Semoga apa yang diperkatakan ini tidak betul. Apa yang diperhatikan bahawa kebanyakan orang-orang kita (Orang Melayu) begitu suka membuang masa dengan agak sia-sia. Ini tidak terkecuali juga saya sendiri.
Sifat-sifat negatif ditanam dalam diri seperti menanam lalang dan semalu di halaman, seperti menanam keman gajah di halaman rumah. Sifat-sifat positif seperti anak jambu, anak mangga, anak pokok ajaib sebagai contohnya ditenggelamkan oleh lalang. Ramai yang sering membicarakan tentang kekurangan orang lain berserta kelemahan orang itu dan orang ini. Jarang pula membincangkan bagaimana untuk memperkuatkan diri sendiri. Kalaulah diperkatakan tentang kekuatan kebanyakannya tidak sampai kepada perbuatan dan yang tinggal hanyalah sekadar kata-kata. Indah sungguh kata-kata yang adakalanya membuatkan ramai orang terpesona. Lebih teruk lagi ada ramai yang bukan sekadar membuang masa dengan sia-sia, tetapi juga sedang berusaha keras untuk memusnahkan diri sendiri, memusnahkan keluarga dan memusnahkan bangsa itu sendiri. Sebagai penulis kita ada peranan yang penting untuk sedikit sebanyak merubah keadaan ini.
