http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
ARKIB : 10/12/2009 Tunjuk perasaan antirasuah berterusan di Indonesia PENUNJUK-PENUNJUK perasaan membakar gambar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan timbalannya, Bodiono semasa membantah gejala rasuah di Jakarta, semalam manakala gambar kanan menunjukkan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan di Makassar, Sulawesi yang juga membantah tindakan kerajaan menyelamatkan Bank Century. - AP -------------------------------------------------------------------------- JAKARTA 9 Dis. - Beribu-ribu rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama hari ini bagi memperingati hari antirasuah antarabangsa dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan serius mengenai skandal Bank Century. Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengalami tekanan semakin hebat sementara ahli Parlimen menyiasat dakwaan rasuah berhubung tindakan kontroversi kerajaan membelanjakan AS$700 juta (RM2.38 bilion) bagi menyelamatkan Bank Century tahun lepas. Susilo yang lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sebahagian wang tersebut disalurkan untuk membiayai kempen beliau dalam pilihan raya Presiden pada Julai lepas, yang dimenanginya dengan 60 peratus undi bagi menduduki penggal kedua, berlandaskan janji untuk membanteras rasuah. Di ibu kota Sulawesi Selatan, Makassar, sekitar 5,000 pelajar dan aktivis antirasuah membanjiri sebatang jalan di pusat bandar untuk menuntut kerajaan menyiasat skandal bank tersebut. Penunjuk perasaan turut membakar tayar dan membawa sepanduk dan poster dengan tulisan 'Siasat kes Bank Century untuk menyelamatkan wang negara' dan 'SBY tidak mampu mentadbir negara ini'. Di Jakarta, lebih seribu penunjuk perasaan berarak ke istana negara dengan membawa sepanduk menggesa Susilo bertindak, dengan tulisan pada satu sepanduk mendakwa '90 peratus penguat kuasa undang-undang di sini adalah korup'. Susilo malam tadi merayu kepada rakyat supaya menunjuk perasaan secara aman, sambil menegaskan kerajaan beliau bersungguh-sungguh mahu membanteras rasuah. Presiden sebelum ini melahirkan kebimbangan pihak tertentu merancang untuk memperalatkan tunjuk perasaan itu bagi menjatuhkan beliau. Penganjur demonstrasi sebaliknya berkata, Susilo bersikap paranoid dan beliau sepatutnya menyertai mereka dalam rapat umum itu dan bukannya memburuk-burukkan sebuah gerakan popular. Demonstrasi turut berlangsung di beberapa bandar besar lain di seluruh Indonesia, negara yang menduduki tangga ke-126 bersama-sama Honduras dan Libya di kalangan 180 negara dalam indeks persepsi rasuah yang disediakan oleh Transparency International. - AFP [Non-text portions of this message have been removed]