disediakan manakala baki RM15 juta lagi diperuntukkan bagi perkhidmatan bas antara bandar dan bas ekspres. "Ia bagi kegunaan fasa kedua yang akan dapat dilancarkan menjelang Jun tahun depan. "Dengan perbelanjaan yang besar ini, sudah tentu tujuan kita untuk memberi keselesaan terbaik kepada penumpang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan bas baru bagi laluan Kota Bharu-Gua Musang di Terminal Bas SKMK di sini hari ini. Selesa Basri berkata, bagi laluan tersebut, dua buah bas berhawa dingin digunakan dengan kekerapan sebanyak tiga perjalanan sehari iaitu pukul 9 pagi, 1 tengahari dan 5 petang. "Sebuah bas akan mengambil penumpang di Kota Bharu manakala sebuah lagi akan bermula di Gua Musang "Bas ini mempunyai 44 tempat duduk dan dilengkapi dengan televisyen yang menjanjikan keselesaan kepada penumpang," jelasnya. Menurut Basri, pelancaran bas baru itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan syarikatnya kepada orang ramai. "Perjalanan ke Gua Musang kira-kira 200 kilometer. Jadi kita mahu penumpang selesa dan berpuas hati," ujarnya. Mengenai harga tiket pula katanya, syarikat tersebut tetap mengekalkan harga lama iaitu RM12.40 sehala bagi setiap penumpang.//Utusan