KOTA BAHARU, 13 Dis - Presiden Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan 
(Kafa) Mohd Jazlan Yaacob berkata beliau tidak bercadang melepaskan 
jawatan itu walaupun terdapat saranan agar ianya diserahkan kepada 
Menteri Besar.

Beliau berkata jawatan itu akan dikekalkan sehingga pemilihan akan 
datang kerana menganggap kerajaan negeri sudah tidak berminat untuk 
mengambil alih jawatan itu lagi.

Mohd Jazlan memberitahu Bernama bahawa keputusan itu dibuat setelah 
beliau mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan 
Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Takiyuddin Hassan, 
berhubung masa depan Kafa, baru-baru ini.

"Saya anggap perkara itu telah selesai, kerajaan tak mahu lagi dan 
kita pun tidak mahu beri," katanya.

Isu perebutan jawatan presiden Kafa timbul sejak dua bulan lepas 
ekoran saranan Takiyuddin agar jawatan presiden diserahkan kepada 
Menteri Besar bagi memudahkan penyaluran bantuan kewangan.

Mohd Jazlan, yang juga pemangku Ketua Umno Bahagian Machang, berkata 
beliau tidak bercadang untuk menyerahkan jawatan itu yang disandang 
sejak tahun lepas kerana mampu mengendalikannya sekalipun tanpa 
bantuan kerajaan negeri.

Sekitar tahun 70-an, Kelantan dianggap antara pasukan yang disegani 
tetapi sejak kebelakangan ini kedudukannya agak merosot.//Bernama



Kirim email ke