KOTA BHARU, 18 Januari - Atas sifat kemanusian dan rasa 
tanggungjawab, kerajaan Kelantan hari ini telah meluluskan bantuan 
sejumlah RM1 juta kepada mangsa banjir di Johor. 

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, 
memberitahu sumbangan dari kerajaan negeri itu dikeluarkan melalui 
Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk meringankan bebanan 
penderitaan mangsa tersebut. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan 
mesyuarat exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini. 

Jelasnya, bagi menyegerakan sumbangan tersebut kerajaan negeri akan 
mengirimkannya melalui Briged Amal yang akan turun ke negeri itu 
untuk membantu mangsa banjir. 

"Briged Amal nak turun Jumaat ini, tetapi pada saya kalau boleh 
disegerakan hari inipun amat baik,"ujarnya. 

Difahamkan sumbangan berkenaan akan disampaikan kepada Badan 
Perhubungan PAS Negeri Johor, di mana pihak berkenaan akan 
mengagihkannya kepada semua mangsa yang terlibat dengan banjir. 

Selain itu juga, Tuan Guru mengarahkan semua agensi kerajaan negeri 
mengadakan tabung bantuan bencana banjir masing-masing di seluruh 
negeri ini. 

Tambahnya, apabila tiba tempohnya pungutan berkenaan diserahkan pada 
kerajaan negeri untuk diagihkan pada mangsa banjir. 

Sementara itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, 
memberitahu pihaknya akan menganjurkan majlis memungut derma yang 
akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada 21 
Januari ini. 

"Saya berharap semua rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, politik 
hadir pada majlis itu untuk turut membantu rakyat Johor yang kini 
dilanda banjir," ujarnya. 

Beliau juga turut mendedahkan, sebelum ini PAS Kelantan telah 
mengirimkan sejumlah RM49,000 kepada mangsa banjir di negeri itu 
melalui Briged Amal, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan dan Badan 
Perhubungan PAS Negeri sendiri. 

"Di samping itu juga lima tan beras sudah diagihkan kepada mereka 
tanda simpati kita," ujarnya. 

Tuan Guru juga melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan individu 
terbabit pada tiga minggu lalu berhubung persiapan telah diambil 
untuk menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar kali kedua di 
negeri itu. 

Tegasnya, ekoran kenyataan individu terbabit di mana beliau telah 
bersiap sedia untuk mengurus banjir sekiranya ia berlaku lagi 
menyebabkan beliau (Tuan Guru) berasa berdebar. 

Tetapi tambahnya, perancangan untuk menghadapi banjir rupanya 
mengatasi kehendak Allah apabila manusia tidak mampu menangkis 
kemaraannya (banjir). 

Tegasnya, ia menyebabkan individu terbabit berdiam diri mungkin telah 
menginsafi keterlanjuran keangkuhannya sebelum itu. 

"Apa yang penting kita harus ingat setiap musibah yang berlaku 
mungkin ada sebabnya, adakah kerana dosa-dosa yang telah kita lakukan 
sebelum ini atau macam mana," ujarnya.//Hrkh
 


Kirim email ke