KOTA BHARU: Nadi Corporation Sdn Bhd memperuntukkan RM30 juta kepada 
Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) bagi menyediakan bas baru.

Bagi fasa satu, SKMK akan menerima 30 bas termasuk bas mini dan bas 
berhawa dingin membabitkan kos perbelanjaan RM15 juta yang akan 
digunakan untuk perkhidmatan di bandar ini, mulai Mac depan.

Pengurus Besar SKMK, Basri Baharom, berkata RM15 juta akan 
diperuntukkan untuk penyediaan 23 lagi bas dalam fasa kedua dan bas 
berkenaan dijangka beroperasi antara Julai atau Ogos.

Katanya, dengan peruntukkan besar itu, pihaknya yakin SKMK mampu 
menawarkan perkhidmatan berkualiti dan selesa kepada penumpang 
terutama di sekitar Kota Bharu.

"Kita akan memperkenalkan bas mini dan City Liner yang mana sebelum 
ini kenderaan terbabit sudah digunakan untuk laluan ke Bachok.

"Dengan bas baru di semua laluan di negeri ini, diharap memberi 
keselesaan kepada orang ramai terutama mereka yang tinggal di luar 
bandar," katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bas 
Ekspres untuk laluan dari Kota Bharu ke Gua Musang bagi menggantikan 
bas lama, di Terminal bas SKMK di sini.

Basri berkata, pihaknya merancang menambah perkhidmatan bas ekspres 
bagi laluan ke Gua Musang untuk kemudahan orang ramai.

Katanya, pada masa ini, pihaknya menawarkan dua bas bagi laluan itu 
yang mana satu daripadanya bermula di Kota Bharu dan sebuah lagi 
memulakan perjalanan dari Gua Musang.

"Bas ini mempunyai 44 tempat duduk dan dilengkapkan televisyen. Kita 
berharap orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ini 
boleh mendapatkan tiket berharga RM12.40 sehala di kaunter SKMK yang 
disediakan," katanya.//BHarian


Kirim email ke