PENGKALAN CHEPA, 10 Jan - Masihkah anda ingat pasangan pengantin baru 
yang terpaksa bersanding di bawah runtuhan rumah mereka di Kampung 
Berembang akibat sikap rakus Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 
pada akhir tahun lepas.

Bagi pasangan Norhasliana Osman, 22 dan suaminya Hanafi Baginda 
Karek, 25 itulah detik-detik yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah 
hidup mereka.

Satu demi satu rumah setinggan milik penduduk diroboh dengan 
jentolak. Madrasah Ar Rahmaniah di kampung itu juga menjadi mangsa 
penguasa tempatan. Benteng manusia bagi menghalang tindakan itu gagal 
menyekat kemaraan penguatkuasa MPAJ.

Paling tidak dapat dilupakan Norhasliana terhadap sikap rakus MPAJ 
dan FRU yang membelasah penduduk dan dirinya, sedangkan saat itu 
adalah persiapan terakhir menjelang persandingannya.

Bagaimanapun kehadiran pemimpin Barisan Alternatif (BA) termasuk 
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden 
PAS, Dato' Husam Musa meraikan persandingan mereka sedikit sebanyak 
dapat mengubat duka mereka.

Lebih mengembirakan lagi apabila mereka juga menerima dua keping Emas 
Dinar Kelantan yang dihadiahkan Husam.

Bukan setakat menerima emas dinar sebaliknya, kerajaan Kelantan 
menaja pasangan pengantin terbabit berbulan madu di Kota Bharu.

Baru-baru ini mereka diterbangkan dari Kampung Berembang, Ampang Jaya 
dan menjadi tetamu istimewa kepada kerajaan Kelantan. Mereka 
ditempatkan di Perdana Resort selama lima hari lima malam bermula 1 
Januari lalu.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan 
Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat berkata, kerajaan negeri 
bermurah hati menaja pakej berbulan madu pasangan pengantin tersebut 
kerana bersimpati terhadap nasib mereka.

"Kita bersimpati di atas apa yang telah menimpa mereka di saat-saat 
menghadapi hari bersejarah, tiba-tiba berlaku pula peristiwa ngeri 
yang amat menyentuh perasaan," ujarnya.

Norhasliana ketika ditemui melahirkan ucapan terima kasih tidak 
terhingga kepada kerajaan negeri kerana meraikan mereka seperti 
pembesar negeri.

"Usaha dilakukan Dato' Husam sedikit sebanyak telah mengurangkan 
bebanan penderitaan yang ditanggung kami. Penduduk di Ampang memang 
mengenalinya. Tidak lupa juga terima kasih dirakam kepada Datin Seri 
Dr Wan Azizah," ujarnya.

Menurutnya juga, kes beliau dan penduduk dipukul anggota polis dan 
penguatkuasa MPAJ telah dibawa ke mahkamah bagi mendapat keadilan.

Sementara itu, kakitangan Perdana Resort, Chef Mohd Amran Mohd Nor 
melahirkan rasa bertuah kerana dikunjungi pasangan pengantin yang 
memperjuangkan isu rakyat.//Hrkh    



Kirim email ke