Dimaklumkan sepertimana berita di akhbar hari ini.
Mohd Atiff Afifi Omardin adalam merupakan anak AJK Pesisir Sdr. Omardin Bon. Mohd Atiff ketika catatan ini ditulis masih berada di wad 29 Hospital Sultanah Zainab 2. Semoga Mohd Atiff segera pulih. Berita dipetik daripada Akhbar Berita Harian hari ini 22 April 2008. Penghantar surat ditikam peragut Oleh Fathil Asri KOTA BHARU: Seorang penghantar surat sambilan cedera ditikam dengan pisau rambo, ketika cuba menangkap dua lelaki yang meragut seorang warga emas dekat Pintu Geng di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Mohd Atiff Afifi Omardin, 22, cedera diperut dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), keadaan tidak membimbangkan. Namun, peragut yang menikam Atiff Afifi dengan pisau rambo itu berjaya ditangkap rakan mangsa, Mohd Azuan Abdullah, 21, bersama penduduk kampung, yang tampil membantu sebaik menyedari kejadian itu. Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Amir Hamzah Ibrahim, berkata suspek berusia 28 tahun berasal dari Kampung Pasir Kota, Kota Bharu itu, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326, 379 dan 511 Kanun Keseksaan. "Sebelum kejadian, dua suspek bermotosikal meragut barang milik seorang wanita yang berjalan kaki sendirian di Jalan Pintu Geng. Ketika itu, Mohd Atiff Afifi bersama Mohd Azuan yang menaiki motosikal terdengar jeritan wanita terbabit bergegas mengejar motosikal suspek sehingga sampai di sebatang jalan mati sebelum dua lelaki itu lari meninggalkan kenderaan mereka. "Mohd Atiff Afifi kemudian bertindak mengejar seorang daripada lelaki terbabit sebelum dia ditikam dalam pergelutan yang berlaku. Namun, rakannya bersama penduduk kampung yang tampil membantu kemudian berhasil menangkap suspek berkenaan sebelum diserahkan kepada polis. "Polis sedang mengesan seorang lagi suspek kes itu untuk membantu siasatan lanjut kes ragut yang didalangi mereka," katanya selepas melawat mangsa di HRPZ II, petang semalam. Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim dan Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar serta pegawai lain turut melawat Mohd Atiff Afifi yang cedera ditikam itu. Amir Hamzah berkata, polis menghargai tindakan berani mangsa yang sanggup mengejar suspek walaupun beliau cedera dalam pergelutan yang berlaku. Bapa mangsa, Omardin Bon, 43, berkata beliau bersyukur kerana anaknya selamat, walaupun kecederaan yang dialami pada bahagian perut itu agak serius. "Saya sekeluarga bersyukur kerana keadaannya semakin pulih. Tak sangka, dia sanggup mengambil risiko berdepan dengan penjenayah itu demi membantu mangsa ragut," katanya.
