http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Dari Xian, China ke Tanah Suci Mekah

XIAN 26 Nov. - Bandar purba Xian merupakan tempat terletaknya patung tentera 
Terracotta dan ia pernah menjadi bandar tumpuan peradaban China semasa dinasti 
Tang daripada tahun 618 hingga 907 masihi.

Xian turut menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 60,000 golongan Islam China 
dan memiliki kemegahan sejarah Islam selama 1,300 tahun.

Bangga dengan warisan Islam dan tradisi negara, masyarakat Islam Xian 
menggabungkan budaya silam China dengan Islam dan tetap teguh berpegang kepada 
iman dalam mengamalkan rukun utama agama mereka.

Seorang daripadanya, Ma Yi Ping, 46, merupakan antara individu terkenal dalam 
komuniti Islam Xian.

Sebagai seorang daripada 10 imam di Masjid Besar Xian, beliau turut memiliki 
sebuah kedai kecil yang menjual hasil kaligrafi Islam di bandar itu dan 
berkhidmat sebagai guru agama bagi sesiapa yang mahu menunaikan rukun haji.

"Saya dilahirkan dalam keluarga Islam yang taat dan saya adalah anak tunggal. 
Saya mula mempelajari al-Quran sejak kecil. Saya diberitahu bahawa saya perlu 
mengabdikan diri kepada Islam, kepada umat Islam dan menyumbang kepada keamanan 
masyarakat serta negara.

"Semasa saya kecil, ayah menghantar saya belajar al-Quran di rumah seorang 
imam. Ketika itu, kanak-kanak dilarang belajar di masjid disebabkan tekanan 
politik yang dianjur oleh 'Kumpulan Empat'. Semua agama terjejas teruk,'' 
katanya kepada Al-Jazeera, semalam.

Parti Komunis China menutup semua masjid pada tahun 1959 dan semasa Revolusi 
Budaya 1966, lebih 29,000 masjid dimusnahkan. Yi Ping berusia 16 tahun ketika 
masjid dibuka semula dan beliau dilantik menjadi imam.

Yi Ping kali pertama menunaikan haji pada 1994 dan sejak itu beliau telah 
menyempurnakan rukun kelima Islam itu beberapa kali.

Tidak seperti di Singapura dan Malaysia, golongan Islam China tidak membuat 
banyak sokongan untuk menunaikan haji. Beliau membantu memberi panduan dan 
mengajar masyarakat Islam China beberapa doa tertentu untuk diamalkan sepanjang 
mengerjakan haji di Mekah.

"Saya mahu membantu komuniti Islam China kerana mereka sangat warak. 
Satu-satunya masalah yang mereka hadapi ialah mereka tidak biasa dengan 
rukun-rukun haji kerana ibadah itu tidak dilaksanakan di sini,'' katanya.

Jia Wang Yi dan isterinya yang berumur 60-an, merupakan antara bakal jemaah 
haji yang dibantu Yi Ping dan mereka menyifatkan haji sebagai satu fardu yang 
penting bagi mereka. 

- Agensi


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke