PASIR MAS: Pelajar hidap penyakit tulang reput yang cemerlang dalam 
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2006, Ahmad Fajrul Adha 
Mohamed Kamil, dijadikan anak angkat Pergerakan Pemuda Umno mulai 
semalam.

Ahmad Fajrul Adha, 13, yang kini belajar di Sekolah Menengah 
Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dipilih sebagai anak angkat pertama 
Pemuda Umno oleh Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein, yang juga 
Menteri Pelajaran.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Harrison Hassan, berkata pihaknya 
mengadakan lawatan khusus ke SMK Bunut Susu bagi meninjau keadaan 
Ahmad Fajrul Adha yang kini memasuki Tingkatan Satu untuk memastikan 
dia dapat belajar dengan sempurna.

Katanya, Pemuda Umno akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri 
untuk menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk infrastruktur di 
sekolah bagi memudahkan pergerakan Ahmad Fajrul Adha.

"Ahmad Fajrul Adha sudah memiliki kerusi roda elektrik sumbangan 
kerajaan negeri baru-baru ini. Biro Pendidikan Pemuda Umno akan 
menyalurkan bantuan lain setiap tahun sepanjang Ahmad Fajrul belajar 
di sini. 

"Kami akan menyediakan kerusi dan meja khas untuk Ahmad Fajrul Adha 
supaya dia dapat belajar dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan 
peralatan sekolah termasuk buku kepada Ahmad Fajrul yang ditemani 
ibunya Norma Yusof, 39, dan Pengetuanya, Nik Hasnah Nik Li, di SMK 
Bunut Susu, di sini, semalam.

Rombongan turut disertai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) 
Pasir Mas Tumpat, Che Hussin Che Soh dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno 
Kelantan, Dali Hussin. 

Sebelum itu, rombongan Pemuda Umno melawat Sekolah Kebangsaan (SK) 
Pulau Beluru, Tumpat yang ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Harrison berkata, Pemuda Umno akan menyalurkan elaun khas secara 
bulanan kepada Ahmad Fajrul Adha dalam tempoh terdekat ini. 

"Saya difahamkan, keluarganya ada memohon untuk mendapatkan elaun itu 
sejak Ahmad Fajrul Adha bersekolah di Darjah Lima tetapi belum 
diluluskan lagi. Sebagai tambahan, kami akan menyalurkan bantuan 
menerusi Bantuan Kebajikan Pelajar (BKP) dengan kerjasama JPN 
Kelantan," katanya.//Bharian






Kirim email ke