KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan semalam melancarkan Program Takaful 
Armalah bagi membantu ibu tunggal dan warga emas negeri ini yang 
menyediakan bayaran manfaat sehingga RM2,500 terhadap kematian atau 
kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, 
Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Husam Musa, berkata ia 
dilaksanakan menerusi Tabung Amal Dewan Undangan Negeri (Tamadun) 
merangkumi semua kawasan DUN di negeri ini. 

Katanya, menerusi Tamadun, penyelia DUN akan mengenal pasti ibu 
tunggal dan warga emas untuk disenaraikan sebagai penerima Skim 
Takaful Berkelompok Armalah dan Skim Takaful Warga Emas.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta tahun ini untuk dicarumkan 
dengan Takaful Malaysia Berhad bagi pihak ibu tunggal dan warga emas 
di seluruh negeri.

"Mereka yang layak akan menerima bantuan manfaat RM2,500 yang 
disalurkan secara tunai, manakala RM1,500 lagi dimasukkan ke dalam 
Tabung Tamadun," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri 
majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Tabung Amanah 
Tok Kenali Kerajaan Negeri Kelantan dengan Takaful Malaysia di sini, 
semalam.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
dan , turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Takaful 
Malaysia, Mohd Apandi Ibrahim.

Husam memberi jaminan, pelan takaful itu merangkumi semua rakyat yang 
layak tanpa mengira latar belakang politik.

"Kerajaan akan memastikan bantuan menerusi program ini menyeluruh 
termasuk kepada ahli Umno. Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) 
Barisan Nasional boleh menyerahkan senarai ibu tunggal dan warga emas 
kawasan mereka kepada penyelia DUN Pas selaku Pengerusi Tamadun 
kawasan masing-masing.

"Ia tiada kaitan politik tetapi semata-mata menjaga kebajikan 
golongan kurang bernasib baik seperti dituntut Islam. Kita percaya 
ramai ibu tunggal di negeri ini.

"Setakat ini, kita mengenal pasti kira-kira 10,000 orang ibu tunggal 
di seluruh negeri manakala lebih 700 warga emas berusia 95 tahun yang 
memerlukan bantuan," katanya.//BHarian


Kirim email ke