Dipetik daripada akhbar
http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/story/0,3617,97002,00.html?

Terima kasih kepada Singapura kerana menyedari betapa pentingnya Sastera
Melayu kepada Masyarakat.





SASTERA MELAYU BAGI LEBIH RAMAI PELAJAR
Ditawar sebagai sebahagian Ilmu Kemanusiaan Bersepadu GCE 'O'

Oleh
Soraya Salim

MULAI tahun depan, lebih ramai pelajar akan berpeluang mengambil mata
pelajaran Kesusasteraan Melayu secara elektif.

Subjek itu akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Ilmu
Kemanusiaan Bersepadu (Combined Humanities) bagi pelajar menengah tiga ke
atas.

Ini bermakna pelajar boleh menggabungkan subjek Kesusasteraan Melayu
dengan salah satu subjek kemanusiaan yang lain, seperti Sejarah atau
Geografi.

Buat masa ini, sastera Melayu ditawarkan sebagai subjek tersendiri dalam
peperiksaan GCE peringkat 'O'.

Mengumumkan demikian semalam, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan),
Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed, berkata usaha itu akan memberikan
peluang kepada lebih ramai pelajar yang berminat dan berkebolehan untuk
mempelajari Kesusasteraan Melayu.

'Kita akur bahawa pendedahan kepada bahan sastera akan dapat meningkatkan
penguasaan bahasa Melayu dan pembangunan sahsiah dan pemikiran para
pelajar kita serta menanam minat membaca bahan-bahan sastera Melayu secara
berdikari,' katanya.

Encik Masagos berkata demikian ketika berucap di Seminar Bahasa Melayu
anjuran Unit Bahasa Melayu Divisyen Pembangunan dan Perancangan Kurikulum
(CPDD) Kementerian Pendidikan (MOE).

Bertajuk 'Berbenang Bahasa Bersulam Sastera', seminar yang dihadiri
sekitar 400 guru sekolah menengah, maktab rendah dan institut pusat itu
memberi mereka peluang berbincang tentang penggunaan sastera dalam
pengajaran bahasa Melayu.

Subjek baru itu diperkenalkan setelah MOE menerima saranan Jawatankuasa
Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu (MLCPRC) agar diluaskan lagi
penggunaan teks dan tugasan sastera yang sesuai.

Antara lain, jawatankuasa itu telah menyarankan bahawa sajak, sedutan
novel, penulisan kreatif dan persembahan drama boleh digunakan sebagai
bahan pengajaran Melayu.

Ketika ditemui, Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa dan Kesusasteraan MOE,
Encik Mohamed Noh Daipi, berkata kurang daripada 40 pelajar yang mengambil
subjek Kesusasteraan Melayu setiap tahun.

'Kami berharap para guru dan ibu bapa akan terus menggalak pelajar
mengambil mata pelajaran baru itu dan mendalami ilmu mereka dalam
Kesusasteraan Melayu,' katanya.

Menurut beliau lagi, subjek elektif itu akan mendedahkan pelajar kepada
prosa Melayu seperti novel dan cerpen, di samping sajak serta puisi.

Ini berbanding subjek sastera Melayu penuh, apabila pelajar juga belajar
tentang prosa klasik, seperti kisah Malim Demang dan Awang Sulung Merah
Muda serta penulisan dan drama moden.


Ediramle Ismail

Kirim email ke