KOTA BAHARU, 16 Jan - Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) akan 
memperkenalkan kaedah permainan sepak takraw "hoop" atau gelung yang 
sudah dipertandingkan di Sukan SEA, kepada murid tahun 5 dan 6 
sekolah rendah di negeri ini.

"Untuk itu Gastak akan memohon kerjasama Unit Sukan Jabatan Pelajaran 
Negeri untuk bergerak ke setiap sekolah mencari bakat baru dalam 
sukan ini," kata Timbalan Presiden Gastak Tengku Adnan Tengku 
Burhanuddin kepada Bernama di sini, hari ini.

Permainan sepak takraw gelung berasal dari Thailand dan mula 
diperkenalkan dalam acara Sukan SEA di Filipina pada 2005 dan Asian 
Indoor Games, tahun lalu.

Kaedah permainan sepak takraw gelung lebih kepada permainan 
menunjukkan kemahiran dengan pemain menggunakan cara sepak sila, 
sepak kuda, badik, badik silang, kepala, bahu dan paha untuk 
memasukkan bola ke dalam gelung dalam tempoh 30 minit.

Tengku Adnan berkata satu seminar Sepak takraw Hoop bagi guru dan 
pengadil akan diadakan di Kelantan pada 4 Feb.

Promosi bagi menarik minat mempelajari serta mencari bakat baru dalam 
permainan hoop ini akan terus digiatkan dan Gastak akan mengadakan 
lebih banyak seminar ke arah itu, katanya.//Bernama




Kirim email ke